10 Tarikan Di Selangor Yang Mesti Dilawati, Rasai Keunikan Alam Semulajadi


Sekinchan adalah destinasi unik untuk dilawati dengan pelbagai tarikan semulajadi sawah dan pantai sambil menikmati kelazatan makanan laut dan sajian tradisi serta kepelbagaian produk industri kecil sederhana. Foto: Disvover Sekinchan


Selangor sememangnya mempunyai tarikan pelancongannya yang tersendiri dari elemen budaya setempat, kehijauan alam sekitar yang masih terpelihara, kawasan urban dengan gaya hidup moden, serta pilihan hidangan dan menu yang pelbagai; dari gerai hinggalah ke restoran mewah dan terkemuka.


Di kala industri pelancongan perlu sedia menangani impak pandemik Covid-19, Selangor memperkukuhkan status sebagai destinasi pelancongan pilihan rakyat Malaysia dengan seleksi produk pelancongan baharu yang mempunyai potensi untuk menggamit perhatian pelancong pasca-pandemik seperti senarai yang berikut.


1. Singgah Santai Resort, Hulu Langat


Singgah Santai Resort merupakan antara penginapan bercirikan resort terbaharu di daerah Hulu Langat dengan pelbagai jenis bilik penginapan mengikut keperluan pengunjung. Di sini turut disediakan pelbagai ruang untuk bersantai di sekitar kawasan resort.


Para penggemar aktiviti percutian dan backpacking atau pengunjung yang datang bersama keluarga dan anak-anak kecil pastinya akan menikmati pengalaman manis menginap di sini kerana suasananya yang penuh mendamaikan; agak terpencil dari hiruk-pikuk kawasan bandar.

Alamat: Kg Batu 14, Jalan Felcra Semungkis, Hulu Langat, Selangor.


2. Tugu Badminton Anak-anak Sidek, Banting

Di Pekan Banting terdapat sebuah monumen yang berdiri gah bagi memperingati jasa anak-anak Sidek yang pernah mengharumkan nama negara sehingga ke peringkat dunia dalam arena sukan badminton. Kisah mereka juga pernah menjadi nukilan dalam siri animasi dan komik yang amat popular suatu ketika dulu; Anak-Anak Sidek.

Tugu Peringatan Keluarga Haji Sidek ini dibina bagi meraikan kejayaan anak-anak Sidek di persada sukan badminton dalam negara dan antarabangsa.

Tugu ini telah didirikan di dalam kawasan kediaman Tuan Haji Sidek di mana ia adalah tempat tokoh-tokoh badminton negara tersebut telah dibesarkan. Kini, ia merupakan salah sebuah tarikan dengan nilai sejarah di Pekan Banting, Kuala Langat.

Alamat: Jalan Sultan Alam Shah, Kampung Kanchong Darat, 42700 Banting, Kuala Langat, Selangor.


3. Air Terjun Sungai Lepoh, Hulu Langat

Air Terjun Sg Lepoh adalah salah sayu daya tarikan terbaharu di Daerah Hulu Langat. Juga dikenali sebagai Sungai Lopo ataupun Sungai Lepok, air terjun yang sangat menenangkan ini merupakan sebuah kawasan perkelahan yang sentiasa menarik minat penggemar aktiviti pendakian serta pencinta alam sekitar yang tinggal di sekitar kawasan Lembah Klang, terutamanya pada hujung minggu dan cuti umum.

Alamat: Lot 3461, KM22 Sungai Lepoh, Kampung Kuala 43100,43100 Hulu Langat, Selangor.


4. Anjung Spotter, KLIA Plane Spotting

Anjung Spotter, yang merupakan satu tarikan di Kuala Lumpur International Airport (KLIA) di daerah Sepang kini dibuka kepada orang ramai terutamanya peminat kapal terbang dan fotografi.

Di sini, mereka berpeluang untuk melihat dan merakam gambar pesawat yang berlepas atau mendarat di KLIA dari sudut-sudut yang menarik. Konsep terbuka di Anjung Spotter ini juga memberikan pengalaman luar biasa kepada pengunjung, serta dapat mencipta memori tersendiri terutamanya kepada kanak-kanak.

Alamat: Jalan Pekeliling, Kuala Lumpur International Airport, 64000 Sepang, Selangor.


