Kerajaan Akhirnya Luluskan Pengeluaran RM10,000 Guna KWSP


Sumber Grafik : KWSP


NASIONAL | Kerajaan Persekutuan pada 16 Mac 2022/Rabu bersetuju membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membuat pengeluaran khas sebanyak RM10,000, kata Perdana Menteri.


Dalam sidang media khasnya pada 16 Mac 2022 Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu dibuat hasil kajian dan penelitian menyeluruh dalam kalangan rakyat yang masih terkesan dari segi ekonomi, kehilangan pendapatan dan sedang membina semula kehidupan.


"Kerajaan mendengar, mengkaji dan meneliti permintaan daripada semua pihak untuk mengeluarkan caruman KWSP.


"Justeru, hari ini kerajaan bersetuju membenarkan pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000," katanya menerusi pengumuman yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen.


Ismail Sabri berkata, penjelasan lanjut mengenai pengeluaran khas KWSP berkenaan dibuat Kementerian Kewangan dan KWSP.


Beliau menegaskan keputusan memberi kebenaran pengeluaran caruman KWSP itu adalah keputusan sukar kerana ia membabitkan simpanan hari tua rakyat dan pengeluaran khas ini adalah jalan tengah dalam mengimbangi antara keperluan mendesak hari ini dan simpanan masa hadapan.


Kerajaan sebelum ini membenarkan pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui tiga skim iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra berjumlah RM101 bilion, melibatkan 7.34 juta pencarum sejak pandemik COVID-19 melanda negara dua tahun lalu.


Sementara itu Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata butiran pengeluaran khas simpanan persaraan KWSP sehingga RM10,000 diperincikan dalam masa terdekat.


"KWSP juga akan mengumumkan langkah-langkah perlu bagi menangani isu dana persaraan ahli-ahli KWSP yang telah berkurangan," katanya dalam  kenyataan media pada 16 Mac 2022.


Berikut adalah informasi ringkas berkenaan Pengeluaran Khas daripada Twitter KWSP pada 16 Mac 2022 :

i rin

Sumber: KWSP


                                                                      Sumber: KWSP


Pengeluaran Khas KWSP Yang 'Terakhir'


Pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 yang diumumkan kerajaan pada 16 Mac 2022 adalah yang terakhir di bawah inisiatif pengeluaran khas.


Dalam kenyataan media pada 16 Mac 2022, KWSP berkata lanjutan daripada pengumuman dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ia memperkenalkan pengeluaran khas RM10,000 untuk ahli yang masih terkesan oleh pandemik.


Katanya, ini adalah pengeluaran keempat selepas i-Lestari dan i-Sinar yang dilaksanakan pada tahun 2020 dan disusuli oleh i-Citra pada Julai 2021 bagi memenuhi keperluan kewangan kecemasan yang dihadapi oleh ahli dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan diikuti dengan kelembapan ekonomi.


"Setakat akhir 2021, sebanyak RM101 bilion telah dikeluarkan di bawah tiga pengeluaran berkenaan.


"Tatkala negara sedang membangunkan semula ekonomi dan lebih ramai rakyat kembali bekerja, KWSP berpendapat bahawa pengeluaran kali ini adalah yang terakhir di bawah inisiatif pengeluaran khas.


"KWSP ingin menekankan sekali lagi kebimbangannya mengenai kecukupan simpanan persaraan ahli dan berharap ini akan membawa ke arah pembinaan semula simpanan persaraan dan pembaharuan sistem keselamatan sosial negara," katanya.


Maklumat lanjut mengenai kaedah permohonan pengeluaran ini dan mekanisme pembayaran adibuat KWSP dengan kadar segera.


Dapatkan Nasihat Sebelum Buat Pengeluaran Khas KWSP


Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu mendapatkan khidmat nasihat kewangan daripada agensi berkaitan sebelum membuat keputusan mengeluarkan wang simpanan persaraan.


