TNB Catat Untung Bersih RM2.16 Bilion, Pendapatan RM11.6 Bilion

Photo by: Tenaga Nasional

BISNES: Tenaga Nasional Bhd (TNB) mencatatkan untung bersih peningkatan 20.67 peratus iaitu sebanyak RM2.16 bilion bagi tempoh tiga bulan berakhir 30 November 2017 berbanding RM1.79 bilion tempoh sama 2016.

TNB dalam satu kenyataan pada 26 Januari 2018 melaporkan pendapatannya pula meningkat 3.2 peratus kepada RM11.607 bilion berbanding RM11.242 bilion sebelumnya.

Tahun kewangan TNB kini berakhir pada 31 Disember berbanding sebelum ini yang berakhir pada 31 Ogos.

Syarikat utiliti utama negara itu mengumumkan keuntungan operasi bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017 mencatatkan paras yang sama sebanyak RM2.34 bilion berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Perbelanjaan operasinya (OPEX) meningkat sebanyak 6.3 peratus kepada RM9.66 bilion berbanding RM9.09 bilion tempoh yang sama tahun sebelumnya, disumbangkan kos penjanaan yang tinggi daripada peningkatan kos bahan api.

Bagaimanapun, TNB berkata, menerusi pelaksanaan berkesan mekanisme Kos Pelepasan Tidak Seimbang (ICPT), syarikat utiliti itu kekal neutral daripada sebarang turun naik tidak menentu harga bahan api.

"Kestabilan dalam keuntungan operasi kumpulan akan memanfaatkan pemegang saham, dalam bentuk aliran mapan pemberian dividen pada masa depan dan peningkatan modal," katanya.

TNB juga melabur secara ketara dalam perbelanjaan modal (CAPEX) untuk memenuhi keperluan kapasiti tenaga negara ini.

Ketika ini, terdapat tiga projek penjanaan dengan hampir 3,500 megawatt kapasiti yang dijadualkan beroperasi antara 2018 hingga 2020.

Projek penjanaan kuasa itu mewakili 70.9 peratus jumlah pelaburan CAPEX kumpulan sebanyak RM3.71 bilion pada suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017.

Pelaburan itu menyumbang mengukuhkan imbangan kewangan kumpulan dengan jumlah asas aset kumpulan meningkat kepada RM146.10 bilion setakat 30 November 2017.

Pertumbuhan permintaan elektrik di Semenanjung Malaysia untuk tempoh itu adalah 1.2 peratus, terutamanya disumbangkan oleh aliran meningkat yang berterusan dalam sektor perindustrian sejak suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2017.

Mengenai prospek ekonomi, Perkembangan Ekonomi dan Kewangan di Malaysia dalam Laporan Suku Ketiga 2017 Bank Negara Malaysia menunjukkan bahawa memandangkan prestasi kukuh yang berterusan pada suku ketiga, ekonomi Malaysia berada pada kedudukan mencatatkan pertumbuhan menghampiri julat tertinggi unjuran rasmi sebanyak 5.2 - 5.7 peratus pada 2017.

Oleh itu, pertumbuhan permintaan unit elektrik akan stabil sejajar dengan unjuran pertumbuhan kukuh ekonomi dan Lembaga Pengarah TNB menjangka keputusan kewangan kumpulan untuk tempoh berakhir 31 Disember 2017 kekal stabil.


SUMBER: BH ONLINE

TERKINI

AirAsia lancar promosi Tempat Duduk PERCUMA* dan jualan hebat ke lebih 130 destinasi

AirAsia melancarkan promosi  dan jualan hebat pertama pada tahun 2024 dengan jutaan tempat duduk ke lebih 130 destinasi. Syarikat itu dalam ...