5. Ardence Labs @ Eco Ardence, Setia Alam

Dalam ramai asyik berlumba-berlumba mencari tempat-tempat menarik sebagai latar bagi gambar mereka di laman media sosial, pemaju hartanah di negeri Selangor turut tidak berkecuali mewujudkan tempat-tempat menarik di sekitar kawasan yang dibangunkan mereka.

Sebagai contoh, Ardence Labs @ Eco Ardence merupakan tarikan terbaharu di Setia Alam di mana para pengunjung berpeluang merakamkan gambar yang menarik dengan elemen 2D, 3D, grafitti dan lain-lain.

Alamat: Eco Ardance Sales Gallery PT 8, Persiaran Setia Alam, 40170 Shah Alam, Selangor.


6. Elmina Central Park, Shah Alam

Kehijauan dalam pemodenan. Elmina Central Park merupakan kawasan riadah yang mempunyai trek joging yang dikeliingi pepohon yang menghijau. Pengunjung taman juga dapat menikmati kemudahan aktiviti berbasikal dan kasut roda.

Jambatan Icon Elmina (Elmina Iconic Bridge) pula merupakan sebuah struktur yang gah dan sesuai untuk dijadikan latar gambar. Dengan warna merah terang, jambatan ini kelihatan seolah-olah menyala apabila matahari menghilang dari pandangan sekali gus memberikan pengunjung pemandangan malam yang sangat mengagumkan.

Alamat: Seksyen U16 City of Elmina, 40160, Selangor.


7. HL Dragon Fruit Eco Farm, Sepang

HL Dragon Fruit Eco Farm yang terletak di daerah Sepang ini bukan sahaja mempunyai ladang tanaman buah naga yang luas, malah turut menyediakan pelbagai aktiviti pertanian untuk pengunjung.

Mereka berpeluang untuk merasai pengalaman menanam sendiri pokok buah naga, memetik buah naga segar, mempelajari pendebungaan bunga buah naga, serta menjelajahi keindahan kebun buah naga dengan khidmat jurupandu yang mempunyai pengetahuan yang tinggi dalam tanaman ini.

Alamat: Lot 7608, Jalan Besar, Baru Satu, 43900, Sepang, Selangor.


8. Kolam Air Panas Sungai Serai, Hulu Langat

Selangor terkenal dengan pelbagai keunikan alam semulajadi yang mempunyai penggemar dari pelbagai kelompok usia. Terletak di Kampung Sungai Serai, Hulu Langat, Kolam Air Panas Sungai Serai merupakan sebuah tarikan terbaharu bagi penggemar alam sekitar.

Di sini terdapat banyak kolam air panas memandangkan struktur tanahnya yang mempunyai kandungan belerang yang tinggi. Kolam air panas ini juga merupakan destinasi yang tepat untuk disinggahi selepas kesejukan bermandi manda di kawasan air terjun yang banyak terdapat di daerah Hulu Langat.

Alamat: Lot 769, Jalan Sentosa 11/A, Taman Desa Sentosa, Hulu Langat, Daerah Hulu Langat, selangor.


9. Woodhouse KKB IO Home, Tinggian, Kuala Kubu Bharu

Woodhouse KKB IO Home menawarkan pengalaman menginap di seleksi rumah kayu yang cukup unik dengan elemen privasi. Pemandangan puncak Bukit Kuala Kubu Bharu yang menakjubkan turut menjadi latar di lokasi ini. Woodhouse KKB IO Home dihiasi dengan kemudahan moden untuk penginapan yang selesa dan serba mewah.

Ia juga memiliki kolam renang privasi, dua bilik tidur besar dengan bilik mandi individu, dapur luar yang dilengkapi dengan peralatan memasak, ruang makan beranda, kemudahan untuk aktiviti barbeku, mesin basuh, TV kabel, meja belajar, serta banyak lagi kemudahan lain.

Alamat: Jalan Harmonian 2, Off Jalan Padang Golf, Tinggian, 44000 Kuala Kubu Bharu, Selangor


10. Bukit Chenuang, Hulu Langat

Bukit Chenuang yang terletak di daerah Hulu Langat mempunyai potensi untuk menjadi pilihan para penggemar aktiviti pendakian selepas Bukit Broga kerana trek dari pintu masuk Hutan Lipur Sungai Chongkak ke puncak Bukit Chenuang dilengkapi dengan tanda arah yang jelas serta memudahkan.

