Jom Klik HASiL, Lapor dan Bayar Cukai Pendapatan Kemudian Dapat Bayaran Balik!

     Foto: Ringgit.com

CUKAI pendapatan merupakan salah satu daripada komponen terbesar sumber kewangan kerajaan di mana ia menyumbang lebih 50 peratus setiap tahun bagi membiayai polisi pembangunan negara dan meneruskan kesejahteraan rakyat.

Selain itu, lebih banyak peruntukan diperlukan untuk insentif kewangan kerajaan bagi membantu rakyat yang terkesan berikutan pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak awal tahun lalu.

Menerusi cukai pendapatan, pembangunan negara bukan sahaja dapat dilaksanakan dengan lebih lancar, ia juga membantu rakyat meneruskan kelangsungan hidup terutama mereka yang kehilangan punca pendapatan secara tiba-tiba.


Sehubungan itu, cukai pendapatan bukan sahaja amalan berkongsi rezeki, tetapi juga menunaikan tanggungjawab sebagai pembayar cukai dan melaporkan pendapatan tahunan.

Bagi pembayar cukai, Program Jom Klik HASiL tidak asing buat mereka untuk melaporkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM).

Bukan sekadar lapor, mereka juga membayar cukai yang dikenakan berdasarkan kepada jumlah pendapatan diterima pada tahun tersebut.

Pada tanggal 1 Mac setiap tahun, mereka yang layak membayar cukai perlu mengisytiharkan pendapatan mereka dan membayar cukai yang sewajarnya kepada LHDNM melalui Portal Rasmi LHDNM.

Jom Klik HASiL

Apakah program Jom Klik HASiL? Untuk makluman anda, ia merupakan program bagi menggalakkan pembayar cukai untuk mengemukakan Borang Nyata (BN) atau membuat bayaran cukai dengan menggunakan kemudahan secara dalam talian yang mudah, tepat dan selamat di bawah aplikasi MyTax.

MyTax di portal rasmi LHDNM merupakan akses utama kepada perkhidmatan ezHASiL seperti e-Filing, e-Daftar, ByrHASiL dan banyak lagi yang boleh dicapai oleh semua pembayar cukai secara Single Sign-On.


MyTax merupakan akses utama kepada perkhidmatan ezHASiL.

Antara lain, MyTax turut membolehkan anda melihat jumlah sumbangan cukai bagi tempoh tiga tahun taksiran yang terkini termasuk semakan maklumat sekatan perjalanan.

Objektif bagi program Jom Klik HASiL adalah untuk menggalakkan pembayar cukai memfailkan BN secara elektronik serta memastikan BN diisi dengan betul dan tepat dan menggalakkan bayaran cukai dilaksanakan secara elektronik untuk menjimatkan masa dan kos.

Program ini turut menggalakkan pembayar cukai menggunakan perkhidmatan dalam talian yang disediakan LHDNM dan memberi khidmat nasihat percukaian kepada pembayar cukai melalui taklimat yang diadakan secara maya sesuai dengan norma baharu yang disarankan kerajaan.

Kemuka borang

Bagi individu yang tidak menjalankan perniagaan, mereka boleh mengemukakan Borang BE (BE) sehingga 30 April 2021, manakala individu yang menerima pendapatan daripada perniagaan boleh mengemukakan (B) sehingga 30 Jun 2021.

Sepanjang program Jom Klik HASiL, pembayar cukai digalakkan untuk menggunakan perkhidmatan dalam talian, iaitu penghantaran e-BE secara e-Filing membenarkan anda untuk melaporkan BN pada atau sebelum 15 Mei 2021 berbanding anda mengemukakannya secara borang kertas di mana tarikh akhir penghantaran pada 30 April 2021.

Selain itu, e-Filing juga membenarkan anda melaporkan e-B pada atau sebelum 15 Julai 2021 berbanding anda mengemukakannya secara borang kertas di mana tarikh akhir penghantaran pada 30 Jun 2021.

Mulai 2020, LHDNM tidak lagi menyediakan kemudahan kaunter e-Filing di cawangan disebabkan oleh norma baharu yang telah ditetapkan oleh kerajaan bagi membendung penularan wabak Covid-19.


Mulai 2020, LHDNM tidak lagi menyediakan kemudahan kaunter e-Filing di cawangan disebabkan oleh norma baharu.

Di bawah ezHASiL, kemudahan disediakan kepada pembayar cukai untuk menguruskan percukaian mereka secara dalam talian menerusi perkhidmatan popular yang selalu digunakan seperti e-Filing.

Jadi, pembayar cukai boleh mengakses sistem e-Filing melalui portal rasmi LHDNM di www.hasil.gov.my > MyTax > Perkhidmatan ezHASiL > e-Filing.

Sebelum menggunakan e-Filing, pastikan anda telah mendaftar sebagai pembayar cukai. Jika belum, daftar menerusi e-Daftar dan seterusnya mendapatkan nombor PIN e-Filing melalui Borang Maklum Balas Pelanggan LHDNM

Bayaran balik

Saat yang paling ditunggu-tunggu oleh pembayar cukai semestinya bayaran balik setelah anda selesai membuat e-Filing.

Anda kini menyedari bahawa pendapatan bercukai anda dapat dikurangkan dengan membuat tuntutan pelepasan cukai.

Bagi individu yang tidak menjalankan perniagaan atau lebih mudah lagi disebut sebagai mereka yang berpendapatan penggajian, kebiasaannya majikan telah membuat Potongan Cukai Bulanan (PCB) ke atas gaji yang mereka terima setiap bulan.

PCB bertujuan untuk mengurangkan beban pekerja supaya tidak perlu membayar cukai secara sekali gus apabila cukai sebenar dikira.

Pembayar cukai akan menerima bayaran balik sekiranya jumlah cukai yang dibayar terlebih dahulu menerusi PCB melebihi cukai sebenar yang dikenakan ke atas mereka.

Keadaan ini berlaku apabila mengambil kira pelepasan atau rebat cukai yang dituntut ketika mengisi e-Filing.

Penggunaan e-Filing bagi melaporkan pendapatan memberi kelebihan kepada anda untuk menerima bayaran balik dalam tempoh 30 hari bekerja berbanding 90 hari bekerja bagi pengemukaan BN melalui pos atau serahan tangan.

Jadi, apa tunggu lagi? Anda boleh memulakan langkah bijak dengan melapor dan membayar cukai pendapatan. Jom Klik HASiL sekarang.


Jom Klik HASiL menerusi e-Filing.

Sebarang pertanyaan boleh dibuat melalui Borang Maklumbalas Pelanggan atau hubungi HASiL Care Line di 03-8911 1000.

Maklumat lanjut percukaian boleh diperolehi di www.hasil.gov.my. Sumbangan anda jaminan kemakmuran negara.


Sumber: MStar Online

TERKINI

AirAsia lancar promosi Tempat Duduk PERCUMA* dan jualan hebat ke lebih 130 destinasi

AirAsia melancarkan promosi  dan jualan hebat pertama pada tahun 2024 dengan jutaan tempat duduk ke lebih 130 destinasi. Syarikat itu dalam ...