Tragedi Kepala Air Gunung Jerai: Mayat Bekas Imam Ditemui Baik, Hadap Kiblat


SUMBER Gambar/ FB Pasukan Mencari Dan Menyelamat Khas Malaysia

YAN: Mayat mangsa kelima yang hilang dalam tragedi kepala air dan banjir lumpur di kaki Gunung Jerai di sini, pada 18 Ogos 2021/Rabu lalu ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada 22 Ogos 2021/Ahad.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah berkata Ku Shuib Ku Abdullah, 91, yang juga bekas imam Masjid Yan ditemui di bawah timbunan kayu di kawasan Titi Hayun di sini, pada jam 3.23 petang 22 Ogos 2021.

"Kita berjaya mengeluarkan mayat mangsa pada jam 3.28 petang dan mendapati jasadnya masih berada dalam keadaan baik.

"Keadaan mayat didapati hanya mengalami kesan calar dan tiada luka serius walaupun telah dihanyutkan arus deras bersama batang pokok dan kayu besar (empat hari lalu).

"Mayat juga ditemui dalam keadaan mengiring menghadap kiblat kira-kira satu kilometer dari tempat dia dilaporkan hilang iaitu di rumahnya di Chalet Salak Denai," kata  Sayani Saidon, lapor Astro Awani/22 Ogos 2021.

Beliau berkata, operasi SAR diteruskan untuk mencari mangsa terakhir di kawasan Titi Hayun.

   SUMBER Gambar/ FB Pasukan Mencari Dan Menyelamat Khas Malaysia 

Pada Sabtu, pihak berkuasa dan agensi yang menjalankan operasi SAR dilaporkan menemui petunjuk baharu membabitkan dua lagi mangsa termasuk Ku Shuib.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superitenden Shahnaz Akhtar Haji, berkata pasukan SAR tidak menolak kemungkinan kedua-dua mangsa terbabit tertimbus di bawah timbunan tanah dan pokok-pokok.

Untuk rekod, dalam kejadian kepala air yang berlaku pada Rabu, tujuh mangsa dilaporkan hilang dengan seorang ditemui selamat manakala empat yang lain ditemui maut, sebelum ini.

Mangsa yang ditemui maut sebelum ini disahkan sebagai Ahmad Din, 68, yang ditemui di Kampung Setoi manakala mangsa kedua, Shahruzi Mohamad, 53, ditemui di Kilometer 8 Gunung Jerai pada jam 11 malam pada hari kejadian.

Mangsa ketiga, Zainol Morad, 66, ditemui di Kampung Titi Hayun pada jam 12.30 tengah malam Khamis manakala mangsa keempat, Mohamad Faizal Mohd Zohir, 28, ditemui pada Khamis di Kampung Keda Sungai Udang kira-kira enam kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.

Dengan penemuan mayat mangsa kelima pada 22 Ogos 2021, pasukan SAR kini menumpukan usaha mencari mangsa terakhir yang dikenali sebagai Riduan di kawasan Titi Hayun.

Sumber Berita: ASTRO AWANI/22 OGOS 2021

Sempena Hari Kebangsaan 2021 Telco Sedia Pakej Istimewa

    Grafik Sumber: merdeka360

Pihak syarikat telekomunikasi (telcom) dan penyiaran menyediakan beberapa tambah nilai pakej untuk kemudahan rakyat sempena sambutan Hari Kebangsaan 2021, demikian menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

Tawaran itu meliputi Pakej Peranti RM1 Malaysia Prihatin bagi membolehkan rakyat Malaysia memiliki atau menaik taraf pelbagai peranti mudah alih yang menyokong 4G dan VoLTE bermula dari harga RM1 yang disokong oleh Celcom, Digi, Maxis, Telekom Malaysia, U Mobile and YTL, katanya.

Selain itu, pemberian data harian sebanyak 1GB oleh Celcom, Digi, Maxis, U Mobile dan Telekom Malaysia secara percuma kepada semua pengguna perkhidmatan dilanjutkan sehingga 31 Disember tahun ini.

"Inisiatif Learn From Home (LFH) oleh pihak YTL dalam menyokong sistem pendidikan juga akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021," kata MCMC dalam kenyataan media pada 18 Ogos 2021/

Golongan B40, calon SPM dan STPM bakal nikmati kemudahan internet lebih baik MCMC berkata, pakej Jaringan Prihatin juga dilanjutkan sehingga 30 September ini untuk golongan B40.