Di sepanjang perjalanan juga terdapat beberapa batang anak sungai bagi melepaskan lelah dan bersantai, dan pendakian hingga ke puncak Bukit Chenuang dijangka mengambil masa dalam 2-3 jam, bergantung kepada kelajuan dan kemahiran para pendaki.

Alamat: Pejabat Hutan Daerah Selangor Tengah, Tingkat 1, Blok B, Platinum Cheras, 43200 Cheras, Selangor


Namun, adalah harus diingatkan, aktiviti percutian di negeri ini perlulah dilaksanakan dengan berhemah. Hampir kesemua kawasan pelancongan di Selangor telah mempraktikkan garis panduan berlandaskan SOP yang dikeluarkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara, namun pelancong sendiri perlulah sentiasa peka.

Sentiasa pastikan pendaftaran ke premis pelancongan menerusi aplikasi Selangkah: Langkah Masuk Dengan Selamat, amalkan penggunaan cecair pembasmi kuman secara kerap, menjaga penjarakan sosial, serta sentiasa memakai pelitup muka di tempat awam demi kesejahteraan bersama.

Untuk informasi lanjut, layari laman web Tourism Selangor dan YouTube di saluran Tourism Selangor.


Sumber: Tourism Selangor

Jom Klik HASiL, Lapor dan Bayar Cukai Pendapatan Kemudian Dapat Bayaran Balik!

     Foto: Ringgit.com

CUKAI pendapatan merupakan salah satu daripada komponen terbesar sumber kewangan kerajaan di mana ia menyumbang lebih 50 peratus setiap tahun bagi membiayai polisi pembangunan negara dan meneruskan kesejahteraan rakyat.

Selain itu, lebih banyak peruntukan diperlukan untuk insentif kewangan kerajaan bagi membantu rakyat yang terkesan berikutan pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak awal tahun lalu.

Menerusi cukai pendapatan, pembangunan negara bukan sahaja dapat dilaksanakan dengan lebih lancar, ia juga membantu rakyat meneruskan kelangsungan hidup terutama mereka yang kehilangan punca pendapatan secara tiba-tiba.


Sehubungan itu, cukai pendapatan bukan sahaja amalan berkongsi rezeki, tetapi juga menunaikan tanggungjawab sebagai pembayar cukai dan melaporkan pendapatan tahunan.

Bagi pembayar cukai, Program Jom Klik HASiL tidak asing buat mereka untuk melaporkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM).

Bukan sekadar lapor, mereka juga membayar cukai yang dikenakan berdasarkan kepada jumlah pendapatan diterima pada tahun tersebut.

Pada tanggal 1 Mac setiap tahun, mereka yang layak membayar cukai perlu mengisytiharkan pendapatan mereka dan membayar cukai yang sewajarnya kepada LHDNM melalui Portal Rasmi LHDNM.

Jom Klik HASiL

Apakah program Jom Klik HASiL? Untuk makluman anda, ia merupakan program bagi menggalakkan pembayar cukai untuk mengemukakan Borang Nyata (BN) atau membuat bayaran cukai dengan menggunakan kemudahan secara dalam talian yang mudah, tepat dan selamat di bawah aplikasi MyTax.

MyTax di portal rasmi LHDNM merupakan akses utama kepada perkhidmatan ezHASiL seperti e-Filing, e-Daftar, ByrHASiL dan banyak lagi yang boleh dicapai oleh semua pembayar cukai secara Single Sign-On.


MyTax merupakan akses utama kepada perkhidmatan ezHASiL.

Antara lain, MyTax turut membolehkan anda melihat jumlah sumbangan cukai bagi tempoh tiga tahun taksiran yang terkini termasuk semakan maklumat sekatan perjalanan.

Objektif bagi program Jom Klik HASiL adalah untuk menggalakkan pembayar cukai memfailkan BN secara elektronik serta memastikan BN diisi dengan betul dan tepat dan menggalakkan bayaran cukai dilaksanakan secara elektronik untuk menjimatkan masa dan kos.

Program ini turut menggalakkan pembayar cukai menggunakan perkhidmatan dalam talian yang disediakan LHDNM dan memberi khidmat nasihat percukaian kepada pembayar cukai melalui taklimat yang diadakan secara maya sesuai dengan norma baharu yang disarankan kerajaan.