BH ONLINE pada 16 Mac 2022 melaporkan Penganalisis Ekonomi dari Putra Business School Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata ini penting, bagi memastikan golongan itu membuat keputusan sewajarnya terutama tidak menjejaskan simpanan hari tua mereka.


Jelas beliau keputusan kerajaan membenarkan pengeluaran khas caruman KWSP sebanyak RM10,000 menunjukkan tanda prihatin terhadap isu yang melanda rakyat, terutama membabitkan pencarum KWSP.


"Walaupun ekonomi semakin pulih, ada beberapa kumpulan masyarakat yang masih terkesan akibat pandemik COVID-19, termasuk musibah banjir baru-baru ini.


"Namun, kerajaan perlu memastikan ada ruang dan peluang untuk pencarum mendapatkan khidmat nasihat dan bimbingan kewangan secara berterusan, sebagai contoh melalui Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), bagi memastikan pengeluaran secara optimum dan tidak disalahgunakan," katanya.


Sementara itu, pakar ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak), Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai, berkata pencarum juga perlu memikirkan keperluan sebenar, sebelum membuat pengeluaran kerana ia membabitkan kesan jangka panjang kedudukan kewangan mereka selepas bersara.


Beliau berkata, di Malaysia, 35 peratus rakyat kurang pengetahuan mengenai pengurusan kewangan, manakala 65 peratus langsung tiada pengetahuan berkaitan aspek berkenaan.


"Ada pencarum yang merasakan pengeluaran (KWSP) adalah hak mereka tanpa memikirkan masa hadapan...mereka fikir jangka pendek sahaja. Kalau boleh, elaklah keluarkan. Cuma realitinya memang ada kumpulan rakyat yang amat memerlukan (pengeluaran KWSP).


"Justeru, kerajaan perlu melihat perkara ini dengan lebih terperinci, termasuk menyediakan khidmat nasihat sama ada secara formal atau pun tidak formal, termasuk memberi khidmat kaunseling kepada pencarum, bergantung kepada keperluan mereka," katanya.



Berikut adalah kenyataan media penuh Perdana Menteri:


Kerajaan sebelum ini membenarkan pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui tiga skim iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra berjumlah RM101 bilion, melibatkan 7.34 juta pencarum sejak pandemik COVID-19 melanda negara dua tahun lalu.

 

Berdasarkan dapatan kajian dan penelitian secara menyeluruh dalam fasa pemulihan selepas pandemik ini, ada dalam kalangan Keluarga Malaysia yang masih terkesan dari segi ekonomi, hilang pendapatan dan sedang membina semula kehidupan.

 

Kerajaan mendengar, mengkaji dan meneliti permintaan  daripada semua pihak untuk mengeluarkan caruman KWSP.

 

Justeru itu, pada hari ini Kerajaan bersetuju membenarkan pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000.

 

Penjelasan lanjut mengenai pengeluaran khas KWSP ini akan dibuat oleh Kementerian Kewangan dan KWSP.


Ini merupakan keputusan yang sukar kerana ia melibatkan simpanan hari tua rakyat dan pengeluaran khas ini adalah jalan tengah dalam mengimbangi antara keperluan mendesak hari ini dan simpanan masa hadapan.

 

Walaupun Kerajaan memberikan kebenaran untuk pengeluaran khas KWSP ini, namun saya merayu kepada para pencarum supaya mengekalkan simpanan mereka kecuali keadaan benar-benar mendesak.

 

Saya berharap para pencarum membuat pertimbangan yang sewajarnya sebelum melakukan pengeluaran, demi masa depan.




TERKINI

Akibat Durian Dijual Guna Timbang Kilogram, Generasi Muda Dan Masa Hadapan Hilang Minat Makan?

Disusun Oleh : Mohd Ezli Mashut Imej Janaan AI Oleh : Mohd Ezli Mashut =========================================== HARGA TAK MASUK AKAL. Ad...