Cara Simpan 7 Jenis Makanan Supaya Tahan Lama

Sumber Foto: ASD reports


Cara menyimpan makanan yang betul boleh membuat makanan tahan lebih lama dan mengelakkan pembaziran kerana makanan yang dibeli tidak akan cepat rosak.


Berikut antara tip yang boleh dijadikan panduan agar makanan tahan lebih lama.



1. Simpan kerepek dalam peti sejuk


Biasanya makanan dalam bungkusan seperti kerepek yang tidak habis hanya diikat. Namun, cara penyimpanan itu tidak menjamin mengekalkan kerangupan kerepek seperti mula-mula dimakan.


Cara terbaik menyimpannya adalah dalam peti sejuk kerana dengan cara ini ia akan kekal tahan lama tanpa lemau.


   Sumber Foto: Hello Doctor


2. Simpan kismis dalam bekas kedap udara


Walaupun buah-buahan kering boleh bertahan lebih lama, cara menyimpan yang tidak betul boleh menyebabkannya menjadi terlalu kering dan kenyal.


Cara terbaik adalah untuk menyimpannya dalam bekas kedap udara supaya ia kekal segar seperti mula-mula dibeli.


Sumber Foto: KPK Kesihatan


3. Simpan biskut dalam bekas kedap udara


Bukan sebarang bekas boleh digunakan untuk menyimpan biskut kerana kadangkala biskut akan menjadi lemau juga. Cara terbaik untuk biskut tidak cepat lemau adalah untuk menyimpannya di dalam bekas kedap udara di tempat kering. Biskut boleh bertahan selama tiga bulan jika tidak pernah dibuka tetapi hanya boleh dinikmati sekitar dua minggu apabila sudah dibuka.


Jika anda tidak sempat untuk menyimpan biskut dalam keadaan baik, boleh sahaja kekalkan kerangupan biskut dengan membakarnya dalam ketuhar. Bakar pada suhu 225 darjah selama 15 hingga 25 minit.


   Sumber Foto: Healthline

4. Simpan roti dalam peti ais


Rugi jika kita membeli roti tetapi tidak sempat menghabiskannya sebelum tarikh luputnya. Apabila sudah berkulat, kita terpaksa membuangnya.


Cara baik untuk mengekalkan kesegaran roti lebih lama adalah untuk menyimpannya dalam peti sejuk. Tetapi jangan biar terlalu lama kerana roti akan mengering dan kurang enak rasanya.


5. Simpan kek supaya kekal lembap


Lebihan kek biasanya disimpan dalam bekas atau kotak kek di dalam peti sejuk untuk diulang makan kemudian hari, tetapi kadang-kala hasrat itu terbantut kerana kek sudahpun berkulat. Cara membuat kek tahan lama adalah untuk membungkus kek yang telah dipotong itu dengan pembalut plastik supaya ia kekal lembap.


6. Simpan kekacang di tempat yang betul


Lebihan kekacang yang digunakan untuk membuat biskut atau kuih seperti walnut, badam dan gajus kadang-kala terbuang begitu sahaja kerana sudah sampai tarikh luputnya. Cara terbaik untuk kekacang tahan sehingga enam bulan adalah dengan menyimpannya dalam bekas kedap udara di dalam peti sejuk.


Jika anda mahu menggunakan kekacang itu, bakar pada suhu 350 darjah selama 10 minit.


7. Simpan kopi jauh daripada haba dan suhu lembap.


Cara terbaik untuk mengekalkan kesegaran kopi adalah simpan dalam bekas kedap udara dan letakkannya jauh daripada suhu lembap, cahaya dan haba.


Bagaimana pula jika menyimpannya dalam peti sejuk? Boleh, tetapi ia lebih sesuai untuk mereka yang jarang minum kopi (untuk disimpan buat jangka masa panjang)


Setelah mendapat beberapa maklumat berkaitan cara menyimpan makanan dengan betul, anda tidak perlu khuatir untuk menyimpan makanan untuk tempoh masa yang lama.


Sumber : Agensi berita/EM/na

Firefly Mulakan Semula Penerbangan Dari LTSAAS Ke Seletar Mulai 13 Jun


    Sumber Foto: Laman Sesawang Today.com


PENERBANGAN | Syarikat penerbangan tambang rendah Malaysia Aviation Group (MAG), Firefly menyambung semula perkhidmatannya dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Subang ke Lapangan Terbang Seletar bagi memberi kemudahan kepada pelanggan di wilayah timur laut Singapura.


Menurut Firefly, penyambungan semula perkhidmatan penerbangan itu berkuat kuasa mulai 13 Jun 2022 selepas dua tahun digantung ekoran pandemik yang menyaksikan pintu sempadan ditutup, lapor BH Online pada 23 Mei 2022.


"Penerbangan harian dua hala  dikendalikan oleh pesawat turboprop ATR 72-500 dengan kapasiti 72 tempat duduk.


"Kami akan meningkatkan perkhidmatan secara progresif menjelang akhir tahun," katanya.


Ketua Pegawai Eksekutif Firefly berkata syarikat penerbangan itu gembira dapat menghubungkan semula komuniti di Malaysia dan Singapura sama ada untuk perniagaan, masa lapang atau dengan orang tersayang.


"Memandangkan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menyasarkan menarik dua juta pelancong antarabangsa ke Malaysia tahun ini, Firefly melihat ini sebagai masa yang sesuai untuk memulihkan dan memainkan peranan menghubungkan masyarakat dalam kedua-dua negara," kata  Philip See.



Sementara itu, Pengarah Urusan Pembangunan Hab Udara Changi Airport Groupberkata, pihaknya gembira dengan penyambungan semula penerbangan Firefly ke Lapangan Terbang Seletar dengan lebih banyak pilihan untuk penumpang yang melakukan perjalanan antara kedua-dua negara.


"Kami telah melihat permintaan perjalanan yang kukuh antara kedua-dua negara sejak sekatan perjalanan dilonggarkan.


"Bersama-sama dengan rakan kongsi lapangan terbang kami, Lapangan Terbang Seletar bersedia untuk menyokong operasi Firefly dan berharap dapat mengalu-alukan dan melayani penumpang di lapangan terbang," kata Lim Ching Kiat.


