Gelombang Panas Melampau Ledak Malapetaka Dahsyat, Kebakaran Besar Di Eropah

   Tangkap layar akhbar METRO


GLOBAL | Gelombang panas melampau yang melanda barat Eropah menyebabkan sebahagian benua itu semakin ‘layu’ di bawah sinaran matahari sehingga menyumbang kepada kebakaran besar-besaran dan mengakibatkan suhu lebih tinggi pada 19 Julai 2022/Selasa.


Agensi Berita Antarabangsa melaporkan di Britain, ramalan kaji cuaca berkata, rekod suhu semasa mencecah 39.7 darjah Celsius dan mungkin meningkat lebih tinggi sehingga 40 darjah Celsius buat kali pertama di negara tersebut.


Pada 18 Julai 2022/ Isnin, suhu mencecah 38.1 darjah Celsius direkodkan di Suffolk di timur England dan sekali gus menjadikan ia sebagai hari paling panas dalam tempoh setahun.


Suhu 39.3 darjah Celsius direkodkan di pantai Atlantik Brittany yang terletak di barat laut negara itu. Rekod sebelum ini hanya 35.1 darjah Celsius sejak tahun 2002.


Tidak ketinggalan Saint-Brieuc turut merekodkan suhu sehingga 39.5 darjah Celsius berbanding 38.1 darjah Celsius dan di bandar Nantes merekodkan suhu tertinggi sehingga 42 darjah Celsius yang mengatasi paras tertinggi selama beberapa dekad sejak tahun 1949.


Ketika ini, anggota bomba di barat daya Perancis masih bergelut dengan dua kebakaran besar-besaran sehingga memusnahkan kawasan yang luas.


Sejak seminggu lalu, anggota bomba dan dibantu pesawat pemadam api berusaha memadamkan kebakaran dan difahamkan hampir seluruh anggota dari Perancis dikerahkan ke kawasan terjejas.


Penyelidik Suruhanjaya Eropah berkata, hampir separuh atau 56 peratus wilayah Eropah terdedah kepada amaran kemarau peringkat tertinggi.


Manakala 11 peratus berada pada tahap berjaga-jaga dan tanaman dilaporkan mati akibat kekurangan air.


Kebakaran yang berlaku di Perancis, Greece, Portugal dan Sepanyol telah menyebabkan ribuan hektar musnah dan sekali gus mengaitkan kebimbangan mengenai krisis makanan global. 


Suhu UK Cecah 40 Darjah Celsius Buat Pertama Kali


LONDON: Gelombang haba yang teruk mencetus kebakaran hutan di Eropah barat, yang melonjakkan suhu di Britain hingga melebihi 40 darjah Celsius buat pertama kali semalam dan melepasi rekod suhu di beberapa kawasan lain.



Agensi Berita AFP pada 20 Julai 2022 melaporkan beberapa kebakaran kawasan terbuka berlaku di pinggir London, dengan satu daripadanya memaksa 14 penduduk dipindahkan berikutan kawasan ladang, kediaman dan garaj musnah dijilat api.


Selepas merekodkan suhu malam tertinggi, Jabatan Meteorologi United Kingdom (UK) memaklumkan merekodkan suhu 40.3 darjah Celsius di Coningsby di timur England, dan sekurang-kurangnya 34 lokasi di Britain melepasi 38.7 darjah Celsius yang dicatat di Cambridge pada 2019.


Beberapa pakar berpandangan peningkatan suhu itu berpunca daripada perubahan iklim, dan memberi amaran bahawa situasi lebih buruk akan berlaku.


Ketua Pertubuhan Meteorologi Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Petteri Taalas, berkata gelombang haba kini semakin kerap dan pola itu diramal berterusan sehingga 2060-an, bergantung pada kejayaan usaha menangani isu iklim itu.


"Pada masa depan, gelombang haba seperti ini akan menjadi suatu kebiasaan, dengan suhu ekstrim yang lebih tinggi," katanya.


Suhu tinggi itu mencetuskan beberapa amaran yang julung kali berlaku di England, dengan beberapa laluan kereta api ditutup sebagai langkah berjaga-jaga, manakala sekolah ditutup di beberapa kawasan.


    Tangkap layar akhbar The Guardian


Selain itu, operasi semua kereta api dari stesen King Cross di London dihentikan, menyebabkan ramai pengguna terkandas.


