COVID-19: Angka korban dunia lebih 522,000



PARIS: Sekurang-kurangnya 522,246 kes maut akibat COVID-19 direkodkan di seluruh dunia sejak virus itu dilaporkan di China, Disember lalu.

Turut dianggarkan sekurang-kurangnya 10,922,300 kes jangkitan dilaporkan di 196 negara dan wilayah dengan 5,619,700 disahkan pulih.

Anggaran berdasarkan data dikumpul AFP daripada maklumat pihak berkuasa negara-negara dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Ia mungkin tidak mencerminkan jumlah sebenar berikutan kebanyakan negara hanya menjalankan ujian saringan terhadap kes bergejala dan serius.

Amerika Syarikat (AS) terus mengungguli jumlah kes tertinggi apabila merekodkan 128,740 kematian daripada 2,739,879 kes. Sekurang-kurangnya 781,970 disahkan sembuh daripada jangkitan.

Brazil juga kekal sebagai negara kedua paling terkesan dengan 61,884 kematian daripada 1,496,858 kes; diikuti United Kingdom (UK) (44,131 kematian daripada 284,276 kes); Itali (34,833 kematian daripada 241,184 kes) dan Perancis (29,893 kematian daripada 203,367 kes).

Bagaimanapun, Belgium muncul negara yang merekodkan jumlah kematian tertinggi berbanding populasi penduduknya iaitu 84 kematian per 100,000 penduduk, diikuti UK (65), Sepanyol (61), Itali (58) dan Sweden 54. 

SUMBER: AFP/4 JULAI 2020

Ratusan Titik Panas Dikesan di Kalimantan, Risiko Jerebu di Malaysia & Singapura

BY: ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) 

RATUSAN titik panas akibat pembakaran hutan dikesan di Kalimantan berisiko menyebabkan jerebu sehingga ke Malaysia dan Singapura.

Kira-kira 1.6 juta hektar hutan dilaporkan terbakar setakat ini, disifatkan terburuk sejak 2015 sehingga kerajaan Indonesia terpaksa mengisytiharkan darurat pada 1 Julai lalu.

Keadaan itu menimbulkan kebimbangan kepada Indonesia apabila pelbagai usaha dan dana ketika ini disalurkan bagi menangani pandemik COVID-19.

Ketua Mitigasi Bencana Kalimantan, Darliansyah, berkata pihaknya mengesan lebih 700 titik panas di wilayah berkenaan berdasarkan data satelit.

Katanya, pihak berkuasa sedang bertungkus lumus memadamkan kebakaran termasuk menggunakan pesawat pengebom air dan melaksanakan pembenihan awan sejak kebakaran mula berlaku pada Mei lalu.

Operasi memadam kebakaran dijangka berterusan sehingga hujung September ini.

Tahun lalu, Indonesia mengeluarkan amaran keadaan asap akibat pembakaran hutan kepada rakyatnya dengan beberapa wilayah di negara itu sudah mengarahkan sekolah ditutup, susulan keadaan kualiti udara yang tidak sihat.

Keadaan itu ditambah dengan corak iklim El Nino yang memburukkan lagi musim kebakaran hutan, berpunca daripada aktiviti pembersihan dan pembakaran hutan serta semak untuk tujuan pertanian, termasuk perladangan. 

SUMBER: Agensi - 4 JULAI 2020

TERKINI

AirAsia lancar promosi Tempat Duduk PERCUMA* dan jualan hebat ke lebih 130 destinasi

AirAsia melancarkan promosi  dan jualan hebat pertama pada tahun 2024 dengan jutaan tempat duduk ke lebih 130 destinasi. Syarikat itu dalam ...