Tiket boleh dibeli mulai 23 Mei 2022 daripada RM119 sehala dan dijual melalui aplikasi mudah alih Firefly, laman web, pejabat tempahan dan ejen pelancongan.


Firefly berkata, pelanggan boleh menikmati kemudahan lapangan terbang bandar, peningkatan kekerapan penerbangan, elaun bagasi percuma seberat 20 kilogram, daftar masuk dan naik cepat serta minuman percuma dalam penerbangan di atas ATR 72-500.

Lonjakan Harga Gandum Heret Dunia Ke Arah Krisis Makanan

   Sumber Foto: New York Times


Penganalisis/Disusun Oleh : MOHD EZLI MASHUT


ANALISIS | Makanan ruji kedua terbesar selepas bijirin jagung dengan pengeluaran global pada 2021 berjumlah 776.26 juta tan menjadikan ia sumber karbohidrat penting penduduk bumi.


China, India, dan Rusia ialah tiga pengeluar gandum individu terbesar yang menyumbang kira-kira 41 peratus daripada jumlah pengeluaran gandum dunia. 


Amerika Syarikat adalah pengeluar gandum keempat terbesar walau bagaimanapun, Kesatuan Eropah, jika ia dikira sebagai satu negara, pengeluaran gandumnya melebihi mana-mana negara kecuali China.


Pada April 2022, Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA) menganggarkan Pengeluaran Gandum Dunia 2021/2022 menjadi 778.83 juta tan metrik, sekitar 0.31 juta tan lebih daripada unjuran bulan sebelumnya.


Gandum (Jawi: ‏ݢندوم‎‎) atau terigu (Jawi: تريڬو‎) dikategorikan dalam famili rumput Poaceae merangkumi banyak spesies dalam genus Triticum spp.; tanaman ini diusahakan untuk mendapatkan biji benih yang dimanfaatkan sebagai makanan ruji di seluruh dunia terutamanya spesies Triticum aestivum. 


Ia merupakan makanan utama yang didatangkan dari bahagian isi benih yang dikisar menjadi tepung manakala selebihnya boleh dipisahkan dari sekamnya untuk mendapatkan bran; keseluruhan biji gandum kaya dengan serat makanan dan nutrien. Gandum juga ditanam khusus untuk tanaman ragut bagi ternakan dan untuk menghasilkan jerami.


Dalam Islam gandum adalah makanan ruji yang banyak disebut dalam hadis Nabi dan adalah diantara tanaman yang mana hasilnya dikenakan zakat apabila cukup musimnya. Beberapa ayat Quran yang ada mengaitkan dengan gandum seperti ayat dalam Surah Yusuf 12:46-48. 



Harga Gandum Melonjak Di Asia Tenggara, Diramal Naik 40 Peratus


South China Morning Post pada 16 Mei 2022 melaporkan krisis harga makanan global sejak pertengahan 2020 selepas serangan wabak Covid-19 menimbulkan gangguan terhadap rantaian bekalan sehingga menyebabkan harga bekalan asas seperti tepung dan minyak meningkat.


Situasi tersebut malah bertambah buruk selepas pencerobohan tentera Russia di Ukraine, 24 Februari 2022.


Agensi Makanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merekodkan harga makanan menyaksikan peningkatan sejak Februari hingga Mac 2022.


Rusia dan Ukraine sendiri menyumbang hampir satu pertiga daripada bekalan gandum dan barli di peringkat global, serta dua pertiga daripada eksport minyak bunga matahari yang digunakan untuk memasak. 


Bank Dunia meramalkan harga gandum boleh meningkat lebih 40 peratus tahun ini. 


Negara paling teruk terjejas adalah negara yang menghadapi krisis makanan seperti Afghanistan dan Yemen, termasuk pengimport utama gandum dari Ukraine dan Rusia. 


Gandum adalah antara bahan utama yang digunakan dalam beberapa hidangan makanan tradisional di negara Asia seperti roti naan, mi, piza, pasta, biskut termasuk pembungkus ladu di China. 


Singapura Terjejas Akibat Krisis Makanan 


Media South China Morning Post pada 14 Mei 2022 melaporkan Singapura antara negara di Asia Tenggara yang terjejas akibat krisis makanan global itu.  

 

Lapornya buat pertama kali dalam tempoh enam tahun, Leong Poh Yee terpaksa menaikkan harga hidangan ban mian sebanyak 10 sen yang dijual di gerai penjaja di Singapura. 


Katanya, kenaikan harga bermula Januari lalu disebabkan peningkatan kos tepung gandum, minyak serta bekalan elektrik yang terpaksa ditanggung. 


“Harga tepung meningkat hampir 15 peratus yang jauh lebih tinggi berbanding tahun lalu. 


“Ini menyebabkan saya terpaksa menaikkkan harga hidangan dan sudah tentu pelanggan tidak gembira, namun tiada apa yang saya boleh lakukan.


“Kami perlu mencari pendapatan untuk hidup dan tidak mempunyai pilihan lain,” katanya. 


Poh Yee menghasilkan hidangan popular dari China yang dihiasi dengan daging cincang dan ikan bilis.


Wanita berusia 47 tahun itu menghasilkan mi daripada tepung gandum dengan tangannya sendiri.


Ban Mian kini dijual dengan harga lima dolar Singapura (RM15.70).  


Peniaga itu berharap perniagaannya tetap meriah dikunjungi pengunjung supaya dia boleh menyerap sebarang kos tambahan tanpa perlu menaikkan harga hidangan lagi. 


Thailand, Vietnam & Beberapa Negara Asia Terdedah Kesan Kenaikan Harga


Rakan Kongsi KPMG di Singapura, Paul Kent berkata, pengimport bersih gandum Asia Tenggara termasuk Singapura, Thailand dan Vietnam akan lebih terdedah dengan kenaikan harga. 


Jelasnya, harga produk yang mengandungi gandum seperti mi dan bijirin dijangka meningkat dalam beberapa bulan akan datang.


“Negara pengimport makanan di Asia dan tempat lain terutamanya negara berpendapatan renda akan terdedah kenaikan harga. 


“Walaupun beberapa perniagaan lebih besar akan dapat mengimbangi kenaikan kos buat sementara waktu, namun pengguna juga akan tersepit,” katanya. 



