Tragedi Kepala Air Gunung Jerai: Mayat Bekas Imam Ditemui Baik, Hadap Kiblat


SUMBER Gambar/ FB Pasukan Mencari Dan Menyelamat Khas Malaysia

YAN: Mayat mangsa kelima yang hilang dalam tragedi kepala air dan banjir lumpur di kaki Gunung Jerai di sini, pada 18 Ogos 2021/Rabu lalu ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada 22 Ogos 2021/Ahad.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah berkata Ku Shuib Ku Abdullah, 91, yang juga bekas imam Masjid Yan ditemui di bawah timbunan kayu di kawasan Titi Hayun di sini, pada jam 3.23 petang 22 Ogos 2021.

"Kita berjaya mengeluarkan mayat mangsa pada jam 3.28 petang dan mendapati jasadnya masih berada dalam keadaan baik.

"Keadaan mayat didapati hanya mengalami kesan calar dan tiada luka serius walaupun telah dihanyutkan arus deras bersama batang pokok dan kayu besar (empat hari lalu).

"Mayat juga ditemui dalam keadaan mengiring menghadap kiblat kira-kira satu kilometer dari tempat dia dilaporkan hilang iaitu di rumahnya di Chalet Salak Denai," kata  Sayani Saidon, lapor Astro Awani/22 Ogos 2021.

Beliau berkata, operasi SAR diteruskan untuk mencari mangsa terakhir di kawasan Titi Hayun.

   SUMBER Gambar/ FB Pasukan Mencari Dan Menyelamat Khas Malaysia 

Pada Sabtu, pihak berkuasa dan agensi yang menjalankan operasi SAR dilaporkan menemui petunjuk baharu membabitkan dua lagi mangsa termasuk Ku Shuib.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superitenden Shahnaz Akhtar Haji, berkata pasukan SAR tidak menolak kemungkinan kedua-dua mangsa terbabit tertimbus di bawah timbunan tanah dan pokok-pokok.

Untuk rekod, dalam kejadian kepala air yang berlaku pada Rabu, tujuh mangsa dilaporkan hilang dengan seorang ditemui selamat manakala empat yang lain ditemui maut, sebelum ini.

Mangsa yang ditemui maut sebelum ini disahkan sebagai Ahmad Din, 68, yang ditemui di Kampung Setoi manakala mangsa kedua, Shahruzi Mohamad, 53, ditemui di Kilometer 8 Gunung Jerai pada jam 11 malam pada hari kejadian.

Mangsa ketiga, Zainol Morad, 66, ditemui di Kampung Titi Hayun pada jam 12.30 tengah malam Khamis manakala mangsa keempat, Mohamad Faizal Mohd Zohir, 28, ditemui pada Khamis di Kampung Keda Sungai Udang kira-kira enam kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.

Dengan penemuan mayat mangsa kelima pada 22 Ogos 2021, pasukan SAR kini menumpukan usaha mencari mangsa terakhir yang dikenali sebagai Riduan di kawasan Titi Hayun.

Sumber Berita: ASTRO AWANI/22 OGOS 2021

TERKINI

AirAsia lancar promosi Tempat Duduk PERCUMA* dan jualan hebat ke lebih 130 destinasi

AirAsia melancarkan promosi  dan jualan hebat pertama pada tahun 2024 dengan jutaan tempat duduk ke lebih 130 destinasi. Syarikat itu dalam ...