Tips Jimat Melancong Saranan Expedia

Foto: EXPEDIA


TRAVEL | MELANCONG merupakan aktiviti yang menjadi pilihan ramai serta menjadi salah satu sumber pendapatan negara.

Sama ada bercuti di dalam atau luar negara, perancangan yang rapi dan persediaan awal merupakan antara langkah utama yang perlu dititikberatkan.

Ia juga penting bagi memastikan percutian yang direncana tidak berakhir sebagai pembaziran dan merugikan.

Laporan Tinjauan Harga Perjalanan 2019 mendedahkan, hasil daripada data penerbangan dunia Airlines Reporting Corporation (ARC) dan trend penginapan oleh Kumpulan Expedia merumuskan pentingnya faktor masa untuk menikmati atau memperoleh penjimatan yang secukupnya dalam pelan pelancongan.

Pengarah Urusan Data Sains di ARC, Chuck Thackston berkata, kira-kira tiga suku perjalanan, penjimatan boleh-ukur dapat diperoleh oleh pelancong yang melanjutkan perjalanan pada hari bekerja dengan menambah satu hari penginapan pada malam Sabtu.

“Peluang penjimatan boleh-ukur ini dapat diperoleh dengan melanjutkan perjalanan pertengahan minggu hingga ke hujung minggu adalah satu penemuan baharu kami dan ianya amat berharga bagi pelancong.

“Pemain-pemain industri telah membincangkan mengenai bleisure (perniagaan + masa lapang) sejak kebelakangan ini, tetapi kami dapat mengira jumlah penjimatan sebenarnya bagi para pelancong yang menggunakan konsep ini. 

Ia adalah sesuatu yang baik bagi mereka yang suka melancong dan mereka seharusnya menggunakan konsep ini dalam rancangan perjalanan mereka,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Harga lebih murah

Tambahnya,laporan itu turut menonjolkan bagaimana para pelancong yang bijak dapat menggandakan nilai sebenar wang mereka secara strategik bukan sahaja ketika menempah tiket penerbangan.

Jelasnya lagi, mereka juga peka memilih masa permulaan perjalanan mereka. Ia juga mendedahkan trend celik pelancongan di mana rakyat Malaysia boleh menggunakan untuk mendapatkan tiket penerbangan khas atau premium dengan harga yang lebih murah.

FOTO: EXPEDIA

Antara tip penjimatan dalam perjalanan yang berasaskan faktor masa untuk pelancong Malaysia adalah seperti berikut:

1. Tempah perjalanan pelancongan anda tiga minggu lebih awal untuk penjimatan terbaik.

2. Tempah tiket penerbangan kelas ekonomi dan Premium/Bisnes pada hari Ahad untuk penjimatan sehingga 20 peratus.

3. Jimat lebih daripada 10 peratus bagi tiket penerbangan kelas ekonomi apabila anda memulakan perjalanan pada hari Khamis.

4. Jimat sehingga lima peratus bagi tiket penerbangan kelas Premium/Bisnes apabila anda memulakan perjalanan pada hari Jumaat.

5. Tambah satu malam penginapan pada hari Sabtu ketika perjalanan pertengahan minggu anda jika bermula dari hari Rabu, untuk jimat lebih daripada 10 peratus bagi tiket penerbangan, kadang-kadang lebih banyak diskaun dapat diperoleh jika ke destinasi perniagaan yang popular.

SUMBER: KOSMO

PERODUA Catat 7.3 Peratus Peningkatan Jualan

FOTO SUMBER: PAULTAN

AUTOMOBIL | Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) mencatatkan jualan kenderaan sebanyak 7.3 peratus kepada 37,400 unit dalam tempoh dua bulan pertama 2019 berbanding 34,800 unit tempoh sama tahun sebelumnya.

Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Datuk Dr Zahari Husin, berkata lonjakan jualannya itu disebabkan permintaan yang tinggi untuk hampir kesemua modelnya.

Beliau berkata, peningkatan prestasi jualan adalah hasil daripada usaha kumpulan menambahbaik masa penghantaran model baharu kepada pelanggan.

Dua bulan pertama tahun ini katanya, PERODUA menjual 15,000 unit Myvi, 10,100 unit Axia, 5,900 unit Bezza, 3,600 unit Aruz dan 2,700 unit Alza.

Manakala dari segi pengeluaran pula katantya, 36,500 kenderaan telah dikeluarkan, hampir 6.2 peratus lebih banyak daripada 34,375 unit dalam tempoh yang sama tahun lalu.

“Sementara menunggu laporan bahagian pasaran daripada Persatuan Automotif Malaysia (MAA), kami menganggarkan bahawa penguasaan pasaran kami setakat tahun ini adalah 41 peratus.

“Sementara itu, kenderaan utiliti sukan (SUV) tujuh tempat duduk terbaharu kami, Perodua Aruz, terus meraih pesanan yang memberangsangkan dengan lebih daripada 13,000 tempahan diterima sejak awal Januari,” katanya dalam satu kenyataan pada 4 MAC 2019.

Perodua Aruz ditawarkan dalam dua varian iaitu X dan AV. Pada masa ini, kira-kira 85 peratus daripada tempahan adalah untuk AV.

Zahari berkata, pihaknya juga menyelaraskan operasi pengeluaran dalam usaha mengurangkan masa menunggu untuk Aruz dan ia akan diteruskan juga pada Mac.

PERODUA kini mengadakan jerayawara (roadshow) Aruz On Tour di seluruh negara, bermula pada 13 Februari di Selangor dan seterusnya ke Johor Bahru, Kota Bharu dan berakhir di Kuching.

SUMBER: BH ONLINE

TERKINI

Akibat Durian Dijual Guna Timbang Kilogram, Generasi Muda Dan Masa Hadapan Hilang Minat Makan?

Disusun Oleh : Mohd Ezli Mashut Imej Janaan AI Oleh : Mohd Ezli Mashut =========================================== HARGA TAK MASUK AKAL. Ad...