India Sedia Eksport Gandum Ke Negara Memerlukan


Kerajaan India memaklumkan negara itu bersedia membuka ‘koridor khas’ untuk mengeksport gandum ke negara yang benar-benar memerlukan, lapor stesen penyiaran ABC, pada 15 Mei 2022.


Perkara itu dimaklumkan susulan pengumuman sekatan eksport hasil gandum negara itu pada 14 Mei 2022/ Sabtu selepas ia didapati mengganggu bekalan makanan domestik India.


Setiausaha Perdagangan India, B.V.R. Subrahmanyam memberitahu bahawa kerajaan juga akan membenarkan syarikat swasta memenuhi komitmen yang telah dipersetujui untuk mengeksport hampir 4.3 juta tan gandum sehingga Julai 2022.


Sebagai makluman, India telah mengeksport sejuta tan gandum pada bulan April.


Hasil gandum India merupakan sumber bekalan utama ke negara-negara jiran seperti Bangladesh, Nepal dan Sri Lanka.


Notis dalam warta kerajaan oleh Direktorat Perdagangan Luar menyatakan kenaikan harga global bagi gandum telah mengancam keselamatan makanan India.


Justeru, matlamat utama sekatan ke atas eksport adalah untuk mengawal kenaikan harga domestik selepas harga gandum global telah meningkat lebih 40 peratus sejak awal tahun ini.


Di India, harga gandum telah melonjak sebanyak 20 hingga 40 peratus.


“Kenaikan harga semasa adalah reaksi panik dan bukannya reaksi berdasarkan kejatuhan sebenar dalam bekalan atau permintaan mendadak,” katanya.


Sebelum perang, Ukraine dan Rusia menyumbang satu pertiga daripada eksport gandum dan barli global.


Bagaimanapun, sejak pencerobohan Rusia pada 24 Februari lalu, pelabuhan di Ukraine telah disekat dan infrastruktur awam serta pusat penyimpanan bijirin telah dimusnahkan.


Pada masa yang sama, India berdepan cabaran tersendiri apabila negara itu mengalami gelombang haba paling dahsyat dalam sejarah sehingga membantutkan penuaian tanaman.


India Benarkan Penghantaran Gandum Ke Luar Negara


India akan membenarkan penghantaran gandum ke luar negara yang ketika ini menanti pelepasan kastam, kata kerajaan pada 17 Mei 2022.


Agensi Berita Antarabangsa REUTERS pada 17 Mei 2022 melaporkan India memperkenalkan beberapa kelonggaran dalam eksport selepas ia mengharamkan penjualan luar negara komoditi berkenaan Sabtu lalu.


India juga akan membenarkan eksport gandum ke Mesir, kata kerajaan dalam satu kenyataan.


"Kerajaan membuat keputusan bahawa di mana saja penghantaran diserahkan kepada kastam untuk pemeriksaan dan telah didaftarkan ke dalam sistem, sama ada pada 13 Mei 2022, atau lebih awal, akan dibenarkan untuk dihantar keluar," kata kerajaan.


India mengharamkan eksport gandum pada 14 Mei 2022/ Sabtu lalu, hanya beberapa hari selepas mengatakan ia menyasarkan penghantaran rekod sebanyak 10 juta tan tahun ini, kerana gelombang haba menyekat pengeluaran dan harga domestik mencecah rekod tertinggi.


Kerajaan berkata, ia hanya akan membenarkan eksport yang disokong oleh surat kredit (LC), atau jaminan pembayaran, yang dikeluarkan sebelum 13 Mei.


Peruntukan itu telah menimbulkan ketidakpastian.


Daripada kira-kira 2.2 juta tan gandum di pelabuhan atau dalam transit, peniaga berkata mereka mempunyai LC untuk hanya 400,000 tan.


Keputusan untuk mengharamkan eksport gandum juga menyebabkan kira-kira 1.8 juta tan bijirin tersekat di pelabuhan, menyebabkan peniaga menghadapi kerugian besar daripada prospek menjual ke pasaran domestik yang lebih lemah. 


25 Juta Tan Bijirin ‘tersekat’ Di Ukraine


Pegawai Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) pada 8 Mei 2022 memaklumkan bahawa kira-kira 25 juta tan bijirin tersangkut di pelabuhan Ukraine susulan pencerobohan Russia.


Kesemua bekalan itu tidak dapat dieksport kerana masalah infrastruktur selain sekatan perjalanan di Laut Hitam dan Mariupol oleh Russia.


Menurut FAO, halangan itu menyebabkan lonjakan harga komoditi itu dalam pasaran makanan global sehingga mencapai rekod tertinggi pada Mac lalu berikutan operasi ketenteraan khas oleh Russia sejak 24 Februari 2022.


Kenaikan harga makanan dunia bagaimanapun dilihat mula berkurang pada bulan April 2022, namun masalah kekurangan stok makanan asas masih menjadi isu kritikal.


Berdasarkan angka Majlis Bijirin Antarabangsa (IGC), Ukraine adalah pengeksport jagung keempat terbesar di dunia dan pengeksport gandum keenam terbesar pada musim 2020/2021.


"Ini adalah keadaan yang menggerunkan kerana bekalan hampir 25 juta tan bijirin yang tersangkut di Ukraine boleh dieksport untuk memenuhi tuntutan bekalan dunia.


"Namun, ia tidak boleh meninggalkan negara itu hanya kerana masalah infrastruktur dan sekatan pelabuhan," kata Timbalan Pengarah Bahagian Pasaran dan Perdagangan FAO, Josef Schmidhuber.


Beliau berkata, menara penyimpan yang penuh bijirin itu mungkin berdepan masalah untuk musim penuaian pada Julai dan Ogos akan datang.


Perkara lain yang turut membimbangkan adalah beberapa gudang dan kemudahan penyimpanan bijirin di Ukraine musnah semasa perang dengan Russia.


Ukraine diwajibkan mengeksport bijirin menggunakan kereta api melalui sempadan baratnya atau dari pelabuhan kecil Sungai Danube sejak Moscow memulakan perang pada akhir Februari lalu.


Pihak berkuasa Ukraine berulang kali menyatakan bahawa mereka sedang berusaha untuk meningkatkan eksport melalui kereta api dan melalui pelabuhan Danube.