Suruhanjaya itu berkata, tawaran berkenaan turut meliputi akses tontonan percuma beberapa saluran premium terpilih oleh syarikat penyiar swasta seperti Astro dan Unifi kepada pelanggan mereka.

Kata, Astro menyediakan saluran percuma iaitu Astro 25 di saluran 100 yang akan menyajikan kandungan tempatan berkisar kepada pengorbanan, semangat patriotik serta kejayaan yang telah Malaysia kecapi.

"Pakej yang ditawarkan ini dijangka memberi kemudahan dan manfaat kepada rakyat untuk menghadapi perubahan norma baharu dalam pendidikan, dan pekerjaan di samping meringankan beban perbelanjaan para pengguna," katanya.


Kebakaran Hutan Semakin Marak Di Baitulmaqdis

                                                           Foto Sumber: Al-Quds Network

Penduduk beberapa perkampungan di pinggir Baitulmaqdis dipindahkan pada 15 Ogos 2021/Ahad berikutan kebakaran hutan yang besar.

Agensi Berita Antarabangsa AFP pada 16 Ogos 2021/Isnin melaporkan anggota bomba dengan sokongan pesawat pemadam api berusaha mengawal kebakaran yang menyebabkan asap tebal menyelubungi bandar itu.

Menurut kenyataan polis, antara perkampungan yang terancam ialah Beit Meir, Shoeva dan Ramat Raziel di barat Baitulmaqdis, berhampiran lebuhraya utama menghubungkan bandar itu dengan hab komersial di Tel Aviv.

"Penduduk dipindahkan dan beberapa jalan ditutup susulan api semakin marak merebak akibat ditiup angin," katanya.

Dalam pada itu Al-Quds Network melaporkan kebakaran merebak berhampiran kawasan di bahagian barat masjid Al-Aqsa.

Berdasarkan foto yang dimuat naik di media sosial menunjukkan asap tebal menyelubungi kawasan berkenaan.

Foto Sumber: Al-Quds Network

    Foto Sumber: Al-Quds Network



                                                      Foto Sumber: Al-Quds Network

Sementara itu, jurucakap pasukan bomba Baitulmaqdis berkata pasukan bomba dari wilayah lain turut dikerah bagi membantu mereka.

Sebelum ini berlaku kebakaran di kawasan sama lebih minggu lalu tetapi dapat segera dikawal tetapi kebakaran baru semalam belum diketahui puncanya.

Beberapa negara Mediterranean juga kini bergelut dengan kebakaran hutan termasuk Greece, Turki dan Algeria, yang turut mencatatkan rekod peningkatan suhu tertinggi dalam sejarah.



MAB Sedia Tawar Penerbangan Murah Penerima Lengkap Vaksin Serendah RM89


Tangkap Layar: Facebook Malaysia Airlines

PENERBANGAN | Malaysia Airlines Berhad (MAB) bersedia untuk memudahkan perjalanan penumpang yang sudah divaksin sepenuhnya untuk bersatu semula dengan orang yang tersayang dengan harga serendah RM89 untuk kelas ekonomi dalam destinasi domestik.

Promosi itu akan dibuka untuk tempahan bermula 10 Ogos hingga 30 September ini dan sah untuk perjalanan sehingga 30 Oktober 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif MAB dalam kenyataan media pada 11 Ogos 2021/Rabu berkata, pandemik Covid-19 merampas kegembiraan orang di seluruh dunia dalam melakukan perjalanan jauh .

“Malaysia Airlines bersedia dan gembira dapat memainkan peranan kami dalam menghubungkan pelanggan bersama orang yang tersayang setelah lama terpisah berikutan sekatan perjalanan yang dilaksanakan di seluruh negara.

“Penerbangan terbaharu itu menggambarkan peranan penting syarikat penerbangan nasional dalam menyediakan perjalanan udara yang diperlukan sepanjang pandemik Covid-19,” kata  Izham Ismail.

Beliau berkata sebagai syarikat penerbangan yang prihatin, pihaknya tetap komited untuk memastikan perjalanan yang lebih selamat dan lancar bagi pelanggan dengan mematuhi standard keselamatan dan kebersihan tertinggi.

Pihaknya percaya menjalankan operasi penerbangan dengan krew dan petugas barisan hadapan yang divaksin sepenuhnya juga amat penting untuk meyakinkan penumpang.

Menurut Izham, Malaysia Airlines mengalu-alukan kedatangan pelanggan memandangkan syarikat penerbangan itu meningkatkan protokol kesihatan dan keselamatan di pelbagai titik sentuhan lapangan terbang itu bagi memastikan keselamatan pelanggan dan pekerja dilindungi.

