FOTO: MALAYSIAN AIRLINES |
MALAYSIA Airlines Berhad akan menambah 32 penerbangan tambahan serta menaiktaraf penerbangan perkhidmatan pesawat ke destinasi domestik terpilih bagi menampung perjalanan perayaan Hari Raya Aidilfitri bermula 25 Mei hingga 16 Jun 2019.
Penerbangan tambahan itu adalah antara Kuala Lumpur dan Alor Setar, Kota Bharu, Kuching, Labuan, Miri, Sibu, Sandakan, Surabaya, Terengganu dan Tawau.
Syarikat penerbangan itu juga akan naik taraf 10 penerbangan domestik dari B737-800 kepada A330-300 dan A330-200 untuk menampung penumpang ke destinasi antara Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu, Kuching, Medan serta Pulau Pinang.
Ketua Pegawai Hasil Kumpulan Malaysia Airlines, Ignatius Ong berkata, pihaknya bersedia memenuhi permintaan untuk perjalanan sepanjang tempoh Hari Raya.
“Frekuensi tambahan dan naik taraf menunjukkan komitmen kami untuk menyediakan lebih banyak kerusi supaya setiap orang selamat kembali ke kampung halaman mereka.
“Dengan itu, kami menggalakkan mereka yang merancang kembali ke kampung halaman segera membeli tiket kerana menjangkakan lebih ramai orang sewaktu musim perayaan.
“Tambang kami termasuk daftar masuk bagasi , makanan dan tidak ada caj kad kredit tambahan untuk pembelian dalam talian. Penumpang juga dapat menikmati perkhidmatan premium dan keselesaan apabila terbang dengan Malaysia Airlines,” katanya.
SUMBER: SINAR BISNES