Ukraine juga berharap eksport melalui laluan ini tidak lama lagi akan meningkat kepada lebih daripada sejuta tan sebulan.


G7 Gesa Henti Sekat Eksport Bijirin Ukraine


Menteri-Menteri Luar Kumpulan Tujuh (G7) menggesa Russia supaya segera menamatkan sekatan laut bagi eksport bijirin Ukraine untuk mengelakkan berlakunya krisis kemanusiaan secara besar-besaran, lapor perkhidmatan berita DW pada 15 Mei 2022.


Tentera Russia telah menyekat bekalan eksport bijirin dari Ukraine di pelabuhan-pelabuhan di Laut Hitam, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai krisis makanan global.


“Perang yang dimulakan oleh Russia telah mengakibatkan berlakunya krisis makanan dan tenaga paling buruk dalam sejarah baru-baru ini.


“Ia kini memberi kesan kepada penduduk dunia,” kata kumpulan menteri tersebut selepas mengadakan sesi pertemuan di Wangles, Jerman.


Menteri Luar Jerman, Annalena Baerbock yang mempengerusikan mesyuarat tersebut berkata, para pemimpin G7 sedang menilai cara-cara untuk membawa keluar komoditi itu daripada ‘tersekat’ di Ukraine.


“Kira-kira 50 juta penduduk dunia terutamanya di Afrika dan Asia Barat akan berdepan dengan kebuluran. 


“Kita berdepan dengan persoalan utama, iaitu bagaimana penduduk dunia ingin makan? Mereka bertanya apa yang akan berlaku sekiranya tidak mempunyai bijirin yang kebiasaannya diperoleh dari Russia dan Ukraine,” tegas Baerbock.


Tambah beliau, Russia tidak mengendahkan krisis itu bahkan meneruskan peperangan ke atas Ukraine dengan mengubahnya menjadi ‘perang bijirin’.


“Russia memilih untuk memperluaskan perang ke atas Ukraine atau anda boleh gelarkannya sebagai ‘perang bijirin’ ke atas banyak negara di dunia terutamanya Afrika.


“Ini bukan kemusnahan cagaran. Ia merupakan satu instrumen dalam perang hibrid yang sedang dilancarkan.


“Russia kini sedang mempersiapkan asas bagi krisis baharu yang dicipta untuk melemahkan perpaduan antarabangsa yang menentang peperangan itu,” tegas Baerbock menurut laporan stesen penyiaran Euro News.


Justeru itu, Baerbock berkata, beliau dan rakan-rakan sejawatnya berikrar untuk menyokong Ukraine dalam mengekalkan pengeluaran, penyimpanan, pengangkutan dan pemprosesan pertanian serta memulakan semula eksport.


“Kami berazam untuk mempercepatkan tindak balas pelbagai cara bagi memelihara keselamatan makanan global dan berdiri teguh bersama negara-negara yang terjejas dengan isu ini,” katanya.


Peniaga Di Malaysia Mula Catu Elak Bekalan Terputus


Kosmo! pada 17 Mei 2022 melaporkan peniaga kedai runcit didakwa mula catu pembelian tepung gandum bagi elak pembelian panik atau bekalan terputus stok di pasaran di beberapa negeri.


Tinjauan media itu di beberapa negeri mendapati langkah mencatu itu bagi mengelakkan gangguan bekalan dan isu kenaikan harga barangan itu.


Di Kuala Terengganu, seorang peniaga, Mohd. Hilmi Aiman, 34, berkata, langkah mencatu terpaksa diambil bagi mengelak kerugian.


Dia berkata, gangguan bekalan itu dipercayai berpunca daripada sekatan kerajaan India untuk mengeksport tepung gandum sekali gus memberi kesan termasuk terhadap pengguna tempatan.


“Sebelum musim perayaan lagi bekalan sudah terganggu selain kenaikan harga setiap bulan. Waktu ini saya ambil dari pembekal pada harga RM2.80 sekilogram berbanding RM2.28 sebelum ini,” jelasnya.


Di Melaka, seorang peniaga, Lim Chee Keong, 45, berkata, dia kini hanya menjual tepung tertentu saja, susulan sukar mendapatkan bekalan bagi jenama lain.


Katanya, bagaimanapun harga borong bagi tepung tersebut semakin naik dengan terbaharu kenaikan adalah sebanyak RM7 atau RM30 sekotak, berbanding tahun lalu.


“Sekarang saya cuma ada bekalan untuk tepung cap Sauh dan Ros, cap lain susah nak dapat,” ujarnya.


Di Kelantan pula, seorang pemborong Mohd. Zin Mat, 60, berkata, boleh dikatakan hampir semua kedai di sini, tiada bekalan tepung gandum subsidi kerajaan.


“Kita jual tepung gandum pelbagai jenama dengan harga antara RM2.80 hingga RM3.40 sekilogram.


“Saya tidak mengehadkan pembelian tepung gandum kerana stok banyak tapi mahal. Itupun terpulang kepada pengguna untuk membelinya,” jelasnya.


Sekitar, keadaan sama turut berlaku apabila kebanyakan kedai mulai habis stok bekalan tepung gandum.


Seorang pengurus pasar borong di Bandar Sunway di sini, Nur Shafiqah Ibrahim berkata, bekalan tepung gandum agak sukar untuk dibeli daripada pembekal malah kebanyakan pembekal tidak lagi mempunyai stok tepung gandum.


“Biasanya pembekal sentiasa ada stok tepung gandum, tetapi kebelakangan ini memang sukar untuk kami dapatkan stok bahan mentah tersebut.


Nur Shafiqah berkata, pembekal juga tidak dapat memberikan kepastian bilakah bekalan bahan mentah itu akan pulih seperti sediakala.


KPDNHEP Beri Jaminan Bekalan Tepung Gandum Cukup


Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menegaskan bekalan tepung gandum dalam negara mencukupi dan kekurangan bahan itu di pasaran hanya melibatkan jenis tidak bersubsidi.


Kosmo! pada 17 Mei 2022 melaporkan Ketua Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP berkata, bekalan tepung gandum adalah mencukupi sepanjang tahun 2022 dan belum ada sebarang laporan diterima berhubung insiden keputusan bekalan melibatkan bahan tersebut.


