TAZKIRAH | Mengejar Niaga RM1 Juta Atau Mengejar Berkat Rezeki?


KEBERKATAN. Itu fokus yang perlu diberikan keutamaan dalam perniagaan, pekerjaan dan kehidupan. Lumrah hidup aspek material dan kewangan bagaikan ia segala-galanya. Lantas kadang-kadang alpa sehingga melanggar perintah Allah.


Apabila keberkatan rezeki diperolehi kita sentiasa rasa cukup, semua urusan berjalan dengan lancar, tenang dan kehidupan yang bahagia walaupun pelbagai cabaran dan dugaan datang bertalu-talu menguji keimanan.


Dalam satu riwayat hadis, Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa bekerja untuk anak isterinya melalui jalan yang baik lagi halal, maka bagi mereka akan mendapatkan pahala seperti orang yang berjihad di jalan Allah". (HR Al- Baihaqi).


Rezeki yang kita usahakan adalah untuk diberi kepada anak isteri dan juga ibu bapa serta keluarga kita. Sekiranya rezeki yang kita bawa balik bukan dari sumber yang halal akan mendatangkan kesan buruk kepada kita dan ahli keluarga yang kita berikan.


Perlu juga diingat bahawa rezeki bukan sekadar kekayaan atau wang ringgit semata-mata tetapi juga ia boleh juga berupa ilmu, ketenangan jiwa, anak yang soleh dan keluarga yang bahagia.


Adapun sebahagian tanda keberkatan rezeki tersebut adalah:


*1. Iman Yang Mantap Dan Hati Yang Semakin Dekat Dengan Allah SWT.*


Apabila rezeki yang kita perolehi memiliki keberkatan, Iman kita makin mantap dan hati kita lebih mudah dekat dengan Allah SWT. Kita mudah untuk melakukan amalan wajib dan sunat dan tidak bermalas-malasan dalam urusan ibadah.


*2. Hati Semakin Rasa Tenang.*


Dengan Rezeki yang berkat, akan meraih pandangan Allah SWT dengan diberinya ketenangan hati dan jiwa kita. Hanya Allah SWT yang berhak memberi ketenangan hati kepada kita.


*3. Menjadi Insan Yang Pemurah.*


Amalan memberi sedekah dan zakat juga mudah untuk kita lakukan tanpa ada rasa sayang kepada harta yang kita ada. Ini kerana kita sedar bahawa rezeki yang kita miliki datangnya daripada Allah SWT.


*4. Akan Dijauhkan Daripada Bala Allah SWT.*


Rezeki yang berkat akan mampu menjauhkan bala bencana, kerana Allah SWT sentiasa melindungi orang yang gemar mencari keberkatan dalam rezeki yang dimilikinya.


*5. Dapat Membentuk Keluarga Yang Harmoni.*


Tanda keberkatan rezeki yang seterusnya adalah keharmonian dalam keluarga. Cuba kita perhatikan sesetengah keluarga yang mungkin hidup serba kekurangan dari segi wang ringgit, namun mereka tetap aman damai dan hidup bahagia.


*6. Menjadikan Anak-Anak Yang cemerlang Di Dunia Dan Akhirat.*


Duit yang banyak tidak menjamin kecemerlangan anak-anak di masa hadapan. Namun, rezeki yang berkat yang kita cari mampu menghasilkan anak-anak yang taat kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW dan menjadi anak yang cemerlang dalam meniti hidup di dunia dan akhirat.


*7. Sentiasa Merasa Cukup Dan Bersyukur Dengan Segala Bentuk Pemberian Allah SWT.*


Setiap yang kita perolehi datangnya daripada Allah SWT. Dalam mencari rezeki yang berkat kita perlu sentiasa bersyukur dan merasa cukup dengan segala bentuk pemberian Allah SWT tersebut.


Punca Keberkatan Rezeki


Dalam usaha untuk menjemput rezeki yang halal dan berkat, kita mestilah menurut segala perintah agama sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W.  Kemudiannya, dituruti oleh para sahabat serta ulama-ulama pada masa kini.




1. Niat Mencari Rezeki Kerana Allah S.W.T.


Seseorang yang mencari rezeki hendaklah memasang niat untuk bekerja kerana Allah dan membantu umat Nabi Muhammad S.A.W. Apabila seseorang mukmin membetulkan niatnya mencari rezeki kerana Allah, mereka akan melakukan pekerjaan yang halal, jujur dan ikhlas tanpa mempertikaikan jumlah rezeki yang diperolehi tidak kiralah sikit ataupun banyak.


Keberkatan rezeki datang dalam niat seseorang walaupun setiap manusia mempunyai bentuk rezeki yang berbeza-beza. Ada yang mendapat rezeki dalam bentuk material seperti kenaikan pangkat, jumlah pendapatan yang banyak dan terdapat juga mereka yang gajinya tidak besar tetapi kesihatannya sentiasa baik, anak-anak yang bijak pandai dan sebagainya. Justeru niat bekerja sebagai satu ibadah akan mendatangkan keberkatan rezeki kepada kita.