Langkah itu termasuk wajib pemakaian pelitup muka, kerap pembasmian kuman dalam pesawat, dan menambah baik penapis HEPA untuk penapisan yang lebih baik sekaligus memastikan kitaran udara yang efisien.

Penumpang juga akan menerima alat kebersihan percuma yang disertakan dengan pelitup muka, pembersih tangan dan tisu yang dibungkus dalam beg kecil.

Selain itu, penumpang juga dapat menikmati kelebihan Economy Lite Fares yang disertakan dengan elaun bagasi kabin sebanyak 7 kilogram (kg), makanan dan minuman ringan percuma, hiburan dalam penerbangan selain memperoleh Enrich Miles untuk setiap tempahan perjalanan yang dilakukan.

Setakat ini, sebanyak 93 peratus juruterbang dan kru MAB telah menerima vaksin.

Bersama-sama dengan syarikat induknya, Malaysian Aviation Group Bhd. (MAG), mereka menjangka untuk mencapai 100 peratus pekerjanya divaksin sepenuhnya pada pertengahan Ogos tahun ini berikutan penyertaan syarikat itu dalam Pusat Pemberian Vaksinasi Industri (PPIN) bermula Julai lalu. 

12 Perkara Wajib Isteri Patut Tahu Harta Peninggalan Arwah Suami

    Foto Sumber: Wikipedia


Kematian semakin hampir, setiap hari kita dikhabarkan dengan kematian. Tidak kira usia maupun jantina.

1. Jika suami meninggal dunia dan meninggalkan harta tanpa membuat wasiat atau tanpa menghibahkan hartanya semasa hidup, maka semua harta-harta yang halal yang ditinggalkan adalah merupakan harta pusaka yang akan diwarisi oleh isteri dan waris-waris lain mengikut hukum faraid.


2. Jika suami meninggal dunia meninggalkan anak lelaki, anak perempuan, ibu dan bapa, maka mereka juga adalah waris-waris yang berhak mewarisi harta pusaka arwah suami selain daripada isteri.


3. Jika suami meninggal dunia meninggalkan isteri, anak perempuan, bapa dan adik-beradik, maka waris yang berhak ke atas harta pusaka arwah suami adalah isteri, anak perempuan dan bapa sahaja. Adik-beradik arwah suami tidak berhak.


4. Jika suami meninggal dunia meninggalkan isteri, anak perempuan dan adik beradik, maka semua itu adalah merupakan waris-waris yang layak mewarisi harta pusaka arwah suami.


5. Jika suami meninggal dunia meninggalkan isteri, anak perempuan berumur 8 tahun dan anak lelaki berumur 2 hari, maka adik-beradik arwah suami tidak berhak ke atas harta pusaka arwah suami walaupun anak lelaki tersebut baru berumur 2 hari.


6. Jika suami meninggal dunia dan 2 hari sebelum itu telah menceraikan isterinya dengan perceraian secara talaq 1, maka isteri tersebut masih lagi berhak ke atas harta pusaka arwah suaminya.


7. Jika suami meninggal dunia sebaik sahaja selepas akad nikah dengan isterinya, isterinya tetap berhak ke atas harta pusaka arwah suaminya.


8. Jika suami sebelum meninggal dunia menyatakan mengharamkan harta-hartanya diwarisi oleh isteri dan kemudiannya meninggal dunia, isteri tersebut tetap berhak mewarisi harta pusaka arwah suaminya.


9. Jika suami meninggal dunia meninggalkan harta yang berkongsi bahagian dengan isteri, bahagian yang dimiliki oleh arwah suami merupakan harta pusaka yang perlu dibahagikan kepada waris-waris termasuk isteri mengikut hukum faraid.


10. Jika suami meninggal dunia meninggalkan isteri sebagai penama kepada simpanan KWSP, Tabung Haji, Takaful atau seumpamanya, maka isteri hendaklah bertindak sebagai pentadbir untuk membahagikan wang-wang tersebut kepada dirinya dan waris-waris lain yang berhak mengikut hukum faraid.


11. Jika suami meninggal dunia namun harta yang ditinggalkan merupakan harta yang dipinjam, harta yang diamanahkan, harta yang telah diwakafkan, harta yang telah dihibahkan atau harta yang telah dijual, harta-harta tersebut bukan merupakan harta pusaka yang layak diwarisi oleh isteri.


