Foto: FORBES |
BERITA | Jawatankuasa Demokratik Kebangsaan Amerika Syarikat (AS) pada Rabu membuat satu kempen untuk menentang penggunaan aplikasi FaceApp ekoran aplikasi dibangunkan dari Rusia itu turut terpalit dengan isu keselamatan.
WASHINGTON POST melaporkan ia berikutan fenomena baharu dalam kalangan orang ramai yang menggunakan aplikasi FaceApp.
Menerusi aplikasi itu, mereka boleh menyunting foto biasa untuk diubah menjadi foto lebih berusia, dengan kesan khas seperti kedutan dan rambut beruban.
"Ia tidak jelas setakat ini apakah risiko keselamatannya, tetapi lebih baik jika kita mengelakkan penggunaannya.
"Jika anda sudah menggunakan aplikasi itu, kami sarankan agar ia dipadam serta merta," kata ketua jawatankuasa itu, Bob Lord.
Senator AS desak FBI siasat aplikasi FaceApp
NEW YORK : Aplikasi terkenal FaceApp ciptaan Russia yang membenarkan pengguna menukar penampilan mereka menjadi lebih muda atau berusia menerima kecaman hebat di Amerika Syarikat (AS), dengan seorang senator menggesa ia disiasat oleh Biro Siasatan Persekutuan (FBI).
Ketua Minoriti Senat, Chuck Schumer menggesa FBI dan badan perlindungan pengguna AS, FTC menyiasat aplikasi dibangunkan syarikat dari Saint Petersburg dan digunakan jutaan rakyat AS itu dari aspek keselamatan serta risiko privasi .
“Lokasi FaceApp di Russia menimbulkan persoalan berkenaan bagaimana dan bila syarikat itu membekalkan akses data rakyat AS kepada pihak ketiga, termasuk kerajaan asing.
“Adalah amat membimbangkan jika maklumat peribadi sensitif rakyat AS diberikan kepada syarikat asing milik negara yang aktif bersikap keras terhadap AS di dunia siber,” katanya dalam surat kepada FBI.
Schumer bukan satu-satunya wakil Demokrat yang bimbang dengan senario itu.
Menurut akhbar Washington Post, Jawatankuasa Pusat parti itu sudah memberi amaran kepada semua wakil yang akan berkempen dalam pilihan raya presiden 2020 untuk memadamkan aplikasi berkenaan daripada telefon bimbit masing-masing.
Parti itu sememangnya sensitif terhadap sebarang kemungkinan intipan membabitkan Moscow selepas beberapa pegawai Demokrat menjadi sasaran penggodam Russia ketika pilihan raya presiden 2016.
Wakil FaceApp tidak memberi sebarang maklum balas terhadap surat Schumer namun Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat berkenaan memberitahu Washington Post, mereka tidak menggunakan foto diperoleh untuk tujuan lain.
Yaroslav Goncharov berkata, kebanyakan foto dipadam dari server mereka dalam tempoh 48 jam dan pihak berkuasa Russia tidak memiliki sebarang akses ke atas data pengguna.
SUMBER: AFP/ FORBES/ PUBLIC HEALTH MALAYSIA