Dengan permukaan jalan raya dan laluan kereta api mencair dan kebimbangan kereta api tergelincir, Setiausaha Pengangkutan, Grant Shapps mengakui kebanyakan infrastruktur Britain tidak dibina untuk bertahan dengan suhu seumpamanya.


Di Perancis, 64 kawasan berbeza merekodkan suhu tertinggi Isnin lalu, dengan kebanyakannya terletak di sepanjang pantai barat Atlantik, dengan suhu mencecah melebihi 40 darjah Celsius.


Gelombang haba itu turut menyebabkan kebakaran hutan di Perancis, Greece, Portugal dan Sepanyol. 

Kajian Dapati Harga Rumah Mungkin Melonjak Dalam Tempoh Dua Tahun

    Sumber Foto : Mohd Ezli Mashut


HARTANAH | Harga rumah kediaman dijangka meningkat ketara dalam tempoh dua tahun datang dengan keyakinan tinggi terhadap ekonomi negara, demikian menurut Indeks dan Kaji Selidik Hartanah Suku Ketiga 2022 yang dikeluarkan oleh Juwai IQI Malaysia.


Dalam kenyataan media pada 19 Julai 2022/Selasa, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Juwai IQI berkata ejen-ejen hartanah menjangkakan harga rumah kediaman akan meningkat sebanyak 11.8 peratus di seluruh negara dalam tempoh 12 bulan akan datang.


Kashif Ansari berkata, pertumbuhan itu berterusan pada tahun berikutnya dengan harga dijangka berada 16.5 peratus lebih tinggi dalam tempoh 24 bulan akan datang.


"Di Pulau Pinang, ejen-ejen meramalkan pertumbuhan harga 17 peratus dalam masa dua tahun. Ejen-ejen di Johor mengunjurkan pertumbuhan harga 18.1 peratus dalam tempoh sama.


"Ejen-ejen di Kuala Lumpur dan Selangor menjangkakan pertumbuhan harga 15.9 peratus, manakala ejen-ejen di Sabah mengunjurkan pertumbuhan harga 14.7 peratus dalam tempoh dua tahun akan datang.


"Kami telah melakukan Indeks dan Kaji Selidik Juwai IQI sejak 2019, angka ini adalah unjuran pertumbuhan harga rumah kediaman paling kukuh yang pernah direkodkan. Unjuran berubah dengan ketara sejak suku ketiga 2021. Pada masa itu, ejen-ejen menjangkakan penurunan lima peratus harga rumah kediaman dan mereka terbukti hampir tepat," katanya.


Ansari berkata, antara sebab ejen-ejen begitu yakin terhadap pasaran hartanah adalah disebabkan mereka amat optimis dengan keadaan ekonomi.


"45 peratus daripada ejen percaya ekonomi akan menjadi lebih kukuh dalam tempoh enam bulan akan datang. Unjuran daripada Bank Negara Malaysia (BNM) menyokong tinjauan positif itu.


"Bank pusat percaya ekonomi Malaysia akan terus meningkat tahun ini dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan melonjak setinggi 6.3 peratus," katanya.


Beliau berkata, pembukaan semula sempadan antarabangsa dan projek pelaburan kerajaan akan merangsang aktiviti ekonomi.


"Kadar pertumbuhan KDNK suku pertama Malaysia pada 5.0 peratus adalah tinggi dari standard global. Ia pertumbuhan lebih pantas berbanding di China, Amerika Syarikat (AS) dan ekonomi utama lain.


"Kita telah terbiasa berfikir bahawa China adalah ekonomi paling pantas berkembang di dunia, namun itu tidak terjadi pada 2022. Malaysia kini berkembang lebih pantas berbanding China," katanya.


Ansari berkata, seandainya jangkaan oleh ejen-ejen hartanah menjadi kenyataan, senario itu menyaksikan pemilik rumah mendapat manfaat daripada peningkatan nilai, manakala mereka yang meninjau untuk menyewa atau membeli terpaksa menaikkan bajet.


"Nasihat ejen sama ada untuk membeli atau menyewa adalah petunjuk yang kukuh tinjauan mereka terhadap pasaran.


"Hampir sembilan daripada 10 ejen hartanah di Malaysia yang dikaji selidik berkata mereka menasihatkan supaya lebih baik membeli sekarang berbanding menyewa.


