Selepas Dunia Bergelap, Matahari Muncul Di Barat


Pagi itu matahari tidak lagi terbit seperti biasa daripada kedudukannya. Kali ini bola api raksasa itu menampakkan dirinya dari arah barat.


Keadaan itu menggemparkan seluruh dunia selepas beberapa hari penduduk bumi mengalami suasana bergelap.


Gegak gempita seluruh alam dengan berita besar itu membicarakan suasana keadaan paling ganjil dalam sejarah umat manusia. 


Bayangkan, setiap pagi selepas kita bangun pada subuh dan mengerjakan segala kewajipan serta keperluan biasa menyaksikan fenomena alam terbitnya matahari dari arah timur.


Namun pada masa berkenaan fenomena itu tidak berlaku seperti biasa, selepas mengalami suasana bergelap yang agak panjang, kemunculan matahari yang ditunggu-tunggu seperti biasa pada kedudukan biasa bertukar arah.


Keadaan itu pastinya menyebabkan manusia berasa takut dan tertanya-tanya fenomena berkenaan. Disebabkan suasana itu amat pelik dan tidak pernah berlaku, pasti manusia mula panik dan keadaan menjadi kecoh.


Inilah berita yang paling menakutkan seluruh pelusuk alam. Pengakhiran alam semesta semakin pasti. 


Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SWT bersabda maksudnya: "Tidaklah akan datang kiamat sehingga matahari terbit dari tempat terbenamnya (dari barat). Apabila matahari terbit dari barat maka orang ramai melihatnya, lantas mereka beriman seluruhnya. Maka itulah saat ketika iman seseorang tidak lagi bermanfaat bagi dirinya yang belum beriman sebelum itu atau belum mengusahakan kebaikan dalam masa imannya." Hadith Riwayat al-Bukhari


Menurut pendakwah, Ustaz Mohamad Wadi Annuar Ayub, terdapat riwayat menyatakan suasana gelap itu berlaku selama dua hari dan riwayat lain menyatakan akan bergelap selama tiga hari.


Katanya, seandainya gelap itu berlaku selama tiga hari, bermakna pada hari keempat matahari tidak lagi muncul dari sebelah timur, sebaliknya dari sebelah barat.


Ketika seluruh penduduk bumi menyaksikan tanda besar itu, mereka mula beriman kepada Allah. Bagaimanapun, Allah sudah menutup pintu taubat serapat-rapatnya.


Pada waktu itu, tidak berguna lagi taubat serta segala amal ibadat yang hendak dipersembahkan kepada Allah. Bagi yang ditakdirkan masih hidup, mereka akan meneruskan kehidupan mengikut ajal masing-masing.


Seandainya sepanjang usia yang berbaki itu, seseorang bersungguh-sungguh melakukan ibadat, namun Allah tetap tidak akan menerima amalannya.


Manakala bagi orang beriman, mereka akan hidup dalam keadaan beriman sehingga akhir hayat.


Pada hari pertama matahari terbit dari barat itu mengambil masa selama setahun. Tempoh setahun itu seperti dinyatakan oleh Nabi SAW seperti hari-hari yang dilalui manusia.


Hari kedua juga panjang iaitu seperti sebulan. Berikutnya, hari ketiga panjangnya seperti seminggu manakala pada hari keempat baru ia kembali seperti biasa.


Sabda Nabi SAW maksudnya: "Tugas hijrah itu tidak terputus selama taubat masih diterima. Dan taubat itu masih diterima sehingga matahari mula terbit dari barat. Apabila matahari terbit dari barat, maka dikuncilah setiap hati dengan apa yang ada di dalamnya. Dan cukuplah bagi manusia apa yang telah diamalkannya." Hadith Riwayat Ahmad


Rasulullah menyatakan, apabila muncul tanda besar kiamat pertama, maka akan muncul tanda-tanda besar lain.