Yunus Tasim menjelaskan bekalan tepung gandum di pasaran adalah stabil ketika ini dan berdasarkan pemantauan oleh 2,200 Penguat Kuasa KPDNHEP di seluruh negara, belum ada laporan diterima yang mengatakan bekalan tepung gandum berkurangan di pasaran.


“Juga belum ada laporan berkenaan kenaikan harga tepung gandum kegunaan am bersubsidi yang mendadak kerana tepung gandum yang dijual melebihi harga kawalan RM1.35 sekilogram (kg) adalah tepung gandum yang tidak bersubsidi,” katanya.


Jelas Yunus, kenaikan harga tepung gandum seperti yang didakwa oleh sesetengah peniaga adalah melibatkan tepung gandum yang tidak bersubsidi di mana harga jualan runcitnya tidak dikawal oleh kerajaan.


“Pengguna boleh mengenali dan membezakan tepung gandum kegunaan am bersubsidi berdasarkan Logo Barang Bersubsidi yang terdapat pada pembungkusan.


“Kerajaan tidak menetapkan atau mengawal harga tepung gandum tidak bersubsidi sebaliknya penetapan harga tepung gandum tidak bersubsidi dibuat oleh pengilang berdasarkan harga komoditi itu di pasaran global,” kata beliau.


Tambah Yunus, Penguat Kuasa KPDNHEP sentiasa memantau bekalan barangan keperluan di pasaran dan tepung gandum adalah salah satu barangan keperluan yang dipantau rapi bagi memastikan bekalannya sentiasa stabil dan mencukupi.


Beliau memaklumkan, kekurangan bekalan di sesuatu premis selalunya disebabkan tingginya permintaan di lokaliti tersebut dan lambatnya sampai bekalan dari stor pusat ke premis berkenaan.


katanya pihak KPDNHEP membuat siasatan jika melalui pemantauan ada peniaga mengambil keuntungan di luar batas munasabah atau mencatut atau ada elemen penyorokan.


“Kami juga mengalu-alukan orang ramai membuat aduan yang lengkap dan terus kepada kami melalui aplikasi WhatsApp di 019-279 4317 atau 019-848 8000.


“Ketika buat aduan ambil foto tanda harga, foto premis kedai dan alamatnya, sertakan dalam laporan tersebut,” jelasnya.



Bekalan tepung gandum negara tidak terkesan meskipun selepas India melarang eksport keperluan asas tersebut susulan gelombang haba akibat cuaca panas terik. Sumber: Facebook KPDNHEP/ 17 MEI 2022


LAPORAN TERHADAP LAPORAN AKHBAR UTUSAN MALAYSIA PADA 17 MEI 2022 BERTAJUK TEPUNG GANDUM SUKAR DIPEROLEH DI MELAKA


Tarikh Pemeriksaan  : 17 Mei 2022 antara jam 12:00 tengahari hingga 2:20 petang

Lokasi : Durian Daun dan Sekitarnya


Hasil Pemeriksaan :


1. Pemeriksaan Bekalan Tepung Di Premis Runcit


Pemeriksaan ke atas premis-premis sekitar Durian Daun mendapati bekalan tepung gandum secara keseluruhannya adalah mencukupi namun ada beberapa premis sedang menunggu bekalan tiba. Premis-premis seperti 99 Speedmart sedang menunggu bekalan tiba dari Pusat Pengedaran Syarikat. Walau bagaimana pun, Tepung Gandum bersubsidi Cap Kunci didapati berkurang kerana ramai pelanggan mencari tepung jenama tersebut.


2. Pemeriksaan Bekalan Tepung di Peringkat Pemborong FFM, Krubong. 


Hasil pemeriksaan peringkat pemborong didapati bekalan tepung gandum masih ada dan mencukupi dan tiada masalah bekalan tepung gandum dan dalam milikan mereka masih ada sebanyak 8000 kg dan merupakan pembekal kepada peruncit sekitar Durian Daun


3. Pemeriksaan Bekalan Tepung di Peringkat Pemborong Leong Huat Tien Guan Trading

Syarikat melaporkan bahawa kali terakhir bekalan tepung gandum bersubsidi sampai adalah pada 29 April 2022 sebanyak 200 karton.  Setakat ini bekalan untuk Bulan Mei belum  diterima lagi. Namun untuk bekalan Tepung Gandum tidak bersubsidi didapati masih banyak.


4. Tiada Kes yang dikeluarkan dalam pemeriksaan ini.


KESIMPULAN


Orang ramai diminta tidak panik kerana bekalan tepung gandum adalah stabil. Pengguna disarankan untuk tidak membuat pembelian tepung gandum bersubsidi secara panik. Jika perlu, KPDNHEP akan melaksanakan mekanisma had pembelian walau pun pada masa ini tiada keperluan untuk melaksanakannya.


Sumber: Facebook KPDNHEP/17 MEI 2022


Top 10 Wheat Producing Countries (in tons of wheat produced 2020)*


LINK: https://worldpopulationreview.com/country-rankings/wheat-production-by-country


China — 134,254,710

India — 107,590,000

Russia — 85,896,326

United States — 49,690,680

Canada — 35,183,000

France — 30,144,110

Pakistan — 25,247,511

Ukraine — 24,912,350

Germany — 22,172,100

Turkey — 20,500,000

Pakar Ekonomi Beri Amaran Harga Produk Berasaskan Gandum Bakal Melonjak


    Sumber Foto: KLIK DOKTER

Sekatan Eksport Gandum India Jejas Harga Pasaran Global


EKONOMI | Tindakan India menyekat eksport gandum ke pasaran global termasuk Malaysia dijangka meningkatkan harga produk berasaskan bahan mentah itu, selain bakal menyumbang kepada kenaikan kadar inflasi dunia, kata Naib Pengerusi Gerakan Keadilan Monetari Malaysia.


BH ONLINE pada 17 Mei 2022/Selasa melaporkan Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata langkah yang dilaksanakan bagi melindungi kepentingan pasaran domestik India itu juga dilihat menambah tekanan ke atas rantaian bekalan gandum global yang terjejas akibat krisis Russia-Ukraine.