12. Harta pusaka arwah suami yang diperolehi dalam tempoh perkahwinan dengan isteri boleh dituntut oleh isteri sebagai harta sepencarian melalui Mahkamah Syariah.


Untuk lebih mudah, uruskan harta anda di Majlis Agama Islam Selangor, layari www.mais.gov.my


Sumber: Facebook Majlis Agama Islam Selangor


OCBC Lulus Semua Permohonan Moratorium


    Foto Sumber: OCBC


OCBC Malaysia memproses semua pendaftaran pakej moratorium dalam tempoh yang ditetapkan tanpa sebarang penolakan sejak bantuan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) dilancarkan 7 Julai lalu.

Pendaftaran berkaitan perbankan pengguna hampir kesemuanya diproses pada hari sama, manakala bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perusahaan mikro dalam masa tujuh hari, lebih singkat berbanding tempoh 14 hari yang ditetapkan bagi usaha berkenaan.

OCBC Malaysia terdiri daripada OCBC Bank (Malaysia) Bhd (OCBC Bank) dan anak syarikat perbankan Islam miliknya, OCBC Al-Amin Bank Bhd (OCBC Al-Amin).

Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Bank, Datuk Ong Eng Bin, berkata bank itu komited untuk terus membantu pelanggan yang menanggung beban kewangan akibat kesan pandemik.

Beliau berkata, bank itu merangka sistem dalaman yang mantap untuk memastikan semua pendaftaran diproses dengan lancar, agar pelanggan boleh meneruskan usaha membina semula perniagaan tanpa perlu bimbang dengan pinjaman dan pembiayaan pada masa-masa sukar.

"Saya ingin menekankan sekali lagi bahawa pelanggan seharusnya kekal positif tidak kira betapa mencabar keadaan kerana mereka boleh mendapatkan bantuan.

"Kami percaya kebanyakan daripada mereka yang memerlukan bantuan sudah pun menerimanya.

"Bagaimanapun, jika ada sesiapa yang masih belum mendaftar dan perlu melakukannya, sila berbuat demikian di dalam talian menerusi proses pendaftaran mudah kami," katanya dalam kenyataan media pada 9 Ogos 2021/Isnin.

Eng Bin berkata, walaupun angka kes COVID-19 masih tinggi, keyakinan bank tetap disokong oleh kadar pemvaksinan tinggi yang dicapai oleh negara ini.

Katanya, ia bermakna perniagaan boleh dibuka semula secara beransur-ansur supaya ekonomi boleh kembali rancak dan meneruskan kelangsungan perniagaan pelanggan.

Di bawah pakej PEMULIH, pelanggan boleh mendaftar di dalam talian atau di cawangan bank untuk mendapatkan sama ada penangguhan ansuran enam bulan atau pengurangan ansuran sebanyak 50 peratus untuk tempoh enam bulan.

Selain program moratorium asas, OCBC Bank juga menawarkan ahli kad kredit peluang untuk menukarkan baki belum jelas menjadi pinjaman atau pembiayaan tiga tahun dengan kadar faedah atau keuntungan lebih rendah supaya mereka boleh menguruskan hutang masing-masing dengan lebih baik.

Selepas 200 Juta Dijangkiti, WHO Bimbang Kesan Sindrom Pasca COVID-19

Foto Sumber: FDA


GLOBAL | Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melahirkan kebimbangan mendalam terhadap bekas pesakit COVID-19 yang tidak diketahui jumlahnya, selepas hampir 200 juta masyarakat di seluruh dunia menjadi mangsa pandemik itu.

Ketua Teknikal COVID-19 Agensi Kesihatan PBB, Maria Van Kerkhove, berkata WHO menggesa orang ramai yang berdepan kesan sampingan atau sindrom pasca COVID-19, segera mendapatkan bantuan perubatan meskipun sudah pulih.

Katanya, kesan sindrom pasca COVID-19 menjadi satu daripada aspek paling misteri pandemik berkenaan.

"Sindrom pasca COVID-19 atau COVID-19 berpanjangan adalah sesuatu yang amat kita bimbangkan," katanya dalam sidang media, di sini pada 4 Ogos 2021/Rabu.

Agensi Berita Antarabangsa AFP pada 5 Ogos 2021/Khamis melaporkan Van Kerkhove berkata, WHO memastikan bahawa pihaknya sedang mengenalpasti perkara itu kerana ramai kalangan mereka yang terkena jangkitan SARS-CoV-2 iaitu virus yang menyebabkan COVID-19 berdepan kesan jangka panjang.

