Hotel Istana 'Tutup Kedai' 1 September, Situasi Mencabar Kesan Wabak Covid-19


    Foto Sumber: Hotel Istana

PERHOTELAN | Hotel Istana Kuala Lumpur di Jalan Raja Chulan yang dimiliki oleh Tradewinds Corp Bhd akan menghentikan operasinya pada 1 September 2021.

BH ONLINE pada 1 Julai 2021 melaporkan menurut pekeliling bertarikh 30 Jun 2021 yang ditandatangani oleh Pengurus Besarnya, Nooradzzudin Omar, satu skim pemisahan sukarela (VSS) akan ditawarkan kepada pekerja yang terkesan.

Dalam pekeliling itu, Noorazzudin berkata, pengurusan terpaksa membuat pilihan yang sukar untuk menutup hotel berkenaan berikutan situasi ekonomi mencabar dicetuskan oleh pandemik COVID-19 yang meningkatkan lagi persaingan sengit dalam industri hospitaliti.

"Kami mencapai keputusan selepas mempertimbangkan keadaan semasa dan semua pilihan yang ada.

"Kami tidak mempunyai banyak pilihan selain meneruskan penutupan ini," katanya.

Noorazzudin menambah, daya saing hotel merosot dalam jangka masa tertentu ketika berdepan persaingan daripada hotel dan pangsapuri servis baharu yang berdekatan.

"Situasi sekarang lebih parah akibat pandemik COVID-19 yang sudah dan terus mempengaruhi industri kita dan kemampuannya untuk mencapai keadaan normal.

"Ini mempengaruhi perniagaan, harga, pulangan dan tempahan bilik kami walaupun ada usaha terbaik.

"Walaupun sebagai hotel kuarantin, kami mengalami kerugian operasi bulanan," katanya.

Kepada pekerja yang terkesan, beliau berkata pihak sumber manusia akan menghubungi mereka dalam waktu terdekat.

"Kami berterima kasih atas perkhidmatan semua dan berdoa anda berjaya pada tahun akan datang," katanya.

Tradewinds adalah salah satu pemilik dan pengendali hotel terbesar di negara ini, dengan tujuh aset hospitaliti di bawahnya.

Tiga di antaranya adalah resort yang merangkumi Mutiara Taman Negara, Meritus Pelangi Beach Resort and Spa di Langkawi, selain The Danna Langkawi.

Sumber: BH ONLINE/1 JULAI 2021

TERKINI

Panduan MESTI AMBIL PERHATIAN Sebelum Terbang Ke Langkawi

    Grafik: Tangkap Layar Laman Sesawang Air Asia DALAM persiapan untuk kembali terbang ke Langkawi bermula 16 September 2021, AirAsia membe...