Jelas beliau ini akan menyebabkan barangan tempatan berasaskan gandum akan menjadi lebih mahal, sekali gus boleh menyumbang kepada kenaikan kadar inflasi.


Bacaan Lanjut: 

Lonjakan Harga Gandum Heret Dunia Ke Arah Krisis Makanan


"Situasi ini dijangka akan berterusan beberapa bulan lagi kerana bukan mudah meningkatkan kembali bekalan gandum dengan segera kerana ia bergantung kepada faktor cuaca dan permintaan peringkat domestik serta global.


"Justeru, rakyat Malaysia dinasihat berhemah dalam berbelanja dan mengutamakan barangan tempatan," katanya.


India melarang eksport gandum berkuat kuasa serta-merta ketika gelombang haba akibat cuaca panas terik menjejaskan hasil tanaman dan harga tempatan mencecah rekod paras tertinggi.


Harga gandum di India meningkat kepada rekod tertinggi dengan beberapa pasaran mencecah 25,000 rupee (RM1,418) satu tan, berbanding harga sokongan minimum ditetapkan kerajaan 20,150 rupee (RM1,143).


Bagaimanapun, kerajaan India menjelaskan, pihaknya masih membenarkan eksport membabitkan surat kredit sudah dikeluarkan serta atas permintaan negara yang berusaha memenuhi keperluan keselamatan makanan mereka.


Pembeli global mengharapkan negara pengeluar gandum kedua besar di dunia itu untuk bekalan selepas eksport dari wilayah Laut Hitam merudum susulan pencerobohan Russia terhadap Ukraine.


Sebelum penguatkuasaan larangan itu, India menyasarkan untuk mencatat rekod eksport 10 juta tan gandum, tahun ini.


Larangan eksport oleh India itu boleh mengakibatkan harga global melonjak ke paras baharu, sekali gus menjejaskan pengguna miskin di Asia dan Afrika.


Peningkatan harga makanan dan tenaga mendorong inflasi runcit tahunan India melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh lapan tahun bulan lalu serta mengukuhkan pandangan ahli ekonomi bahawa bank pusatnya perlu menaikkan kadar faedah secara lebih agresif untuk mengekang harga.


Indonesia sebelum ini turut mengambil langkah menyekat eksport minyak sawit bagi mengekang kenaikan harga komoditi itu, di samping menjaga kepentingan pasaran domestiknya.


Sementara itu, penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, berkata sesuatu yang tidak menghairankan apabila India sekat eksport gandum bagi mengawal permintaan dalam negara yang memiliki populasi kedua tertinggi dunia selepas China.


Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid menjelaskan ia susulan peperangan Russia dan Ukraine yang menjejaskan bekalan gandum dengan kedua-dua negara itu membekalkan 30 peratus daripada keperluan dunia, maka tidak mengejutkan India pula mengambil tindakan demi kepentingan domestik.


"Selain kekurangan bekalan, kenaikan harga gandum dunia menyebabkan India sukar memenuhi permintaan negara pengimport, jadi India perlu mementingkan rakyatnya dahulu," katanya.


Aimi Zulhazmi berkata, wujud juga gangguan imbangan pembayaran antara eksport dan import susulan kenaikan harga barangan termasuk gandum dalam dolar Amerika Syarikat (AS) yang menjurus kenaikan kadar inflasi dunia.


"Kenaikan harga gandum dunia mula memberi kesan kepada harga barang di Malaysia dan dijangka terus memberikan tekanan, apatah lagi ringgit lemah berbanding dolar AS.


"Ia dijangka berterusan kerana perang masih berlaku dan kemusnahan di Ukraine mengambil masa beberapa tahun untuk diperbaiki, itu pun seandainya perang tamat," katanya.


KPDNHEP Jamin Tepung Gandum Cukup


Sementara itu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menegaskan bahawa bekalan tepung gandum dalam negara adalah mencukupi dan kekurangan bahan itu di pasaran hanya melibatkan jenis yang tidak bersubsidi.


KOSMO1! pada 17 Mei 2022/Selasa melaporkan Ketua Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP berkata, bekalan tepung gandum  mencukupi sepanjang 2022 dan belum ada sebarang laporan diterima berhubung insiden keputusan bekalan melibatkan bahan tersebut.


Yunus Tasim berkata bekalan tepung gandum di pasaran adalah stabil ketika ini dan berdasarkan pemantauan oleh 2,200 Penguat Kuasa KPDNHEP di seluruh negara, belum ada laporan diterima yang me­ngatakan bekalan tepung gandum berkurangan di pasaran.


“Juga belum ada laporan ber­kenaan kenaikan harga tepung gandum kegunaan am bersubsidi yang mendadak kerana tepung gandum yang dijual melebihi harga kawalan RM1.35 sekilogram (kg) adalah tepung gandum yang tidak bersubsidi,” katanya.


Kosmo! pada 15 Mei 2022/Ahad  melaporkan peruncit dan peniaga kini mula resah apabila pihak pemborong mendakwa bekalan tepung gandum hanya mampu bertahan setakat Julai ini berikutan kekurangan bahan utama untuk diproses di peringkat pengilang


Jelas Yunus, kenaikan harga tepung gandum seperti yang didakwa oleh sesetengah peniaga adalah melibatkan tepung gandum tidak bersubsidi di mana harga jualan runcitnya tidak dikawal kerajaan.


“Pengguna boleh mengenali dan membezakan tepung gandum kegunaan am bersubsidi berdasarkan Logo Barang Bersubsidi yang terdapat pada pembungkusan.


“Kerajaan tidak menetapkan atau mengawal harga tepung gandum tidak bersubsidi sebaliknya penetapan harga tepung gandum tidak bersubsidi dibuat oleh pengilang berdasarkan harga komoditi itu di pasaran global,” ujar beliau.


Tambah Yunus, Penguat Kuasa KPDNHEP sentiasa memantau bekalan barangan keperluan di pasaran dan tepung gandum adalah salah satu barangan ke­perluan yang dipantau rapi bagi memastikan bekalannya sentiasa stabil dan mencukupi.


Beliau memaklumkan, kekurangan bekalan di sesuatu premis selalunya disebabkan tingginya permintaan di lokaliti tersebut dan lambatnya sampai bekalan dari stor pusat ke premis berkenaan.


