Tunjuk Sijil, Insurans Kesihatan Sebelum Naik Pesawat Ke Thailand



BANGKOK: Semua pengembara yang ingin memasuki Thailand perlu mengemukakan sijil kesihatan dan insurans kesihatan, mulai 22 MAC ini sebelum menaiki pesawat ke negara itu bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Perkara itu dinyatakan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Thailand (CAAT) menerusi pengumuman terbarunya.

Semalam CAAT berkata, hanya pengembara dari enam negara dan wilayah yang diklasifikasikan sebagai zon jangkitan penyakit dan 11 negara yang sedang berdepan dengan jangkitan tempatan COVID-19 perlu mengemukakan dokumen sebelum menaiki pesawat ke negara itu.

Menerusi langkah itu pengembara perlu mengemukakan sijil kesihatan tidak lebih daripada 72 jam sebelum tarikh perjalanan bagi membuktikan bebas virus itu dengan perlindungan insurans kesihatan minimum bagi COVID-19 tidak kurang daripada USD$100,000.

Bagi rakyat Thailand yang pulang ke tanah air, mereka perlu mengemukakan sijil kesihatan mengesahkan mereka boleh menaiki pesawat dan surat yang dikeluarkan oleh Kedutaan Thailand, Konsulat Jeneral atau Kementerian Luar.

“Pengembara yang gagal mengemukakan dokumen berkenaan tidak akan dibenarkan menaiki pesawat,” kata CAAT dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, penumpang perlu menyediakan maklumat mengenai alamat di Thailand dalam Borang T 8 atau borang permohonan “AOT Airport of Thailand” dan sejurus tiba di lapangan terbang, penumpang perlu mengemukakan sijil kesihatan, polisi insurans, Borang T 8 kepada pegawai kawalan penyakit berjangkit.

“Ketibaan akan tertakluk kepada pengasingan, kuarantin, diletakkan di bawah pemerhatian atau sebarang langkah lain untuk mencegah dan mengawal penyakit berjangkit,” kata CAAT.

Setakat ini, sebanyak 272 kes COVID-19 direkodkan di Thailand dengan satu kematian sejak penularan wabak itu Januari lalu.

Thailand merekodkan peningkatan mendadak jangkitan virus itu minggu ini. Pada Khamis, sebanyak 60 kes baharu dikenal pasti - peningkatan terbesar bagi tempoh 24 jam. 

SUMBER: BERNAMA

COVID-19 Jejas Misi NASA Kembali Ke Bulan

NASA

WASHINGTON: Pandemik COVID-19 mungkin menjejaskan perancangan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) yang berhasrat mengembalikan misinya ke bulan pada 2024.

Ia susulan penutupan dua kemudahan pelancar roketnya, semalam berikutan dua kakitangannya positif wabak itu.

Pentadbir NASA, Jim Bridenstine, berkata dua stesen di New Orleans dan Pusat Angkasa Stennis berdekatan Hancock County, Mississippi ditutup akibat peningkatan kes coronavirus.

“Kami sedar ia akan memberi kesan kepada misi NASA ketika pasukan bekerja keras menganalisis gambaran penuh dan mengurangkan risiko, namun keutamaan sekarang ialah keselamatan dan kesihatan tenaga kerja,” katanya.

Penutupan stesen pelancar roket itu adalah tindakan terkini NASA yang sedang membangunkan generasi roket akan datang, dipanggil Sistem Pelancaran Angkasa (SLS) dan kenderaan kru Orion serta misi manusia ke bulan dan planet Marikh.

Bridenstine bagaimanapun tidak mengulas sehingga bila penutupan itu namun mengakui pihaknya perlu ‘menggantung sementara pengeluaran dan pengujian Sistem Pelancaran Ruang dan perkakasan Orion.’

SLS diketuai kontraktor utama, Boeing Co dilaporkan sudah beberapa tahun mengalami kelewatan yang menelan kos sebanyak AS$2 bilion (RM8.8 bilion), kini terpaksa ditangguhkan lagi susulan COVID-19 ketika jurutera sedang bertungkus-lumus menyiapkan ujian peringkat pertama pelancaran roket dalam tanah pada musim panas ini.

