Malaysia Hadapi Cuaca Panas, Taburan Hujan Rendah Hingga Mac


    Sumber Foto: Food Safety News


CUACA | Malaysia kini berada pada fasa akhir Monsun Timur Laut, sekali gus menyebabkan fenomena peningkatan suhu mendadak yang dijangka berterusan sehingga Mac, kata Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) 


Dalam tempoh itu, taburan hujan agak rendah di Semenanjung Malaysia terutama di utara Semenanjung, lapor BH Online pada 3 Februari 2022/Khamis.


Ketua Pengarah METMalaysia berkata bagaimanapun pihaknya tidak menjangka keadaan cuaca panas luar biasa akan berlaku pada tahun ini.


"Taburan hujan yang rendah dan litupan awan yang kurang dalam tempoh lama boleh menyebabkan cuaca panas bermula tengah hari hingga lewat malam.


"Cuaca panas dialami ketika ini satu fenomena biasa sepanjang tempoh Januari hingga April setiap tahun.


"Suhu tertinggi pada bulan lalu yang dicerap METMalaysia adalah 36.6 darjah Celsius dicatatkan di Stesen Meteorologi Chuping pada 29 Januari lalu, manakala 34.6 darjah Celsius yang dicerap di Stesen Meteorologi Langkawi pada 28 Januari 2021," kata Muhammad Helmi Abdullah.


Beliau berkata, keadaan cuaca panas dialami di banyak kawasan negara dalam tempoh ini dijangka beransur reda bermula pertengahan April depan.


Muhammad Helmi berkata, semua pihak dinasihat mengambil langkah penjimatan dalam penggunaan air, selain mengelak aktiviti pembakaran terbuka, mengurangkan aktiviti di luar dan minum air secukupnya.


"METMalaysia sentiasa memantau cuaca di seluruh negara dan akan mengeluarkan Nasihat Gelombang Haba jika bacaan suhu maksimum harian melebihi 37 darjah Celsius untuk tiga hari berturut-turut.


"Orang ramai disaran sentiasa peka dengan perubahan cuaca dan mendapatkan maklumat serta amaran cuaca terkini melalui laman sesawang rasmi aplikasi myCuaca dan media sosial METMalaysia," katanya.

New Zealand Umum Fasa Buka Semula Sempadan, Hidupkan Kembali Industri Pelancongan

   Sumber: Laman Sesawang NewZealand.com


GLOBAL | New Zealand pada 3 Februari 2022 mengumumkan fasa pembukaan semula sempadannya yang keseluruhannya ditutup selama dua tahun.


Agensi Berita Antarabangsa REUTERS pada 3 Februari 2022 melaporkan menurut penggiat industri pengembaraan dan penerbangan, langkah itu sememangnya diperlukan untuk menghidupkan kembali sektor pelancongan negara pulau Pasifik itu yang terjejas teruk.


Mulai 27 Februari 2022, warga New Zealand sudah divaksin di Australia boleh boleh melakukan perjalanan tanpa perlu dikuarantin. Sementara warganya di negara lain boleh berbuat demikian dua minggu lagi, umum Perdana Menteri, Jacinda Ardern.


Beliau berkata, bagi pengembara asing dan buruh mahir yang sudah meneriam pelalian itu akan turut akan dibenarkan memasuki negara itu bermula 13 Mac ini.


New Zealand juga akan membenarkan seramai 5,000 pelajar antarabangsa memasuki negara itu bermula 12 April 2022 ini.


Bagaimanapun, Ardern berkata semua pengembara masih tertakluk kepada arahan kuarantin kendiri selama 10 hari.


Pelancong dari Australia dan negara bebas visa lain bagaimanapun tidak dibenarkan memasuki negara itu sehingga Julai 2022 serta pengembara dari negara lain juga tertakluk kepada arahan sama sehingga Oktober 2022 dan mereka dikehendaki kuarantin kendiri setibanya di negara itu.


Ardern berkata, pembukaan sempadan secara berperingkat dan dalam keadaan terurus membolehkan orang bertemu kembali dan membantu mengisi kekurangan tenaga buruh selain memastikan sistem penjagaan kesihatan dapat menguruskan peningkatan kes.


"Strategi kami terhadap jangkitan COVID-19 varian Omicron adalah untuk memperlahankan penularan dan sempadan kami antara sebahagian usaha itu," katanya merujuk varian paling menular yang ketika ini dominan seluruh dunia.


New Zealand antara negara yang paling ketat mengawal sempadan di dunia, sebagai usaha kerajaan untuk mengekang perebakan COVID-19.


Antara lokasi menarik di New Zealand yang dijadikan penggambaran filem Lord Of The Rings. Sumber FOTO: NewZealand.com

Warga asing dilarang memasuki negara itu dan warganya mencari kaedah berbuat demikian sama ada membuat permohonan kecemasan kepada kerajaan atau mendapatkan tempat di fasiliti kuarantin negara yang dipanggil MIQ melalui laman web.


Peraturan itu bagaimanapun membantu negara yang memiliki populasi seramai lima juta orang itu merekodkan sekitar 17,000 kes positif dan 53 kematian setakat ini.


Sementara itu, Ketua Eksekutif Persatuan Lapangan Terbang, Kevin Ward, berkata keperluan kuarantin kendiri akan mengekang penularan COVID-19 sekali gus membantu pemulihan sektor pelancongan.


"Orang tidak mahu melakukan penerbangan ke New Zealand kerana mereka perlu menghabiskan seminggu pertama duduk di hotel," katanya.


Menurut persatuan itu, analisis dijalankan Lapangan Terbang Auckland menunjukkan permintaan pasaran pengunjung Australia dijangka sekitar tujuh peratus pada 2019, jika arahan kuarantin kendiri kekal dikuatkuasakan. 

TERKINI

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Luluskan Celcom-Digi Bergabung

    Sumber : Grafik FMT TELEKOMUNIKASI | Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sudah mengeluarkan notis tiada bantahan kepa...