Tunjuk Sijil, Insurans Kesihatan Sebelum Naik Pesawat Ke Thailand



BANGKOK: Semua pengembara yang ingin memasuki Thailand perlu mengemukakan sijil kesihatan dan insurans kesihatan, mulai 22 MAC ini sebelum menaiki pesawat ke negara itu bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Perkara itu dinyatakan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Thailand (CAAT) menerusi pengumuman terbarunya.

Semalam CAAT berkata, hanya pengembara dari enam negara dan wilayah yang diklasifikasikan sebagai zon jangkitan penyakit dan 11 negara yang sedang berdepan dengan jangkitan tempatan COVID-19 perlu mengemukakan dokumen sebelum menaiki pesawat ke negara itu.

Menerusi langkah itu pengembara perlu mengemukakan sijil kesihatan tidak lebih daripada 72 jam sebelum tarikh perjalanan bagi membuktikan bebas virus itu dengan perlindungan insurans kesihatan minimum bagi COVID-19 tidak kurang daripada USD$100,000.

Bagi rakyat Thailand yang pulang ke tanah air, mereka perlu mengemukakan sijil kesihatan mengesahkan mereka boleh menaiki pesawat dan surat yang dikeluarkan oleh Kedutaan Thailand, Konsulat Jeneral atau Kementerian Luar.

“Pengembara yang gagal mengemukakan dokumen berkenaan tidak akan dibenarkan menaiki pesawat,” kata CAAT dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, penumpang perlu menyediakan maklumat mengenai alamat di Thailand dalam Borang T 8 atau borang permohonan “AOT Airport of Thailand” dan sejurus tiba di lapangan terbang, penumpang perlu mengemukakan sijil kesihatan, polisi insurans, Borang T 8 kepada pegawai kawalan penyakit berjangkit.

“Ketibaan akan tertakluk kepada pengasingan, kuarantin, diletakkan di bawah pemerhatian atau sebarang langkah lain untuk mencegah dan mengawal penyakit berjangkit,” kata CAAT.

Setakat ini, sebanyak 272 kes COVID-19 direkodkan di Thailand dengan satu kematian sejak penularan wabak itu Januari lalu.

Thailand merekodkan peningkatan mendadak jangkitan virus itu minggu ini. Pada Khamis, sebanyak 60 kes baharu dikenal pasti - peningkatan terbesar bagi tempoh 24 jam. 

SUMBER: BERNAMA

TERKINI

AirAsia lancar promosi Tempat Duduk PERCUMA* dan jualan hebat ke lebih 130 destinasi

AirAsia melancarkan promosi  dan jualan hebat pertama pada tahun 2024 dengan jutaan tempat duduk ke lebih 130 destinasi. Syarikat itu dalam ...