COVID-19: Angka Kematian Global Melepasi 457,000



PARIS: Angka kematian akibat COVID-19 di seluruh dunia meningkat sebanyak 6,000 kes dalam tempoh 24 jam lalu.

Jumlah kumulatif kematian global kini mencapai 457,190, mengikut data Johns Hopkins University.

Sementara itu berdasarkan data dikumpul AFP daripada pihak berkuasa negara dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Amerika Syarikat (AS) kekal merekodkan jumlah kematian tertinggi dengan 118,758 kematian daripada 2,205,307 kes. Sekurang-kurangnya 599,115 pesakit sembuh.

Sekurang-kurangnya 8,555,330 kes coronavirus dilaporkan di 196 negara dan wilayah dengan sekurang-kurangnya 3,952,400 kes pulih.

Negara kedua yang mencatatkan kes tertinggi adalah Brazil dengan 47,748 kematian daripda 978,142 kes; Britain (42,461 kematian daripada 301,815 kes); Itali (34,561 kematian daripada 238,011 kes) dan Perancis dengan 29,617 kematian daripada 195,953 kes.

China, tidak termasuk Hong Kong dan Macau mengisytiharkan 4,634 kematian dan 83,325 jangkitan dengan 78,398 pulih.

Eropah pula secara keseluruhannya merekodkan 191,932 kematian daripada 2,489,195 kes; AS dan Kanada (127,145 kematian dengan 2,305,872 jangkitan); Amerika Latin dan Caribbean (89,327 kematian daripada 1,887,950 kes); Asia (27,563 kematian daripada 963,782 kes); Asia Barat (12,994 kematian daripada 618,797 jangkitan); Africa (7,538 kematian daripada 280,922 kes) dan Oceania (131 kematian daripada 8,817 kes). 

SUMBER: AFP/ 20 JUN 2020

COVID-19: WHO Beri Amaran Dunia Dalam Fasa Baharu, berbahaya



GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengeluarkan amaran pada Jumaat mengenai 'fasa baharu dan berbahaya' pandemik COVID-19 apabila orang ramai mula bosan dengan perintah berkurung dan kawalan pergerakan ketika virus itu semakin merebak.

Virus yang mula muncul di China pada Disember lalu kini telah membunuh lebih 454,000 penduduk dunia dan menjangkiti lebih 8.4 juta orang, meningkat di Amerika dan beberapa bahagian di Asia walaupun Eropah mula meredakan langkah-langkah kawalan.

Perintah berkurung bagi mengekang penularan penyakit itu melumpuhkan ekonomi, tetapi WHO terus mengingatkan pandemik itu masih menimbulkan ancaman besar kepada penduduk dunia.

Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus menggesa negara-negara dan rakyat untuk tetap berwaspada kerana jumlah kes yang dilaporkan kepada badan kesihatan PBB itu mencapai puncak baharu.

"Dunia berada dalam fasa baharu dan berbahaya. Ramai yang bosan berada di rumah ... tetapi virus itu terus menular dengan cepat.

"Pandemik semakin meningkat. Lebih daripada 150,000 kes baharu COVID-19 dilaporkan kepada WHO semalam - yang paling banyak dalam satu hari setakat ini," katanya pada sidang media maya.

Tedros berkata hampir separuh daripada kes itu dilaporkan dari Amerika, dengan sebilangan besar juga dilaporkan dari Asia Selatan dan Asia Barat.

Ketika ini usaha menghasilkan vaksin belum berjaya walaupun terdapat beberapa percubaan, sementara saintis menemui lebih banyak penemuan mengenai virus, gejala dan sejauh mana penyebarannya.

Penyelidik Itali menemui jejak genetik SARS-CoV-2 dalam sampel air sisa yang dikumpulkan di Milan dan Turin pada akhir tahun lalu, dan Bologna pada Januari, kata institut ISS.

Kes pertama disahkan di Itali selepas Februari.

Hasil penemuan itu 'membantu memahami permulaan penularan virus di Itali, kata ISS.

Itali adalah negara Eropah pertama yang terkena virus dan yang pertama di dunia yang melakukan perintah berkurung di seluruh negara, pada awal Mac.

Banyak negara Eropah mengikutinya, dan kebanyakannya baru dibuka semula bulan ini selepas melaksanakan perintah berkurung yang melumpuhkan ekonomi negara.

Menghadapi kemelesetan terbesar dalam sejarah Kesatuan Eropah (EU), pemimpin negara-negara itu pada Jumaat mengadakan sidang kemuncak maya mengenai cadangan Suruhanjaya Eropah untuk menyediakan dana bernilai 750 bilion euro (RM3,577 bilion).

Namun, mereka gagal mencapai kesepakatan mengenai rancangan yang dilihat sebagai isyarat solidariti dan perpaduan utama bagi blok yang bermasalah. 

SUMBER: AFP

TERKINI

AirAsia lancar promosi Tempat Duduk PERCUMA* dan jualan hebat ke lebih 130 destinasi

AirAsia melancarkan promosi  dan jualan hebat pertama pada tahun 2024 dengan jutaan tempat duduk ke lebih 130 destinasi. Syarikat itu dalam ...