WASPADA! Fenomena Air Pasang Besar Landa Pantai Barat Semenanjung

 

   Sumber Grafik: National Hydrographic  Centre


Penduduk beberapa kawasan di pesisir Pantai Barat Semenanjung Malaysia diminta waspada berdepan fenomena air pasang besar, kata Bahagian Pengurusan Zon Pantai, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS.


Jabatan itu dalam kenyataan media pada 2 Februari 2022 memaklumkan fenomena itu diramal berlaku bermula 1 Februari hingga 5 Februari 2022.


Jelas kenyataan itu, antara beberapa kawasan yang berisiko ialah Kedah (Kuala Muda), Perak (Bagan Datoh), Selangor (Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor) dan Johor (Batu Pahat dan Pontian).


“Keadaan akan menjadi lebih buruk sekiranya disertai angin kencang, ombak besar dan hujan lebat yang berlaku serentak yang akan menyebabkan berlakunya banjir kilat, limpahan air laut dan banjir pantai (coastal flooding).


“Sehubungan dengan itu, orang ramai khususnya pengunjung pantai dinasihatkan agar lebih berhati-hati ketika menjalankan sebarang aktiviti air, riadah dan rekreasi pada tarikh yang dinyatakan di kawasan terbabit.


“Orang ramai juga diminta untuk sentiasa memantau keadaan cuaca dan sekiranya hujan lebat serta air laut pasang berlaku serentak, mereka perlu bersedia untuk berpindah ke tempat selamat dan mematuhi arahan pihak berkuasa yang ditetapkan,” kata kenyataan itu.



FAKTA AIR PASANG BESAR


Kejadian air pasang besar adalah fenomena normal dipengaruhi oleh daya graviti matahari dan bulan yang menjadi penentu utama kepada proses pasang surut air laut. 


Air pasang besar berlaku dua kali setiap bulan apabila posisi bumi selari dengan matahari dan bulan yang kebiasaannya bertepatan dengan tarikh 1 dan 15 haribulan dalam kalendar bulan Islam.


Ada beberapa faktor lain yang telah menyebabkan ianya menjadi buruk. Angin kuat serta hujan lebat semasa kejadian telah mengakibatkan ketinggian ombak meningkat dan pada masa yang sama paras air sungai melimpah akibat hujan yang berlaku. 


Apabila air sungai semakin tinggi dan keadaan laut bergelora maka air pasang tinggi melebihi paras biasa, air mula melimpah lalu mengakibatkan banjir kilat.


Memandangkan air pasang surut ini sesuatu yang mudah diramal, orang ramai dinasihati untuk lebih peka pada masa akan datang terutamanya terhadap cuaca persekitaran semasa tarikh fasa anak bulan dan bulan mengambang.


Ini kerana pada waktu inilah paras air pasang mencapai tahap maksimum. Sekurang-kurangnya persediaan awal mampu untuk mengelakkan sebarang kemalangan yang tidak diingini.


Berikut adalah jadual air pasang surut di Pelabuhan Klang:





 


TERKINI

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Luluskan Celcom-Digi Bergabung

    Sumber : Grafik FMT TELEKOMUNIKASI | Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sudah mengeluarkan notis tiada bantahan kepa...