UMW Catat Untung RM341.65 juta

FOTO SUMBER: businesstoday.com.my

BISNES | UMW Holdings Bhd kembali meraih keuntungan dengan mencatat untung bersih sebanyak RM341.65 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018 berbanding kerugian bersih RM640.61 juta bagi tempoh sama pada tahun sebelumnya.

Perolehan meningkat kepada RM11.30 bilion berbanding RM11.06 bilion bagi tempoh sama pada 2017.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata perolehan yang lebih rendah itu disebabkan penyusutan sumbangan minyak dan gas (O&G) akibat pengasingan segmen berkenaan.

Faktor lain termasuk penamatan operasi O&G yang seiring dengan strategi penjualan perniagaan minyak dan gas.

Syarikat itu juga mencatatkan keuntungan sebelum cukai yang lebih tinggi sebanyak RM786.2 juta daripada operasinya yang berterusan, berbanding RM266.6 juta pada tempoh sebelumnya berikutan prestasi yang lebih baik daripada tiga segmen teras dan kebalikan peruntukan.

Mengenai prospek semasa, syarikat itu akan terus memberi tumpuan bagi mengukuhkan tiga perniagaan terasnya iaitu automotif, peralatan dan penghasilan serta kejuruteraan.

Ia akan meletakkan syarikat itu dalam keadaan lebih baik untuk berkembang dan meningkatkan nilai pemegang saham.

Sekiranya tiada keadaan yang tidak diduga, syarikat itu menjangka dapat mencatat prestasi yang memuaskan pada 2019.

SUMBER: BERNAMA

TERKINI

AirAsia lancar promosi Tempat Duduk PERCUMA* dan jualan hebat ke lebih 130 destinasi

AirAsia melancarkan promosi  dan jualan hebat pertama pada tahun 2024 dengan jutaan tempat duduk ke lebih 130 destinasi. Syarikat itu dalam ...