Wan Azizah: 'Kasihan Izzah'


Muka depan akhbar Sinar Harian edisi Selangor & KL Khamis 8 November 2012

PETALING JAYA – “Kasihan Izzah. Sabarlah ye nak...” Dia mengusap-usap gambar Nurul Izzah yang tersiar di muka hadapan Sinar Harian. Walau tersenyum nipis, tetap ada raut sayu hiba hati ibu. Itulah aksi spontan   Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail apabila menatap wajah anaknya, Nurul Izzah Anwar di muka depan akhbar Sinar Harian semalam.

"Saya memang sedih apabila kontroversi ini timbul. Naluri keibuan saya terasa dijerut. "Anak saya dituduh menggalakkan murtad! Satu tuduhan berat!"

Itu yang diluahkan Dr Wan Azizah apabila ditanya tentang kontroversi yang mendakwa anaknya itu menggalakkan kebebasan memilih agama pada forum Islamic State: Which Version Whose Responsibility? baru-baru ini. 



Katanya, walaupun beliau dan keluarga sudah lali dengan serangan politik dan peribadi sejak suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dari Kabinet 14 tahun lalu, namun serangan yang mengaitkan sentimen agama amat  keterlaluan.

“Dulu suami saya dikaitkan dengan kes sodomi, tetapi tidak berjaya, timbul pula sodomi II juga tidak berjaya. Lepas itu dikaitkan pula dengan Kristian dan pluralisme. Sekarang tiba giliran anak saya pula. “Kepada anak-anak  saya pesan, hadapilah segala ujian yang mendatang dengan tabah untuk dapatkan keredaan ALLAH.



"Jangan putus memohon dan berdoa kepada-NYA moga perjuangan kita diterima.” Katanya lagi, beliau dan suami sering menasihatkan anak-anak agar jangan berputus asa dan sentiasa meminta petunjuk ALLAH jika  berhadapan dengan situasi sukar.

“Saya juga tidak pernah jemu mengingatkan mereka dan diri sendiri agar tidak lari dari jalan yang mendapat keredaan ALLAH, ampunkanlah segala kesalahan dan perkuatkan iman dengan amal dan zikir,” katanya.

Terdahulu,  media mendakwa Nurul Izzah berkata: “Apabila anda bertanya saya, tiada paksaan dalam beragama… mengapa sesetengah pihak rasa bersalah, perkara ini (kebebasan agama) hanya terpakai kepada orang bukan Melayu, sepatutnya diguna pakai secara sama rata.”

Bagaimanapun, beliau dilaporkan tidak menyatakan orang Melayu sepatutnya diberikan hak daripada segi undang-undang berkaitan kebebasan beragama.

Nurul Izzah, menerusi blog beliau, www.nurulizzah.com mengucapkan ribuan terima kasih atas pertanyaan lanjut yang diterima beliau ekoran kenyataannya di dalam forum Islamic State: Which version? Whose responsibility? sebagai seorang panelis.

“Sewaktu sesi soal jawab, salah satu soalan ditanya kepada saya berkait isu paksaan dalam agama melibatkan masyarakat Melayu.

“Jawapan saya menegaskan ungkapan – “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam)….” – daripada ayat suci al-Quran, Surah Al-Baqarah, ayat 256. Ungkapan ini merangkumi seluruh umat manusia.

“Namun ditambah, saya berpegang pada pendirian umum sedia ada, iaitu setelah memeluk Islam, seorang Muslim tertakluk dengan Syariat Islam; sebagaimana seorang warganegara tertakluk dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Menurut pemimpin PKR itu lagi, beliau kesal terhadap percubaan memutarbelitkan kenyataannya yang kelihatan seolah-olah meremehkan soal akidah “atau mudah menerima orang Islam yang memilih untuk murtad”.

“Saya cenderung mendukung program pendidikan dan dakwah untuk memperkukuh akidah dan meningkat kefahaman terhadap Islam.

“Saya berdoa agar ALLAH SWT memberi petunjuk dan hidayah kepada semua, demi kesejahteraan bersama,” tulis beliau lagi.

-Sinar Harian-

TERKINI

Akibat Durian Dijual Guna Timbang Kilogram, Generasi Muda Dan Masa Hadapan Hilang Minat Makan?

Disusun Oleh : Mohd Ezli Mashut Imej Janaan AI Oleh : Mohd Ezli Mashut =========================================== HARGA TAK MASUK AKAL. Ad...