"Kita tidak tahu selama mana kesannya akan berakhir dan kita sedang berusaha mengkaji kes untuk lebih memahami sekali gus mengenalpasti sindrom pasca COVID-19," katanya.

Beliau berkata, WHO juga sedang berusaha melaksanakan program penyembuhan lebih baik untuk bekas pesakit COVID-19 selain untuk penyelidik memahami lebih baik mengenai sindrom terbabit serta cara mengawalnya.

Malah WHO mengadakan beberapa siri seminar tahun ini yang memfokuskan untuk meluaskan pemahaman terhadap keadaan pasca COVID-19 membabitkan pendapat bukan hanya dari saintis dan doktor malah pengalaman pesakit sendiri.

Hanya sedikit dapatan diperoleh mengenai faktor sesetengah pesakit COVID-19 yang berdepan kesukaran untuk sembuh selain berdepan simptom berpanjangan sukar bernafas, keletihan melampau, keliru dan masalah jantung serta neurologi.

Ketua rawatan klinikal dalam program kecemasan WHO, Janet Diaz yang mengetuai usaha organisasi itu berkaitan pesakit pasca COVID-19 berkata, lebih 200 simptom dilaporkan sehingga kini membabitkan sakit dada, kebas dan ruam.

Diaz berkata, sesetengah pesakit mempunyai simptom berpanjangan selepas fasa akut, namun ada juga semakin baik sebelum mengalami kesan berkenaan.

Selain itu, ada yang simptomnya datang dan pergi manakala ada yang mengalami gejala terbabit selepas sembuh dari fasa akut.

Kajian lebih jauh hanya boleh dilakukan terhadap pesakit pertama yang sembuh daripada COVID-19 iaitu virus yang pertama kali muncul di China pada Disember 2019.

Diaz berkata, sesetengah individu dilihat berdepan keadaan pasca COVID-19 selama tiga hingga enam bulan.

"Kita bimbang wujudnya bilangan kecil yang simptomnya boleh berlarutan hingga sembilan bulan malah lebih daripada tempoh itu," katanya.

Sementara itu, pakar di Amerika Syarikat (AS) mengakui sehingga kini masih belum memahami sepenuhnya punca pasca COVID-19 berlaku dengan pelbagai hipotesis dikeluarkan termasuk masalah neurologi, kesan balas imun terhadap jangkitan dan virus kekal di dalam sesetengah organ. 


Cuaca Ekstrem: Suhu Permukaan Tanah Lepasi 50 Darjah Celsius

   Foto Sumber: goerie.com

GLOBAL | Gelombang haba tinggi yang sedang melanda Turki dan Cyprus, menyaksikan suhu permukaan tanah meningkat hingga melepasi 50 darjah Celsius untuk kali kedua dalam tempoh sebulan, kata Agensi Angkasa Eropah (ESA), semalam.

Agensi Berita Antarabangsa AFP pada 4 Ogos 2021/ Rabu melaporkan keadaan bertambah kritikal apabila Turki terpaksa bergelut dengan kebakaran hutan terburuk dalam tempoh beberapa dekad, apabila api marak terus menjilat kawasan pantai Mediterranean dan Aegean sejak seminggu lalu.

Negara jiran, Greece memaklumkan, rekod gelombang haba yang dicatatkannya pula adalah berkait dengan perubahan iklim.

ESA turut menerbitkan satu peta rantau terbabit dengan meliputi Cyprus, yang menunjukkan tompokan 'sangat merah' di sejumlah besar kawasan.

"Suhu permukaan di Turki dan Cyprus jelas mencecah lebih 50 darjah Celsius, sekali lagi," menurut agensi itu dalam satu kenyataan.

Peta sebelum ini yang dikeluarkan bersama data daripada satelit Copernicus Sentinel-3, turut menunjukkan imej serupa pada 2 Julai lalu.

"Ramalan cuaca menggunakan jangkaan suhu udara, berbanding instrumen satelit ini yang mengukur jumlah sebenar tenaga terpancar dari bumi dan menggambarkan suhu sebenar permukaan tanah," katanya.

Suhu permukaan tanah adalah berbeza - dan lazimnya lebih ekstrem - daripada suhu udara yang dimasukkan dalam laporan cuaca.

Di Turki, suhu melebihi 40 darjah Celsius mencengkam bahagian selatan, menyebabkan penggunaan elektrik melonjak sehingga mencetuskan gangguan bekalan tenaga itu di beberapa bandar termasuk Ankara dan Istanbul, kelmarin.