Selasa lalu, semua 11 pusat NASA yang ditempatkan di Tahap 3 bagi pelan kontigensi, memerlukan kakitangan bekerja dari jauh kecuali mereka yang ditugaskan untuk projek misi penting, termasuk SLS.

Bagaimanapun dua stesen, iaitu Stennis NASA dan Kemudahan Perhimpunan Michoud semalam, dinaikkan kepada Tahap 4, tahap tertinggi yang memaksa penutupan sementara, selepas ada pekerja didiagnosis virus berkenaan.

Perintah penutupan itu dilihat mengendalakan misi NSA yang mahu mengembalikan angkasawan ke bulan pada 2024, iaitu batu loncatan untuk eksplorasi manusia ke planet Marikh.

Program Apollo Amerika Syarikat dipelopori NASA sudah melengkapkan misi enam dan misi yang pertama di dunia antara bulan 1969 dan 1972. 

SUMBER: REUTERS

COVID-19: Angka Korban 3,405 Di Itali Mengatasi China



ROM: Angka kematian akibat COVID-19 di Itali meningkat mengatasi jumlah yang dicatatkan di China sekali gus berdepan kemungkinan tempoh perintah berkurung dilanjutkan.

Setakat ini, Itali mencatatkan 427 kematian sejak Rabu lalu dan angka kumulatif mencecah sebanyak 3,405 kes.

Lanjutan tempoh berkurung itu dilihat akan memberi kesan buruk kepada ekonomi negara itu sejak Perang Dunia kedua.

Sementara itu, jentera tentera Itali dilihat menghantar keranda baharu di tanah perkuburan di utara Itali di Bandar Bergamo.

Pengebumian hanya dilakukan dalam tempoh 30 minit bagi mengelak penyebaran wabak dalam kalangan orang ramai.

Agensi Berita Itali, ANSA melaporkan dua kematian membabitkan doktor berdekatan bandar Barat Como di Bergamo menjadikan jumlah anggota perubatan yang meninggal dunia sebanyak 13 kes.

Perdana Menteri Itali, Giuseppe Conte, meminta rakyatnya untuk bertindak dan mengambil langkah berhati-hati.

“Kita tidak boleh memandang remeh sebarang perkara dan perlu bertindak berdasarkan senario terburuk,” katanya.

Sementara itu, perintah larangan yang mengarahkan kesemua kedai ditutup kecuali farmasi dan pasar awam bakal tamat Rabu ini.

Bagaimanapun, Conte, berkata lanjutan terhadap perintah itu tidak dapat dielakkan.

“Kesemua langkah yang diambil, termasuk menutup semua premis perniagaan dan menghalang pergerakan orang ramai, perlu dilanjutkan.

“Pada saat ini, tiada lagi langkah pencegahan lain yang boleh dipertimbangkan. Namun, sekiranya perintah kami tidak dihormati, maka, kita akan bertindak,” katanya.

Itali turut mengenakan denda 206 Euro kepada sesiapa yang didapati berada di kawasan terbuka tanpa alasan kukuh antaranya mendapatkan barang keperluan atau pergi dan pulang dari kerja.

Sementara itu Kesatuan Pengusaha Pelancongan, berkata jumlah pelancong yang masuk ke negara itu menurun kepada tahap yang dilihat pada pertengahan 1960.

Bagaimanapun Conte berkata, terdapat hikmah di sebalik krisis yang dihadapi.

“Amaran ekonomi yang dihadapi memaksa Menteri melakukan usaha terbesar untuk memudahkan proses pelaburan.

“Ini adalah sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh sesiapa di Itali,” katanya. 

SUMBER: AFP

TERKINI

Akibat Durian Dijual Guna Timbang Kilogram, Generasi Muda Dan Masa Hadapan Hilang Minat Makan?

Disusun Oleh : Mohd Ezli Mashut Imej Janaan AI Oleh : Mohd Ezli Mashut =========================================== HARGA TAK MASUK AKAL. Ad...