"Sebaliknya, hanya 11 peratus yang berkata mereka akan menasihatkan supaya lebih baik menyewa sekarang berbanding membeli," katanya.

Meteor Lintasi Ruang Udara Wellington, Ledak Sinar Terang Serta Bunyi Kuat

Tangkap layar laporan BH pada 7 Julai 2022 berkenaan lintasan meteor di Wellington New Zealand


GLOBAL | Sebuah meteor 'berapi' melintasi ruang udara ibu negara New Zealand, menghasilkan sinaran terang termasuk bunyi letupan, kata puluhan penduduk yang menyaksikan kejadian itu pada 7 Julai 2022/Khamis.


Agensi Berita Antarabangsa REUTERS pada 7 Julai 2022 melaporkan pusat ramalan cuaca, MetService menerusi hantaran di Twitter berkata, radarnya mengesan jejak asap meteor terbabit.


Agensi geologi tempatan, GeoNet pula percaya mesin seismometernya mengenalpasti bunyi gelombang sekitar jam 1.50 petang (waktu tempatan).


   Sumber Twitter : GEONET


Menurut seorang saksi, Mike Cousin yang ketika itu sedang bekerja berhampiran Wellington melihat biliknya diterangi dengan sinaran berwarna biru-jingga.


"Saya lari keluar dan melihat jejaknya dan kemudian terdengar bunyi deram-derum perlahan, sama seperti permulaan gempa bumi," katanya kepada Reuters.


Rakaman video menunjukkan meteor yang menerangi langit di wilayah Wellington.


Rakaman yang dihantar ke Newshub menunjukkan saat bola api menerangi langit. Curtis Powell melihat semuanya berlaku semasa dia memandu.


Seorang Ahli Astronomi di Balai Cerap Mount John Universiti Canterbury, Alan Gilmore, menjelaskan meteor terang yang melalui ruang atmosfera sangat laju adalah kejadian yang jarang berlaku di kawasan bandar.


"Sinarannya sangat terang dan ia mesti sebuah objek yang agak besar," kata Gilmore.


                  Sumber : Twitter


Tambahnya, letupan yang kedengaran dihasilkan meteor berkenaan menunjukkan ia datang dalam jarak 60 kilometer (km) dari Bumi.


Berikutan kejadian itu, tiada laporan mengenai terdapat meteor menghentam kawasan daratan atau lautan serta tidak ada penemuan serpihan daripada objek berkenaan. 






WASPADA, Penganalisis Jangka Ekonomi Besar Dunia Meleset Pada 2023

   Grafik: Diplomatic Currier


EKONOMI | Banyak ekonomi besar dunia bakal mengalami kemelesetan dalam tempoh 12 bulan akan datang, kata Nomura Holdings Inc.


Dalam nota penyelidikan ditulis bersama oleh ahli ekonominya, Rob Subbaraman dan Si Ying Toh berkata kemungkinan itu berpunca daripada dasar kerajaan diperketatkan dan kos sara hidup semakin meningkat, sekali gus mengheret ekonomi global terjerumus ke arah 'pertumbuhan perlahan secara serentak'.


Nomura berkata, negara seperti Eurozone, United Kingdom (UK), Jepun, Korea Selatan, Kanada, Australia dan Amerika Syarikat (AS) akan terjerumus ke dalam kelemesetan.



Katanya terdapat isyarat semakin jelas ekonomi dunia mengalami kelembapan pertumbuhan serentak, bermakna negara-negara tidak boleh lagi bergantung kepada peningkatan eksport untuk mencatatkan pertumbuhan.


"Ini menyebabkan kami mengunjurkan kemeseletan di beberapa negara," kata Nomura.


Firma penyelidikan itu berkata, tahap kedalaman kemelesetan berbeza antara satu sama lain.


Di AS, Nomura meramalkan kemelesetan kecil, namun berpanjangan sehingga lima suku tahunan bermula dari suku terakhir 2022.


Inflasi dan kenaikan harga menjejaskan isi rumah di AS dan meningkatkan kebimbangan ke atas pentadbiran Joe Biden.


Nomura meramalkan kemelesetan lebih mendalam di Eropah dan terus menjadi semakin buruk seandainya Russia menghentikan seluruhnya penghantaran gas ke rantau itu, kata kedua-dua ahli ekonominya.