“Pihak KPDNHEP akan membuat siasatan jika melalui pemantauan kami ada peniaga yang mengambil keuntungan di luar batas munasabah atau mencatut atau ada elemen penyorokan.


“Kami juga mengalu-alukan orang ramai membuat aduan yang lengkap dan terus kepada kami melalui aplikasi WhatsApp di 019-279 4317 atau 019-848 8000.


“Ketika buat aduan ambil foto tanda harga, foto premis kedai dan alamatnya, sertakan dalam laporan tersebut,” katanya.


Bacaan Lanjut: 

Lonjakan Harga Gandum Heret Dunia Ke Arah Krisis Makanan


India Larang Eksport Gandum, Siap Sedia Hadapi Lonjakan Harga Makanan

 Sumber Foto: Lazada


MAKANAN | India melarang eksport gandum berkuat kuasa serta-merta pada 14 Mei 2022/Sabtu, ketika gelombang haba akibat cuaca panas terik menjejaskan hasil tanaman dan harga tempatan mencecah rekod paras tertinggi.


Agensi Berita Antarabangsa REUTERS pada 14 Mei 2022/Sabtu melaporkan bagaimanapun, Kerajaan India menjelaskan, pihaknya masih membenarkan eksport membabitkan surat kredit sudah dikeluarkan serta atas permintaan negara yang berusaha memenuhi keperluan keselamatan makanan mereka.


Pembeli global mengharapkan negara pengeluar gandum kedua besar di dunia ini untuk bekalan gandum, selepas eksport dari wilayah Laut Hitam merudum susulan krisis pencerobohan Russia terhadap Ukraine.


Sebelum penguatkuasaan larangan itu, India menyasarkan untuk mencatat rekod eksport 10 juta tan gandum, tahun ini.


Larangan eksport oleh India itu boleh mengakibatkan harga global melonjak ke paras baharu, sekali gus menjejaskan pengguna miskin di Asia dan Afrika.


Peningkatan harga makanan dan tenaga mendorong inflasi runcit tahunan India melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh lapan tahun, April lalu, serta mengukuhkan pandangan ahli ekonomi bahawa Bank Pusat perlu menaikkan kadar faedah secara lebih agresif untuk mengekang harga.


Harga gandum di India meningkat kepada rekod tertinggi, dengan beberapa pasaran mencecah 25,000 rupee (RM1,418) per tan, berbanding harga sokongan minimum ditetapkan kerajaan sebanyak 20,150 rupee (RM1,143). 


Sumber Rujukan Berita Lain:


1. India Bans Wheat Exports as Food Security Comes Under Threat

https://www.bloomberg.com/news/articles/2022-05-14/india-says-wheat-exports-prohibited-with-immediate-effect


2. India bans wheat exports, cites food security and soaring prices

https://www.aljazeera.com/news/2022/5/14/india-bans-wheat-exports-cites-food-security-and-soaring-prices


3. Egypt in talks with India on wheat export ban exemption: Official


https://economictimes.indiatimes.com/news/international/business/egypt-in-talks-with-india-on-wheat-export-ban-exemption-official/articleshow/91567150.cms

Bersedia Hadapi Kenaikan Suhu, Musim 'Panas Yang Panjang'

       Sumber Foto: ORS NEWS


CUACA | JABATAN Meteorologi Malaysia  memaklumkan bahawa Monsun Barat Daya dijangka bermula 14 MEI 2022/Sabtu dan berterusan sehingga pertengahan September tahun 2022.


Bagi tempoh ini, angin bertiup secara konsisten dari arah barat daya dengan kelembapan udara yang lebih rendah dan keadaan atmosfera stabil.


Ia juga menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan dan menyebabkan kebanyakan tempat di seluruh negara mengalami bilangan hari tanpa hujan lebih banyak berbanding musim lain serta menghasilkan taburan hujan yang rendah.


Dalam masa sama, hujan lebat serta angin kencang dan petir berikutan fenomena garis badai (squall line) masih boleh berlaku di pantai barat Semenanjung dan barat Sabah pada awal pagi serta boleh berlarutan sehingga beberapa jam.


Memasuki fasa Monsun Barat Daya ini, beberapa aspek perlu dititikberatkan pihak berkuasa dan orang ramai, antaranya soal keselamatan dan kesihatan.


Ini kerana, memasuki fasa ini, kita akan berdepan musim panas yang panjang.


Keadaan ini sedang dirasai pada masa sekarang.


Dalam aspek kesihatan, orang ramai dinasihatkan untuk banyak minum air kosong dan kurang melakukan aktiviti di kawasan terbuka disebabkan faktor cuaca.



Tip Hadapi Musim Panas Saranan Bahagian Pendidikan Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia


Cuaca Panas : Nasihat Kepada Orang Ramai


Cuaca panas memberi tekanan fizikal kepada tubuh manusia. Kesan terhadap kesihatan boleh jadi dari tahap sederhana (mild) kepada yang boleh menyebabkan maut  contohnya akibat strok haba.


Semua orang berisiko menjadi mangsa cuaca panas. Walau bagaimanapun, terdapat kumpulan yang lebih berisiko:


- Mereka yang terbabit dengan kegiatan aktiviti fizikal di luar seperti buruh, peladang, ahli sukan, tentera, polis dan lain-lain.


- Orang dewasa (berumur 40 tahun ke atas mempunyai risiko 10 kali ganda berbanding dengan mereka yang lebih muda).


- Kanak-kanak berumur 5 tahun ke bawah.


- Penghidap penyakit sistem pernafasan.


- Penghidap penyakit darah tinggi, jantung, kencing manis dan penyakit kelenjar tiroid.

Risiko bertambah jika mereka memakai pakaian yang tebal dan ketat yang menghalang haba keluar daripada  penyejatan/ pengeringan peluh.



Gejala cuaca panas melampau adalah :


- Sakit kepala


- Keletihan


- Lemah tumpuan


- Pening


- Lemah otot–otot atau kekejangan


- Mual dan muntah


- Keadaan yang terlalu teruk boleh menyebabkan dehidrasi (kekeringan), kekeliruan dan tidak sedarkan diri (koma).



