CUACA | Keadaan Monsun Barat Daya dialami Malaysia ketika ini yang menyebabkan cuaca panas dan kering hingga pertengahan September, berlaku akibat keragaman iklim.
BH Online pada 24 Julai 2021 melaporkan Pakar Klimatologi dan Pengerusi Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Fredolin Tangang, berkata Monsun Barat Daya selalunya bermula pada Jun dan berakhir pada Ogos atau awal September, diikuti musim peralihan monsun pada September serta Oktober.
Katanya, secara kebiasaannya, curahan hujan juga rendah pada musim Monsun Barat Daya terutama pada Julai, selain suhu lebih tinggi berbanding bulan lain.
"Ketika musim peralihan monsun pada September dan Oktober, curahan hujan akan meningkat terutama pada waktu petang serta lewat petang dan suhu biasanya rendah berbanding bulan sebelum itu.
"Selain keadaan musim monsun itu, wujud fenomena gangguan cuaca dipanggil Ayunan Madden-Julian juga mempengaruhi keadaan curahan hujan dan suhu di Malaysia bergantung kepada fasa fenomena ini dan musim ia berlaku.
"Jika ia berlaku pada musim Monsun Barat Daya dan berada pada fasa 1 hingga 4, fenomena Ayunan Madden-Julian ini akan meningkatkan jumlah hujan dan menurunkan suhu," katanya.
Fredolin berkata, ia berkaitan kehadiran pusat perolakan ditingkatkan berskala besar di kawasan Malaysia dan Indonesia.
"Keadaan ini menyebabkan cuaca dialami ketika ini kering dan panas. Ini keadaan biasa dan sebagai sebahagian daripada keragaman iklim.
"Setakat ini kawasan di utara Semenanjung mungkin lebih terkesan dengan cuaca panas berbanding kawasan lain di negara ini.
"Di Sabah dan Sarawak, kesan gelombang haba ini dijangka kurang berbanding di Semenanjung Malaysia," katanya yang menjangka suhu tidak melebihi 40 darjah Celsius.
Sementara itu, Pensyarah Perubatan dan Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Halimatus Sakdiah Minhat, berkata orang ramai disaran mengelak melakukan aktiviti membabitkan pendedahan kepada matahari secara terus.
Katanya, ia bagi mengekalkan kesihatan sepanjang musim panas ini, selain mengelak perkara tidak diingini berlaku.
"Bagi yang perlu bekerja di luar, perlu sentiasa memakai krim pelindung matahari bagi menghalang kulit daripada sinar ultra ungu matahari (UV) yang boleh menyebabkan risiko untuk jangka panjang," katanya.
Dr Halimatus Sakdiah berkata, pendedahan kepada cahaya matahari pada suhu melebihi 32 darjah Celsius secara berterusan untuk tempoh lama, boleh menyebabkan seseorang diserang keletihan dan kekejangan haba.
Katanya, pendedahan berterusan kepada matahari terutama pada tengah hari dan petang, selain kekurangan hidrasi boleh mendatangkan masalah kesihatan.
"Justeru, seseorang itu perlu kerap minum air kosong atau mineral sekurang-kurangnya lapan hingga 10 gelas sehari.
"Orang ramai juga perlu mengelak minuman bergula dan beralkohol kerana ia akan menyebabkan dehidrasi," katanya.
Namun, katanya, apa yang paling penting adalah sentiasa peka dengan simptom hidrasi termasuk sakit kepala, mulut, bibir dan mata kering, kekejangan, rasa letih serta pening atau keliru.
Sumber: BH ONLINE/24 Julai 2021
Sumber Grafik: BERNAMA