I-Stock |
LONDON: Sekitar 1.7 bilion atau 20 peratus penduduk dunia berdepan risiko tinggi dijangkiti COVID-19 disebabkan mempunyai masalah kesihatan seperti obesiti dan penyakit jantung.
Sehingga kini, gelombang pertama virus itu sudah membunuh hampir 440,000 orang di seluruh dunia dan akan memberi kesan lebih teruk kepada mereka yang berpenyakit bahaya.
Pakar di London School of Hygiene and Tropical Medicine yang menganalisa data global penyakit berbahaya seperti diabetes, sakit paru-paru dan HIV, menjangkakan potensi serius pesakit terbabit dijangkiti COVID-19.
Mereka mendapati satu daripada lima orang akan berdepan risiko itu, malah kira-kira empat peratus penduduk global atau 350 juta penduduk boleh dijangkiti dan memerlukan rawatan hospital.
Salah seorang yang membuat kajian itu, Andrew Clark, berkata ketika ini banyak negara sudah tidak melaksanakan perintah berkurung dan kerajaan mencari jalan untuk melindungi mereka yang berisiko dijangkiti wabak.
"Ia termasuk menasihatkan orang yang berdepan masalah kesihatan untuk mengamalkan penjarakan sosial sesuai dengan risiko kesihatan mereka," katanya.
Tambah Clark, hasil kajian itu mampu membantu kerajaan membuat keputusan siapa yang harus menerima vaksin COVID-19 terlebih dulu sekiranya ia sudah ditemui.
Malah, kajian menunjukkan warga emas paling berisiko berdepan masalah kesihatan akibat virus itu, namun kurang lima peratus individu bawah 20 tahun menghadapi risiko sama berbanding dua pertiga mereka yang berusia lebih 70 tahun.
Negara dengan kepadatan penduduk yang kecil juga berisiko dijangkiti COVID-19, umpamanya negara kepulauan kecil seperti Fiji dan Mauritius yang mempunyai kadar diabetes agak tinggi.
Negara yang mempunyai kadar pesakit HIV atau AIDS yang tinggi seperti eSwatini dan Lesotho juga perlu berwaspada.
SUMBER: AFP