Cara  mencegah atau mengurangkan kesan terhadap kesihatan akibat cuaca panas melampau:


4.1 Anda Perlu :


- Minum air kosong dengan banyak tanpa mengira tahap aktiviti fizikal yang anda lakukan. Jangan tunggu sehingga anda dahaga.


- Sejauh yang mana yang boleh, anda perlu berada di dalam rumah/bangunan


- Hadkan aktiviti luar


- Kerap berehat


- Mandi atau gunakan kipas angin untuk menyejukkan tubuh badan anda


-Pakai pakaian yang ringan, berwarna-terang dan longgar.


- Pakai topi atau payung yang besar






4.2 Elakkan:


- Minum minuman yang mengandungi kafein, alkohol, atau kandungan gula yang tinggi.


- Membiarkan seseorang di dalam kereta yang tertutup.


-Bersenam dalam cuaca panas



Jika anda  mempunyai tanda-tanda masalah berkaitan dengan suhu panas,  ingat tip-tip di bawah;


- Keluar dari kawasan yang panas


- Tanggalkan pakaian yang ketat


- Letakkan kain yang basah dan sejuk pada badan


- Gunakan kipas untuk sejukkan badan


- Minum air setiap 15 minit


- Dapatkan bantuan jika keadaan tidak dapat dikawal


Bank Negara Naikkan OPR 25 Mata Asas Kepada 2.00 Peratus

    Bank Negara Malaysia


Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) pada mesyuaratnya 11 Mei 2022/Rabu memutuskan untuk menaikkan Dasar Semalaman (OPR), yang menjadi penanda aras rujukan kadar faedah pinjaman domestik sebanyak 25 mata asas kepada 2.00 peratus.


Bank pusat dalam kenyataan media pada 11 MEI 2022 berkata, pembukaan semula ekonomi global berterusan serta keadaan pasaran pekerja yang bertambah baik terus menyokong pemulihan kegiatan ekonomi.


Ia berkata, hal ini mengurangkan sebahagian daripada kesan konflik ketenteraan di Ukraine dan langkah-langkah pembendungan yang ketat di China.





Berikut adalah kenyataan media penuh Bank Negara Malaysia pada 11 MEI 2022


Pada mesyuarat hari ini, Jawatankuasa Dasar Monetari (Monetary Policy Committee, MPC) Bank Negara Malaysia membuat keputusan untuk menaikkan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.00 peratus. 


Kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan masing-masing kepada 2.25 peratus dan 1.75 peratus.


Pembukaan semula ekonomi global yang berterusan serta keadaan pasaran pekerja yang bertambah baik terus menyokong pemulihan kegiatan ekonomi. 


Hal ini telah mengurangkan sebahagian daripada kesan konflik ketenteraan di Ukraine dan langkah-langkah pembendungan yang ketat di China. Tekanan inflasi telah meningkat secara mendadak disebabkan oleh kenaikan harga komoditi, rantaian bekalan yang tertekan dan keadaan permintaan yang kukuh, khususnya di Amerika Syarikat. 


Kesannya, beberapa bank pusat dijangka membuat pelarasan pada penetapan dasar monetari mereka pada kadar yang lebih pantas bagi mengurangkan risiko inflasi. 


Prospek pertumbuhan global akan terus dipengaruhi oleh perkembangan berhubung dengan konflik di Ukraine, COVID-19, keadaan rantaian bekalan global, kejutan harga komoditi dan volatiliti pasaran kewangan.


Bagi ekonomi Malaysia, penunjuk terkini menunjukkan pertumbuhan yang lebih kukuh, didorong oleh permintaan dalam negeri yang lebih mantap dalam keadaan pertumbuhan eksport yang mampan. 


Pasaran pekerja terus disokong oleh kadar pengangguran yang lebih rendah, penyertaan tenaga kerja yang lebih tinggi dan prospek pendapatan yang lebih baik. Peralihan ke fasa endemik pada 1 April 2022 akan memperkukuh kegiatan ekonomi, sejajar dengan pelonggaran sekatan selanjutnya dan pembukaan semula sempadan antarabangsa. 


Aktiviti dan prospek pelaburan juga bertambah baik, disokong oleh realisasi projek berbilang tahun dan prospek pertumbuhan yang positif. 


Walau bagaimanapun, risiko terhadap pertumbuhan masih wujud, termasuk pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan, konflik geopolitik yang berterusan, gangguan rantaian bekalan yang bertambah teruk dan perkembangan buruk berhubung dengan COVID-19.


Inflasi keseluruhan diunjurkan berpurata antara 2.2% hingga 3.2% pada tahun 2022. Memandangkan peningkatan kegiatan ekonomi dalam keadaan tekanan kos yang berlarutan, inflasi asas seperti yang diukur oleh inflasi teras dijangka meningkat untuk mencatatkan purata antara 2.0% hingga 3.0% pada tahun 2022. 


Walau bagaimanapun, tekanan harga menaik akan dibendung sebahagiannya oleh kawalan harga yang sedia ada dan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi. 


Prospek inflasi terus dipengaruhi oleh perkembangan harga komoditi global yang berpunca terutamanya daripada konflik ketenteraan yang berterusan di Ukraine serta gangguan berkaitan bekalan yang berlanjutan, di samping langkah-langkah dasar dalam negeri mengenai harga yang ditadbir.


Sepanjang krisis COVID-19, OPR dikurangkan sebanyak 125 mata asas secara kumulatif kepada paras terendah yang belum pernah dicatatkan sebelum ini, iaitu 1.75 peratus, bagi memberikan sokongan terhadap ekonomi. 


Keadaan pandemik yang pertama kali berlaku sehingga memerlukan tindakan sedemikian kini telahpun reda. Dengan pertumbuhan dalam negeri yang semakin kukuh, MPC mengambil keputusan untuk mula mengurangkan tahap akomodasi monetari. 


Pengurangan ini akan dilaksanakan secara terkawal dan beransur-ansur bagi memastikan dasar monetari kekal akomodatif untuk menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam persekitaran harga yang stabil.


TERKINI

AirAsia lancar promosi Tempat Duduk PERCUMA* dan jualan hebat ke lebih 130 destinasi

AirAsia melancarkan promosi  dan jualan hebat pertama pada tahun 2024 dengan jutaan tempat duduk ke lebih 130 destinasi. Syarikat itu dalam ...