Menurut saintis, gelombang haba semakin banyak melanda seluruh dunia susulan perubahan iklim, dan diramal bertambah kerap serta buruk sejajar peningkatan suhu global. 

Mangsa Banjir China Cecah 302, Puluhan Masih Dicari

   Foto Sumber: BBC News

GLOBAL | Kematian akibat tragedi banjir di wilayah tengah China meningkat kepada 302 orang dengan puluhan lagi masih lagi hilang, kata pegawai kerajaan yang menyatakan jumlah hujan dalam tempoh setahun turun hanya dalam tempoh tiga hari.

Agensi Berita Antarabangsa AFP pada 3 Ogos 2021 melaporkan Zhengzhou, yang juga ibu negeri wilayah Henan dan pusat kejadian banjir itu paling teruk terjejas dengan 292 mangsa maut serta 47 hilang.

Penduduk terperangkap dalam kenderaan bawah tanah, tempat letak kereta bawah tanah dan juga terowong.

Sebelum ini, gambar ramai penumpang kenderaan menjadi viral apabila banjir berada di paras bahu di sebuah pengangkutan bawah tanah di Line 5 dengan 14 daripadanya maut, manakala puluhan kenderaan berpenumpang tersangkut di dalam terowong.

Datuk Bandar, Hou Hong berkata kepada wartawan, banyak yang maut di Zhengzhou akibat banjir dan tanah runtuh, malah berkata, mereka menemui 39 mayat di tempat letak kereta bawah tanah dan ruang bawah tanah yang lain.

Tragedi itu adalah kejadian banjir terburuk China dalam tempoh sedekad.

Hujan bermula 17 Julai memberi kesan kepada 14 juta orang, merosakkan ribuan rumah dan mengakibatkan kerugian ekonomi mencecah 53 bilion yuan (RM34.6 bilion) di Zhenzhou sahaja.

Namun, kerugian keseluruhan di seluruh wilayah itu dijangka berganda dari jumlah itu.

Pakar mendakwa, kejadian cuaca buruk - banjir besar dan kemarau - adalah disebabkan perubahan iklim.

Namun, persoalan kini adalah bagaimana China bersedia untuk menghadapi cuaca buruk sedemikian, ketika penduduk kini sedang menghitung kos kehilangan perniagaan dan harta benda. 

Sumber: AFP

Arab Saudi Mula Siap Sedia Terima Jemaah Umrah

   Foto: Haramain Sharifain

JEDDAH: Lebih 20,000 jemaah daripada dalam dan luar Arab Saudi bakal menunaikan umrah dalam tempoh beberapa hari lagi, menurut Kementerian Haji dan Umrah pada 31 Julai 2021/

Jurucakap kementerian, Hisham Bin Saeed, berkata kebenaran hanya diberikan kepada jemaah dari negara yang tidak terikat dengan larangan kemasukan oleh Kementerian Kesihatan dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (GACA).

Ketika ini negara yang berdepan larangan perjalanan adalah India, Pakistan, Indonesia, Mesir, Turki, Argentina, Brazil, Afrika Selatan, Emiriah Arab Bersatu, Ethiopia, Vietnam, Afghanistan dan Lubnan.

Memetik laporan Saudi Gazette, larangan itu disebabkan oleh peningkatan berterusan kes coronavirus dan variannya di negara-negara berkenaan.

Kira-kira 500 syarikat perkhidmatan umrah dan lebih 6,000 ejen umrah asing bersiap sedia menerima jemaah umrah asing yang divaksin.

Jemaah yang berhasrat menempah pakej umrah dan membuat semua pembayaran melalui kira-kira 30 laman web dan platform elektronik yang tersedia bagi tempahan global, menurut Ahli Jawatankuasa Haji dan Umrah, Hani Ali Al-Amiri.

Hanya individu yang lengkap vaksin COVID-19 dibenarkan memohon visa umrah. Calon umrah juga mesti berada dalam keadaan kesihatan baik dan mematuhi protokol yang bertujuan memastikan keselamatan jemaah dari luar negara, kata ahli jawatankuasa itu dalam satu kenyataan. 

Sumber: AGENSI/ 1 Ogos 2021

TERKINI

AirAsia lancar promosi Tempat Duduk PERCUMA* dan jualan hebat ke lebih 130 destinasi

AirAsia melancarkan promosi  dan jualan hebat pertama pada tahun 2024 dengan jutaan tempat duduk ke lebih 130 destinasi. Syarikat itu dalam ...