2. Sentiasa Bangun Awal Pagi


Untuk mendapat rezeki yang berkat, seseorang itu hendaklah membiasakan diri dengan amalan bangun di awal pagi kerana Rasulullah S.A.W. sering berdoa kepada Allah S.W.T. agar memberkati umatnya yang bangun di awal pagi.


Justeru, dengan menjalani kehidupan di awal pagi bukan bertujuan untuk mengejar kekayaan dunia, tetapi untuk mendapat keberkatan rezeki. Para ulama dan sahabat memulakan hari mereka seawal pagi untuk merebut doa Rasulullah SAW dan seterusnya mendapat kehidupan yang berkat.


Bagi sesetengah para ulama yang menjalankan perniagaan, di siang hari mereka gigih mencari rezeki dan apabila menjelang malam, mereka menghabiskan waktu untuk beribadat kepada Allah SWT.


3. Sering Bersedekah


Bersedekah adalah memberikan sedikit sebanyak sebahagian yang kita miliki kepada orang lain. Allah S.W.T menjanjikan balasan ataupun pulangan yang pasti kepada mereka yang bersedekah untuk orang lain tidak kiralah apa jua bentuk sedekah sekali pun.


Keberkatan rezeki juga datang asbab dari bersedekah. Walaupun bersedekah pada awalnya dapat mengurangkan harta yang kita miliki, namun, Allah S.W.T. akan menggantikannya dengan berlipat-lipat ganda rezeki.



Namun begitu, bersedekah sebaik-baiknya dengan niat kita berharap mendapatkan balasan di akhirat berbanding mengharapkan balasan di dunia.


4. Perbanyakkan Bersyukur


Bersyukur merupakan cara untuk berterima kasih atas rezeki yang diberikan oleh Allah S.W.T. kepada kita. Lihat sajalah, bagaimana Allah S.W.T. sangat mudah memberi rezeki yang lebih kepada mereka yang sering bersyukur.


Ada saja rezeki bagi mereka yang tidak mengeluh, walaupun dalam keadaan yang terbatas dan serba kekurangan. Itu kerana mereka mendapat keberkatan rezeki.


Bukankah perkara ini juga sudah dijanjikan oleh Allah S.W.T. di dalam Al-Quran, bahawa sesiapa yang bersyukur maka Allah akan menambahkan nikmat-Nya namun bagi mereka yang mendustakan, maka akan mendapat azab yang pedih. Firman Allah S.W.T. :


“(Ingatlah) ketika Rabbmu memaklumkan, “Sesungguhnya jika kalian bersyukur, nescaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu, akan tetapi jika kalian mengingkari (nikmat-Ku), maka pasti azab-Ku sangat berat.”


(Surah Ibrahim : Ayat 7)



5. Banyakkan Beristighfar


Istighfar juga menjadi salah satu amalan punca rezeki masuk tanpa diduga dan mendapat keberkatan rezeki. Kadang-kadang, dosa yang telah kita lakukan akan menutup pintu rezeki dalam diri walaupun kita sudah berusaha sebaik mungkin.


Istighfar merupakan zikir memohon ampun atas dosa-dosa yang pernah kita lakukan dan mendapatkan keberkatan rezeki kembali. Imam Al-Hasan Al-Bashri juga menyuruh manusia beristighfar jika mengalami kesusahan, kemiskinan, tanaman yang sedikit hasilnya serta menginginkan zuriat. Jadi, perbanyaklah istighfar dalam apa jua kesusahan sekali pun. Firman Allah S.W.T. :


“Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhanmu dan bertaubatlah kepadaNya. (Jika kamu mengerjakan yang demikian), nescaya Dia akan memberi kenikmatan yang baik (terus-menerus) kepadamu sampai kepada waktu yang telah ditentukan, dan Dia juga akan memberikan kepada tiap-tiap orang yang mempunyai keutamaan (balasan) keutamaan-Nya. Jika kamu berpaling, maka sesungguhnya aku takut kamu akan ditimpa seksa di hari Kiamat”. 


(Surah Hud : Ayat 3)


Apa yang perlu difahami oleh kita semua adalah rezeki yang sedikit tetapi berkat dan bercukupan adalah jauh lebih baik dari rezeki yang melimpah ruah tetapi tidak berkat. Semoga rezeki kita semuanya mendapat berkat. Jom baca juga amalan menjemput rezeki, sebab solat dikaitkan dengan rezeki dan Doa murah rezeki.


Rujukan:

1. Portal PMI Kelantan

2. Portal Bidadari.my

TERKINI

AirAsia lancar promosi Tempat Duduk PERCUMA* dan jualan hebat ke lebih 130 destinasi

AirAsia melancarkan promosi  dan jualan hebat pertama pada tahun 2024 dengan jutaan tempat duduk ke lebih 130 destinasi. Syarikat itu dalam ...