Fenomena iklim El Nino yang telah tiba meningkatkan kebimbangan terhadap cuaca dan suhu melampau, kata saintis di Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) Amerika Syarikat (AS).
"Bergantung pada kekuatannya, El Nino boleh menyebabkan pelbagai kesan, seperti meningkatkan risiko hujan lebat dan kemarau di lokasi tertentu di seluruh dunia," kata saintis iklim NOAA, Michelle L'Heureux.
"Perubahan iklim boleh memburukkan atau mengurangkan kesan tertentu berkaitan El Nino. Sebagai contoh, El Nino boleh membawa kepada rekod baharu bagi suhu, terutamanya di kawasan yang sudah mengalami suhu melebihi purata semasa El Nino," tambahnya, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP pada 9 Jun 2023.
Australia minggu ini memberi amaran El Nino akan memberikan hari yang lebih panas dan kering kepada negara yang terdedah kepada kebakaran belukar yang serius, manakala Jepun berkata El Nino yang sedang berlaku sebahagiannya bertanggungjawab terhadap musim panas di negara itu.
Kebanyakan tahun paling panas dalam rekod berlaku ketika El Nino, dan saintis bimbang musim panas ini dan seterusnya akan menyaksikan rekod suhu di darat dan di laut.
Mariana Paoli dari agensi bantuan Christian Aid berkata: "Orang miskin sudah terdesak ke ambang kemarau, banjir dan ribut yang disebabkan oleh pembakaran bahan api fosil dan kini mereka akan menghadapi suhu terlampau kesan El Nino.
"Mereka ini yang paling teruk terjejas oleh perubahan iklim tetapi telah melakukan yang paling sedikit untuk menyebabkannya."
Pengaruh fenomena itu terhadap Amerika Syarikat adalah lemah ketika musim panas tetapi lebih ketara bermula dari lewat musim luruh hingga musim bunga, kata NOAA dalam kenyataannya.
Menjelang musim sejuk, dianggarkan terdapat 84 peratus peluang El Nino yang "lebih besar daripada sederhana" berkembang, dan 56 peratus kemungkinan El Nino yang kuat.
Kebiasaannya ia akan menyebabkan keadaan lebih lembap daripada purata di beberapa bahagian negara, dari selatan California ke Pantai Teluk, tetapi lebih kering daripada keadaan purata di Barat Laut Pasifik dan Lembah Ohio.
Ia juga meningkatkan peluang untuk suhu yang lebih panas daripada purata di bahagian utara negara.
Keadaan El Nino yang berkembang diambil kira dalam ramalan taufan NOAA bulan lalu.
Ia mempunyai kesan menghimpit terhadap aktiviti taufan di Atlantik, tetapi biasanya meningkatkan aktiviti taufan di Pasifik tengah dan timur.
El Nino berasal daripada perkataan bahasa Sepanyol yang bermaksud 'anak lelaki', ia adalah fasa hangat El Nino-Southern Oscillation (ENSO).
La Nina pula bermaksud 'anak perempuan', lebih sejuk, yang mana mana suhu permukaan laut di timur dan tengah Lautan Pasifik berhampiran khatulistiwa adalah lebih rendah daripada biasa.