Tanda besar kiamat kedua, ketiga dan seterusnya muncul dengan cepat sekali. Ia ibarat mutiara di dalam satu ikatan di mana setiap satunya akan mengikuti yang lain.


Daripada Abdullah bin ‘Amr, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Tanda-tanda (kiamat) seperti mutiara yang tersusun pada seutas benang, jika benang itu dipotong maka sebahagiannya akan mengikuti sebahagian yang lain (jatuh).” (Riwayat Ahmad)


Dalam masa yang sama, satu lagi berita 'breaking news' muncul. Dilaporkan di Mekah muncul pula seekor binatang dari bawah tanah. 


Tanda besar kiamat seterusnya, keluar binatang berkaki empat yang akan mendatangi setiap manusia.


Allah berfirman yang bermaksud: “Dan apabila sampai masa berlakunya hukuman atas manusia, Kami keluarkan untuk mereka sejenis binatang dari bumi, yang akan menyatakan kepada mereka, bahawa manusia tidak meyakini ayat-ayat keterangan dan pengajaran Kami.” (Surah an-Naml, ayat 82)



Keluarnya membawa tongkat Nabi Musa dan cincin Nabi Sulaiman. Binatang ini yang dikenali sebagai Dabbatul Ardh.


Dia mampu bercakap dengan manusia dan merubah muka manusia menjadi gelap atau cerah menandakan orang itu beriman atau kufur.


Apabila mendatangi seseorang, Allah ilhamkan kepadanya untuk keluarkan salah satu daripada alat itu. Apabila ia keluarkan tongkat Nabi Musa, maka wajah orang yang menerimanya akan bercahaya dan manusia lain mula memanggilnya dengan gelaran ‘Mukmin’.


Sebaliknya, jika binatang itu menyerahkan cincin Nabi Sulaiman, maka wajah orang yang menerima cincin itu bertukar hitam.


Namanya tidak lagi diseru melainkan orang akan mula memanggilnya ‘kafir’.


Begitulah gambaran serba sedikit antara tanda-tanda besar kiamat. 


Di dalam kitab Sahih Bukhari dan Sahih Muslim, terdapat enam tanda besar kiamat dicatatkan.


Dalam satu riwayat Muslim, daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Bersegeralah dalam beramal sebelum datang enam perkara: Terbitnya matahari dari barat, asap, Dajjal, al-Dabah, perkara khusus daripada kalangan kamu (kematian) dan urusan umum (kiamat).”


RASULULLAH bersabda, “Sungguh, hari kiamat tidak akan terjadi sebelum kalian melihat 10 tanda-tandanya. Tanda–tanda itu ialah asap, dajjal, binatang melata, terbitnya matahari dari barat, turunnya Nabi Isya ibn Maryam, Yakjuj dan Makjuj, tiga buah gerhana (yaitu gerhana di timur, gerhana di barat, dan gerhana di jazirah Arab), keluarnya api dari Yaman, dan manusia digiring menuju mahsyar mereka.” (HR.Muslim). 


Rasulullah juga bersabda, “Hari kiamat tidak akan terjadi sebelum matahari tebit dari barat. Jika ia telah terbit dari barat dan semua umat manusia melihatnya, mereka menjadi beriman semuanya. Pada saat itu, iman seseorang tidak ada manfaatnya jika sebelumnya ia tidak beriman atau tidak mendapat dari kebaikan imannya itu.” (HR.Muslim)


Jadi, teruskan laksanakan amal baik tanpa menanti tanda-tanda kiamat besar muncul satu persatu kerana tanda-tanda kecil kiamat sudah lama berlaku dan berlegar di zaman ini.





TERKINI

Akibat Durian Dijual Guna Timbang Kilogram, Generasi Muda Dan Masa Hadapan Hilang Minat Makan?

Disusun Oleh : Mohd Ezli Mashut Imej Janaan AI Oleh : Mohd Ezli Mashut =========================================== HARGA TAK MASUK AKAL. Ad...