MTA Sasar Nilai Perlindungan Takaful RM400 bilion 2019

FOTO SUMBER: 8excite.com

#INSURANS | Persatuan Takaful Malaysia (MTA) menyasarkan nilai perlindungan takaful baharu sebanyak RM400 bilion pada tahun ini berbanding RM324.2 bilion yang dicatatkan pada 2018.

Pengerusi MTA, Muhammad Fikri Mohamad Rawi, berkata sasaran itu mampu dicapai walaupun jumlah penembusan pemilikan perlindungan takaful di kalangan pengguna di Malaysia ketika ini masih rendah.

Beliau berkata, MTA bersama dengan ahli-ahli persatuan akan giat menjalankan promosi dan kempen kesedaran mengenai pemilikan perlindungan Takaful.

“MTA menjangkakan jumlah penembusan akan meningkat kepada 16 hingga 17 peratus tahun ini. Sasaran itu jauh lebih rendah daripada sasaran Bank Negara Malaysia (BNM) dalam pelan induk Sektor Kewangan mengenai pemilikan perlindungan Takaful sebanyak 25 peratus menjelang 2020.

“Dalam tempoh setahun, mustahil bagi industri takaful mencapai sasaran itu tetapi MTA akan terus meningkatkan kesedaran dikalangan pengguna mengenai pemilikan perlindungan takaful.

“Ia sesuatu yang sangat mencabar tetapi kami menunjukkan peningkatan tahunan yang positif, walaupun tidak mampu mencapai sasaran itu, tetapi industri ini tetap berkembang,” katanya selepas taklimat media prestasi industri takaful di sini, hari ini.

Muhammad Fikri berkata, kesedaran mengenai kepentingan pemilikan perlindungan takaful masih rendah, dan MTA kini sedang berbincang dengan kerajaan dan beberapa institusi bagi meningkat kesedaran itu.

Beliau berkata, ketika ini masih tiada rancangan untuk mewajibkan pemilikan takaful di kalangan pengguna tetapi MTA merasakan perkara itu adalah satu cadangan yang bagus.

“Bagus jika perlindungan takaful ini diwajibkan sebagaimana yang dilakukan kepada insurans motor dan rumah. Namun ia memerlukan perbincangan yang panjang dengan kerajaan.

“Ketika ini, kami hanya memberikan tawaran, kempen kesedaran dan pelan mampu milik seperti Perlindungan Tenang,” katanya.

Industri takaful Malaysia meneruskan momentum pada 2018 dengan mencatatkan nilai perlindungan takaful baharu yang lebih tinggi sebanyak RM324.2 bilion berbanding RM283.1 bilion yang dicatatkan pada 2017.

Secara keseluruhannya, industri takaful menambah 699,534 pemegang sijil baharu, peningkatan sebanyak 4.6 peratus daripada 668,657 sijil baharu yang dikeluarkan pada 2017.

SUMBER: BH ONLINE

TERKINI

AirAsia lancar promosi Tempat Duduk PERCUMA* dan jualan hebat ke lebih 130 destinasi

AirAsia melancarkan promosi  dan jualan hebat pertama pada tahun 2024 dengan jutaan tempat duduk ke lebih 130 destinasi. Syarikat itu dalam ...