Kemuka borang

Bagi individu yang tidak menjalankan perniagaan, mereka boleh mengemukakan Borang BE (BE) sehingga 30 April 2021, manakala individu yang menerima pendapatan daripada perniagaan boleh mengemukakan (B) sehingga 30 Jun 2021.

Sepanjang program Jom Klik HASiL, pembayar cukai digalakkan untuk menggunakan perkhidmatan dalam talian, iaitu penghantaran e-BE secara e-Filing membenarkan anda untuk melaporkan BN pada atau sebelum 15 Mei 2021 berbanding anda mengemukakannya secara borang kertas di mana tarikh akhir penghantaran pada 30 April 2021.

Selain itu, e-Filing juga membenarkan anda melaporkan e-B pada atau sebelum 15 Julai 2021 berbanding anda mengemukakannya secara borang kertas di mana tarikh akhir penghantaran pada 30 Jun 2021.

Mulai 2020, LHDNM tidak lagi menyediakan kemudahan kaunter e-Filing di cawangan disebabkan oleh norma baharu yang telah ditetapkan oleh kerajaan bagi membendung penularan wabak Covid-19.


Mulai 2020, LHDNM tidak lagi menyediakan kemudahan kaunter e-Filing di cawangan disebabkan oleh norma baharu.

Di bawah ezHASiL, kemudahan disediakan kepada pembayar cukai untuk menguruskan percukaian mereka secara dalam talian menerusi perkhidmatan popular yang selalu digunakan seperti e-Filing.

Jadi, pembayar cukai boleh mengakses sistem e-Filing melalui portal rasmi LHDNM di www.hasil.gov.my > MyTax > Perkhidmatan ezHASiL > e-Filing.

Sebelum menggunakan e-Filing, pastikan anda telah mendaftar sebagai pembayar cukai. Jika belum, daftar menerusi e-Daftar dan seterusnya mendapatkan nombor PIN e-Filing melalui Borang Maklum Balas Pelanggan LHDNM

Bayaran balik

Saat yang paling ditunggu-tunggu oleh pembayar cukai semestinya bayaran balik setelah anda selesai membuat e-Filing.

Anda kini menyedari bahawa pendapatan bercukai anda dapat dikurangkan dengan membuat tuntutan pelepasan cukai.

Bagi individu yang tidak menjalankan perniagaan atau lebih mudah lagi disebut sebagai mereka yang berpendapatan penggajian, kebiasaannya majikan telah membuat Potongan Cukai Bulanan (PCB) ke atas gaji yang mereka terima setiap bulan.

PCB bertujuan untuk mengurangkan beban pekerja supaya tidak perlu membayar cukai secara sekali gus apabila cukai sebenar dikira.

Pembayar cukai akan menerima bayaran balik sekiranya jumlah cukai yang dibayar terlebih dahulu menerusi PCB melebihi cukai sebenar yang dikenakan ke atas mereka.

Keadaan ini berlaku apabila mengambil kira pelepasan atau rebat cukai yang dituntut ketika mengisi e-Filing.

Penggunaan e-Filing bagi melaporkan pendapatan memberi kelebihan kepada anda untuk menerima bayaran balik dalam tempoh 30 hari bekerja berbanding 90 hari bekerja bagi pengemukaan BN melalui pos atau serahan tangan.

Jadi, apa tunggu lagi? Anda boleh memulakan langkah bijak dengan melapor dan membayar cukai pendapatan. Jom Klik HASiL sekarang.


Jom Klik HASiL menerusi e-Filing.

Sebarang pertanyaan boleh dibuat melalui Borang Maklumbalas Pelanggan atau hubungi HASiL Care Line di 03-8911 1000.

Maklumat lanjut percukaian boleh diperolehi di www.hasil.gov.my. Sumbangan anda jaminan kemakmuran negara.


Sumber: MStar Online

TERKINI

AirAsia lancar promosi Tempat Duduk PERCUMA* dan jualan hebat ke lebih 130 destinasi

AirAsia melancarkan promosi  dan jualan hebat pertama pada tahun 2024 dengan jutaan tempat duduk ke lebih 130 destinasi. Syarikat itu dalam ...