Ekonomi AS dan Eurozone dijangka menguncup satu peratus menjelang 2023.


Nomura berkata, ekonomi bersaiz sederhana seperti Australia, Kanada dan Korea Selatan pula dijangka berdepan risiko kemelesetan lebih mendalam daripada jangkaan seandainya kenaikan kadar faedah menjejaskan sektor perumahan.


Korea Selatan mungkin paling terjejas dengan jangkaan penguncupan 2.2 peratus pada suku ketiga tahun ini.


Kemelesetan di Jepun pula dijangka sederhana berikutan sokongan dasar berterusan dan penangguhan pembukaan semula ekonominya.


Nomura menjangkakan China sebagai terpencil memandangkan pemulihannya ekonomi dibantu oleh dasar akomodatif oleh Parti Komunis China (CCP).


"Risiko tetap ada memandangkan sekatan pergerakan baharu boleh menjejaskan pemulihan, dengan China mengurangkan sekatan namun masih kekal dengan dasar sifar COVID-19," katanya.

Tiada Perubahan Ketara Suhu Pada 4 Julai Susulan Fenomena Aphelion

    Sumber Grafik: MYSA


CUACA | Suhu di Malaysia pada petang 4 Julai 2022/ Isnin dijangka tidak banyak perubahan ketara susulan fenomena aphelion yang dirasai berlaku seluruh dunia menurut  maklumat dipaparkan menerusi laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia.


Fenomena aphelion sebagai merujuk kejadian alamiah tahunan tersebut yang berlaku pada jam 3.10 petang.


Berdasarkan data oleh agensi di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air itu, suhu di Kuala Lumpur diramalkan maksimum 34 darjah Celsius manakala minimum pula 24 darjah Celsius.


Begitu juga kawasan peranginan tanah tinggi terkenal, Cameron Highlands di Pahang yang diramal mencatatkan suhu minimum 16 darjah Celsius serta maksimum 23 darjah Celsius.


Suhu purata berkenaan dianggap sebagai agak normal bagi dua destinasi tersebut dan bukan luar biasa sebagaimana yang tular diperkatakan segelintir warganet menerusi media sosial.


Sebelum ini dda dalam kalangan warga maya membuat ‘cerita’ pelik konon dunia bakal mengalami kejatuhan suhu paling ekstrem ketika fenomena berkenaan dengan cuaca pula amat sejuk.


Pada 1 Julai 2022, Agensi Angkasa Malaysia (Mysa) melalui hantaran infografik dalam laman sosial rasminya menerbitkan makluman penjelasan mengenai situasi kejadian aphelion.


Ia merupakan keadaan lazim apabila orbit bumi berada pada jarak yang paling jauh daripada matahari dan kali ini kedudukannya dianggarkan dengan jarak 152,098,455 kilometer (km).


Fenomena itu kebiasaannya berlaku selang dua minggu selepas Solstis Musim Panas pada 21 Jun yang menyaksikan siang amat panjang di hemisfera utara dan sebaliknya di selatan.


“Ia berlaku setiap tahun berikutan peredaran bumi mengelilingi matahari dalam orbit berbentuk elips dan tidak akan beri sebarang kesan signifikan kepada penduduk di bumi,” jelas Mysa.


 Jarak antara bumi dan matahari ujar agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi itu, sentiasa berubah kerana bentuk lengkung orbit planet ini adalah tidak sempurna bulat.


Berlawanan aphelion ialah fenomena perihelion apabila bumi berada pada kedudukan paling dekat dengan matahari dan kejadian ini sudah berlaku pada pukul 2.52 petang 4 Januari lalu.


Ketika waktu tersebut, jarak direkodkan ialah 147,105,052 km, manakala tahun depan pula, perihelion akan terjadi pukul 12.17 tengah malam 5 Januari dengan jaraknya 147,098,925 km.


Sementara itu, fenomena aphelion tahun depan diramalkan berlaku pada pukul 4.06 petang 7 Julai kelak dengan jarak antara bumi dan matahari dianggarkan sejauh 152,093,251 km.

TERKINI

AirAsia lancar promosi Tempat Duduk PERCUMA* dan jualan hebat ke lebih 130 destinasi

AirAsia melancarkan promosi  dan jualan hebat pertama pada tahun 2024 dengan jutaan tempat duduk ke lebih 130 destinasi. Syarikat itu dalam ...