Polis Siasat Aduan Gegaran 3 Minit Di Ipoh







8 Jun 2012
IPOH - Polis sedang menjalankan siasatan berhubung aduan orang ramai mengenai gegaran yang berlaku di beberapa kawasan di sekitar bandar raya ini semalam.


Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Azisman Alias berkata setakat ini tiada kesan atau laporan daripada mana-mana pihak atau agensi yang mengetahui punca gegaran tersebut yang berlaku kira-kira tiga minit terutamanya di Jalan Kampar dan Kawasan Politeknik Ungku Omar (PUO).


Bagaimanapun siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca gegaran, katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.


Dalam kejadian pada 11.15 pagi semalam, kira-kira 400 kakitangan PUO gempar apabila merasai gegaran kira-kira tiga minit.


Timbalan Pengarah PUO Muhammad Zubir Mohamad berkata sewaktu kejadian, beliau sedang menghadiri mesyuarat bersama kakitangannya dan mereka semua terdiam seketika apabila dikejutkan dengan gegaran itu.


Kejadian itu menyebabkan pintu dan tingkap bergetar selama beberapa minit menyebabkan ada kalangan kakitangan yang panik lalu menelefon talian kecemasan bomba untuk mendapatkan bantuan, katanya ketika dihubungi hari ini.


Siasatan awal mendapati gegaran itu mungkin berpunca daripada letupan kuari atau latihan tentera yang sedang dijalankan di kawasan berhampiran, bagaimanapun mereka diberitahu tiada sebarang latihan atau letupan kuari semalam. - Bernama





100 penduduk bertempiaran


  
IPOH : Lebih 100 penduduk pangsapuri Taman Harmoni, Buntong, di sini, bertempiaran menyelamatkan diri sejurus merasai gegaran luar biasa di kediaman mereka kira-kira jam 5 petang semalam.
Gegaran kuat selama lima minit itu menggerunkan penduduk yang mendakwa melihat kereta mereka bergoyang selain mengalami kesan loya dan muntah.

Salah seorang penduduk, P Vasanthakumara, 36, berkata dia merasai gegaran ketika berbaring di lantai ruang tamu rumahnya.


“Saya mulanya menyangka berdepan serang sakit jantung sebelum melihat almari dan beberapa peralatan di dalam rumah turut bergoncang kuat.

“Ini pengalaman pertama saya merasai gegaran kuat seumpama ini dan ia amat menakutkan,” katanya yang tinggal di tingkat empat pangsapuri itu.


Sementara itu, seorang pekerja kilang, Rohana Abdul Wahab, 42, turut panik apabila dia tidak dapat berdiri tegak sebelum pening dan rebah.



“Gegaran itu berlaku lebih lima minit dan ia lebih hebat dari gegaran yang berlaku ketika bencana tsunami pada tahun 2004,” katanya.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, memaklumkan berlaku gegaran di beberapa kawasan di Perak antaranya Parit Buntar, Kamunting, Seri Manjung, Bidor, Bagan Serai dan Ipoh.


Pihak bomba belum menerima sebarang aduan membabitkan kecemasan seperti runtuhan bangunan atau kebakaran sehingga lewat petang semalam. Malah, Pusat Gerakan Operasi (PGO) sudah mengarahkan seluruh balai di Perak untuk bersiap sedia.

Sementara itu, 16 ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Kampung Kuala Sungai Manik, Teluk Intan, yang mengadakan kenduri kesyukuran sempena pertabalan Yang di Pertuan Agong ke-14 Tuanku Abdul Halim, turut merasai gegaran gempa bumi yang berlaku selama lima minit.


Ketua Kampungnya, Hakim@ Hashim Mohamad, 64, berkata, mereka berasa panik apabila mendapati dewan tempat mereka mengadakan kenduri kesyukuran bergegar sebelum orang ramai bergegas keluar dari dewan.


“Kami mendapati pokok kelapa dan pokok yang terletak berhampiran dewan turut bergoncang dengan kuat. Malah, air yang berada di dalam besen turut melimpah keluar,” katanya.



Gegaran misteri di PUO
ROSDALILAH ZAHARI
8 Jun 2012
IPOH – Lebih 400 kakitangan Politeknik Ungku Omar (PUO) gempar apabila merasai gegaran hampir tiga minit, pagi semalam.

Timbalan Pengarah Sokongan Akademik PUO, Muhammad Zubir Mohd Hanifah berkata, sewaktu kejadian beliau sedang menghadiri mesyuarat bersama sembilan kakitangannya yang lain sebelum dikejutkan gegaran itu.

Menurutnya, gegaran itu menyebabkan pintu dan tingkap di sekeliling bilik mesyuarat bergetar sehingga menyebabkan mereka tergamam kerana terkejut dengan insiden tersebut.

“Dalam kejadian jam 11.15 pagi itu, kebanyakan warga kerja politeknik sibuk menjalankan tugas harian dan saya serta sembilan kakitangan lain sedang bermesyuarat.

“Tiba-tiba pintu dan tingkap bergetar selama beberapa minit menyebabkan ada dalam kalangan kakitangan yang panik menelefon talian kecemasan bomba untuk mendapatkan bantuan,” katanya ketika ditemui, semalam.

Muhammad Zubir berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat Ipoh tiba di politeknik selepas mendapat panggilan dan membuat pemeriksaan di sekitar kawasan selama 15 minit.

“Bagaimanapun, menurut pegawai bomba yang bertugas mereka tidak menemui sebarang insiden yang menjurus kepada gegaran itu,” katanya.

Sementara itu, jurucakap bomba mengesahkan ada menerima panggilan tersebut dan sudah menjalankan pemeriksaan di PUO dan siasatan mendapati tiada apa-apa yang berlaku di kawasan tersebut.

Selain itu, jurucakap Jabatan Meterologi Perak berkata, pihaknya tiada menerima sebarang laporan berhubung kejadian gempa bumi yang mengaitkan dengan gegaran berkenaan.

Dalam pada itu, jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak berkata, mereka ada menerima aduan orang awam berhubung kejadian terbabit.

“Siasatan awal mendapati, gegaran itu berkemungkinan berpunca daripada letupan kuari atau latihan tentera yang sedang dijalankan di kawasan berhampiran.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenalpasti punca gegaran tersebut,” katanya.

TERKINI

AirAsia lancar promosi Tempat Duduk PERCUMA* dan jualan hebat ke lebih 130 destinasi

AirAsia melancarkan promosi  dan jualan hebat pertama pada tahun 2024 dengan jutaan tempat duduk ke lebih 130 destinasi. Syarikat itu dalam ...