Hampir 50 Maut Kesan Ribut Salji 'Terburuk Abad Ini' Seluruh Amerika Syarikat


Tangkap layar laman sesawang BH Online melaporkan kejadian ribut salji melanda Amerika Syarikat pada 27 Disember 2022.


GLOBAL | WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, meluluskan bantuan Persekutuan untuk negeri New York selepas ribut salji meragut hampir 50 nyawa termasuk 27 kematian di Buffalo.


Agensi Berita Antarabangsa AFP pada 27 Disember 2022 melaporkan krew kecemasan di New York pada 26 Disember 2022, bertungkus-lumus menyelamatkan penduduk yang terperangkap daripada apa digambarkan pihak berkuasa 'ribut salji terburuk abad ini'.


Ia susulan ribut salji tanpa henti itu mengakibatkan 27 maut di negeri terbabit selain menjejaskan perjalanan pada perayaan Krismas.


Ribut salji terus membadai di bahagian Timur Laut AS berikutan cuaca melampau yang mencengkam negara selama beberapa hari, menyebabkan bekalan elektrik terputus secara meluas, kelewatan perjalanan dan kematian di sembilan negeri.



Di New York, pihak berkuasa menggambarkan keadaan sangat teruk, terutama di Buffalo, dengan ketiadaan bekalan elektrik berjam-jam, mayat ditemui beku di dalam kenderaan dan di bawah tebing salji.


Kakitangan kecemasan terpaksa memeriksa dari satu ke satu kereta bagi mencari lebih ramai pemandu, sama ada hidup atau mati.


Keadaan ribut salji yang buruk, udara sejuk dan angin serta suhu di bawah sifar memaksa pembatalan lebih 15,000 penerbangan AS dalam beberapa hari kebelakangan ini, termasuk sekurang-kurangnya 2,600 semalam, menurut laman penjejakan Flightaware.com.


Buffalo, sebuah bandar di Erie County yang tidak asing dengan cuaca musim sejuk melampau, menjadi pusat krisis selepas tertimbus di bawah timbunan salji yang mengejutkan.


"Sudah tentu ia adalah ribut salji terburuk abad ini," kata Gabenor Kathy Hochul kepada wartawan, sambil menyatakan masih terlalu awal untuk menganggap ribut itu sudah reda.


Katanya, beberapa bandar New York di barat dilanda salji setinggi 0.75 hingga satu meter bermula malam 25 Disember 2022.


Dalam pada itu Biden dan isteri, Jill Biden menurut kenyataan Rumah Putih, mereka merakamkan ucapan takziah kepada mangsa yang kehilangan ahli keluarga akibat ribut itu.


Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan meramalkan tambahan 0.35 meter ketebalan permukaan salji pada 26 Disember 2022 yang menyebabkan bandar itu tertimbus salji, dengan pegawai bergelut untuk mendapatkan perkhidmatan kecemasan kembali dalam talian.


Eksekutif Erie County, Mark Poloncarz, pada taklimat media menyatakan beliau 'luluh' untuk melaporkan angka kematian berkaitan ribut salji, yang meningkat kepada 25 mangsa di seluruh daerahnya,


"Jumlah kematian Erie mungkin akan melebihi jumlah ribut salji Buffalo pada 1977, apabila hampir 30 orang disahkan terkorban. Kami menjangkakan akan ada lebih banyak kematian akibat ribut yang berterusan," katanya.


Berdasarkan ramalan ribut saji, kebanyakan kawasan sekitar Buffalo 'tidak dapat dilalui', dan beliau mengulangi gesaan Hochul supaya penduduk tidak keluar ke mana-mana.


Cuaca melampau itu menyebabkan suhu di bawah paras beku di semua 48 negeri di AS pada hujung minggu, termasuk di Texas di sepanjang sempadan Mexico di mana beberapa pendatang yang baru tiba bergelut untuk mencari perlindungan. 

TERKINI

AirAsia lancar promosi Tempat Duduk PERCUMA* dan jualan hebat ke lebih 130 destinasi

AirAsia melancarkan promosi  dan jualan hebat pertama pada tahun 2024 dengan jutaan tempat duduk ke lebih 130 destinasi. Syarikat itu dalam ...