|
Portal Daily Mirror melaporkan, firma Nec Corp menguji kereta terbang baharu itu di Tokyo pada minggu ini dan dijangka memasarkannya secara besar-besaran pada 2026.
Peranti tersebut merupakan dron menggunakan bateri berkuasa tinggi dilengkapi empat kipas, cukup besar untuk membawa manusia sebagai penumpang.
Semasa dipandu uji, kereta terbang itu berlegar kira-kira tiga meter di atas daratan selama seminit, sebelum mendarat kembali.
Bagi memastikan tiada sebarang kecelakaan berlaku, ujian penerbangan itu dilakukan di dalam sebuah sangkar besar dan kereta terbang itu ditambatkan pada daratan.
Dalam pada itu, Kouji Okada yang mengetuai projek kereta terbang itu berkata, Jepun merupakan negara yang padat dengan penduduk dan secara tidak langsung kereta terbang itu dapat mengurangkan beban lalu lintas.
Menurut laporan itu, meskipun NEC tidak bercadang untuk menghasilkan kereta terbang dengan sendiri, rakan kongsi projek Cartivator akan memulakan pengeluaran besar-besaran kenderaan itu menjelang 2026.
Bagaimanapun, syarikat tersebut menghadapi persaingan sengit daripada beberapa firma lain yang berlumba untuk muncul sebagai pengeluar pertama mengoperasikan kereta terbang komersial mereka.
Antara firma tersebut termasuk Uber, Boeing dan Kitty Hawk.
SUMBER: AGENSI