FIREFLY |
INFO PENERBANGAN | Syarikat penerbangan tambang rendah Malaysia, Firefly, menawarkan 10,000 tempat duduk perjalanan sehala percuma untuk pelanggan yang layak bagi semua destinasi domestiknya, menurut Malaysia Airlines Bhd (MAB).
MAB berkata, untuk layak, pelanggan perlu membeli satu tiket Malaysia Airlines sama ada ‘Economy Smart’, ‘Economy Flex’ atau kelas Perniagaan bagi penerbangan ke mana-mana destinasi ASEAN bermula hari ini hingga 1 Oktober 2019 untuk perjalanan serta-merta dan sehingga 31 Disember 2019.
Setiap pelanggan kemudiannya boleh menebus tempat duduk percuma bagi perjalanan sehala itu dengan menggunakan kod promosi istimewa menerusi laman web Firefly di www.fireflyz.com.my.
Ketua Pegawai Pemasaran dan Pengalaman Pelanggan Malaysia Aviation Group, Lau Yin May berkata, tempat duduk itu akan ditawarkan mulai 2 November 2019 hingga 29 Mac 2020 bagi penerbangan pada Sabtu dan Ahad sahaja.
Beliau berkata, promosi ini merupakan pendekatan pihaknya untuk memberi penghargaan kepada pelanggan.
“Ini merupakan peluang terbaik untuk pelanggan kami berkunjung ke destinasi dalam ASEAN dan meneroka Malaysia dengan promosi tempat duduk percuma bagi perjalanan sehala istimewa ini.
“Tawaran ini tersedia bagi tempoh yang terhad sahaja, jadi tempahlah perjalanan ke destinasi ASEAN anda dengan Malaysia Airlines sekarang untuk menikmati percutian percuma di Malaysia dengan Firefly,” katanya.
SUMBER: BERNAMA