AirAsia Raih Anugerah Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia Kali Ke-14 Berturut


    Sumber Foto : AirAsia 


PENERBANGAN | AirAsia dipilih sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia di Anugerah Syarikat Penerbangan Dunia Skytrax 2023 untuk kali ke-14 berturut-turut, sekali gus menjadikan syarikat penerbangan itu penanda aras global bagi kualiti dan kecemerlangan syarikat penerbangan.


Syarikat penerbangan itu juga muncul sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Asia 2023, seperti yang diundi oleh pengembara yang mengambil bahagian dalam tinjauan kepuasan penumpang syarikat penerbangan terbesar dari September 2022 hingga Mei 2023.


Lebih 100 warga negara (pelanggan) mengambil bahagian dalam tinjauan itu, dengan 20.23 juta penyertaan yang layak dikira dalam membuat keputusan.


Anugerah Syarikat Penerbangan Dunia Skytrax 2023 telah diadakan bersempena dengan Pameran Udara Paris (Paris Air Show) yang diadakan dari 19-25 Jun di Le Bourget Parc des Expositions di Paris.


BERIKUT ADALAH KENYATAAN MEDIA PENUH : 


Berjuta pelancong global mengundi AirAsia sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia untuk kali ke-14 berturut-turut di Skytrax


PARIS, 21 Jun 2023 - AirAsia sekali lagi telah dinobatkan sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia di Anugerah Syarikat Penerbangan Dunia Skytrax 2023 (Skytrax) buat kali ke-14 berturut-turut.


Sebagai penanda aras global bagi kualiti dan kecemerlangan syarikat penerbangan, lebih daripada 325 syarikat penerbangan disaring hingga ke peringkat akhir, di mana AirAsia menjuarai kategorinya. 

Lebih 100 warganegara pengembara yang mengambil bahagian dalam tinjauan dalam talian ini, dengan kira-kira 20.23 juta penyertaan yang layak dikira dalam keputusan dari September 2022 hingga Mei 2023, sejajar dengan tempoh AirAsia meningkatkan rangkaiannya kembali ke lebih 130 destinasi.


Pengiktirafan yang luar biasa ini merupakan bukti kukuh kepada pemulihan syarikat penerbangan ini dan pertumbuhan berterusannya dari segi rangkaian dan penumpang, serta komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam aspek inovasi dan menyediakan perkhidmatan terbaik walaupun menghadapi cabaran berikutan pandemik global. 


Hasilnya, AirAsia sekali lagi kekal sebagai syarikat penerbangan tambang rendah terbaik bagi para tetamu yang ingin mendapatkan lebih nilai dan pilihan berpatutan.


Semasa menerima anugerah tersebut pada majlis yang berlangsung di Paris Air Show 2023 di Perancis hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata: “Kami amat berbangga dan berterima kasih atas anugerah bermakna yang diberikan kepada kami oleh penganjur Skytrax, para pengundi, dan penyokong setia AirAsia. 


Kami turut berasa rendah hati kerana dinobatkan dalam anugerah kecemerlangan ini selama 14 tahun berturut-turut yang merupakan satu pencapaian yang tidak terjangka. Ini merupakan pencapaian yang luar biasa bagi mana-mana syarikat dalam mana-mana industri, lebih-lebih lagi untuk sebuah jenama Asean.” 


Edward Plaisted, Ketua Pegawai Eksekutif Skytrax berkata: “AirAsia adalah salah sebuah jenama kegemaran para penumpang dalam tinjauan kami dan mereka terus meningkatkan kecemerlangan dari tahun ke tahun sejak kategori Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia diperkenalkan pada tahun 2010. 


Kami berharap pengiktirafan daripada para penumpang ini menjadi sumber kebanggaan untuk pihak pengurusan syarikat penerbangann AirAsia dan kakitangan mereka yang telah melalui tempoh yang sukar untuk kembali memulakan perkhidmatan selepas pandemik.”


Kini kira-kira 170 buah pesawat telah kembali beroperasi di seluruh kumpulan dan AirAsia menjangka semua 204 buah pesawat akan diaktifkan semula menjelang akhir bulan Ogos pada tahun ini. 


Selain mencapai 100% kapasiti pra-pandemik dalam beberapa bulan akan datang, syarikat penerbangan itu juga bakal mengembangkan sayapnya lebih jauh dengan 19 buah pesawat baharu yang akan diaktifkan pada tahun ini, termasuk empat buah pesawat jenis Frontier.


AirAsia juga telah memulakan semula tempahan pesawat jangka panjangnya yang akan menjadikan jumlah pesawat terbesar kumpulan itu sebanyak 362 buah pesawat, bermula pada tahun 2024. 


Menerusi perniagaan kargo dan logistiknya iaitu Teleport, syarikat penerbangan itu juga akan menerima pesawat pertama daripada tiga pesawat kargo jenis A321F pada bulan Julai ini, untuk meningkatkan jumlah dan kelajuan perkhidmatan penghantaran merentas sempadan di rantau ini.


AirAsia juga turut mengesahkan komitmennya untuk menawarkan pengalaman pelanggan terbaik dengan meningkatkan ciri-ciri kecerdasan buatan pada bot sembang AskBo di samping pelancaran teknologi pengecaman wajah biometrik, FACES yang dilancarkan bermula untuk laluan domestik, menjadikan pengalaman penerbangan lebih cekap dan lancar.


Tan Sri Tony Fernandes menambah: “Kakitangan kami sentiasa menjadi aset terbesar syarikat penerbangan ini dan kami teruja untuk mengesahkan bahawa semua 22,000 Allstars kami yang terus berusaha untuk memberikan perkhidmatan dan pengalaman penerbangan terbaik kepada berjuta-juta tetamu kami, sebelum, semasa dan selepas penerbangan kini telah kembali. 


Anugerah ini didedikasikan kepada Allstars dan semua 800 juta tetamu yang terus mengundi AirAsia. Terima kasih kerana menjadi sebahagian daripada perjalanannya kami yang luar biasa.”

TERKINI

AirAsia lancar promosi Tempat Duduk PERCUMA* dan jualan hebat ke lebih 130 destinasi

AirAsia melancarkan promosi  dan jualan hebat pertama pada tahun 2024 dengan jutaan tempat duduk ke lebih 130 destinasi. Syarikat itu dalam ...