Ucapan Perbahasan Datuk Seri Anwar Ibrahim - Belanjawan 2013



1 Oktober 2012 - Ketua Pembangkang Bahas Bajet 2013 - Part 1

wnload
319 views 
   
Published on Oct 1, 2012 by 
Perbahasan Bajet 2013 oleh DSAI


MUQADDIMAH
KONSEP PEMBANGUNAN EKONOMI

1.  Pendekatan pembangunan ekonomi yang berkepedulian dan mampan akan menjamin imbangan di antara pertumbuhan yang berterusan dan agihan kesejahteraan yang adil kepada semua.

2. Sebab itu, tumpuan tidak boleh hanya diberikan kepada angka-angka pertumbuhan dan saiz ekonomi semata-mata. Pendapatan isi rumah oleh golongan yang berbeda di dalam masyarakat adalah sama penting kerana ia menjadi kayu ukur sama ada hasil dari pertumbuhan ekonomi dinikmati seadilnya oleh semua golongan di dalam masyarakat, selaras dengan firma Allah SWT di dalam Al-Quran pada ayat ke-7, Surah Al-Hasyr:


“Apa yang Allah kurniakan kepada Rasul-Nya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin serta orang-orang musafir (yang keputusan). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu.”


1.                Pakatan Rakyat sejak dari awal lagi menekankan bahawa seluruh perancangan ekonomi negara perlu beralih dari mengejar sasaran ekuiti dan pertumbuhan semata-mata kepada sasaran pendapatan isi rumah minima sebanyak RM4,000 sebulan setiap keluarga menjelang akhir penggal pertama pentadbiran Pakatan Rakyat.

2.                Kenyataan tersebut diputarbelitkan sehingga ada yang membuat andaian kononnya Pakatan Rakyat berjanji akan membayar imbuhan kepada rakyat agar pendapatan isi rumah setiap keluarga mencecah RM4,000 sebulan.

3.                Saya ingin tegaskan bahawa pendekatan pembangunan ekonomi yang seharusnya menekankan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan berkekalan dalam jangka masa yang panjang serta menjamin peningkatan pendapatan bolehguna (disposable income) rakyat, melalui sasaran-sasaran khusus seperti berikut:

a.     Pertumbuhan ekonomi perlu dijana oleh golongan usahawan kecil dan sederhana yang membentuk kelas perniagaan terbesar di dalam ekonomi, bukannya satu dua tauke besar dan insan mahakaya yang membolot atau memonopoli sebahagian besar kegiatan ekonomi;

b.     Pertumbuhan ekonomi bergantung kepada nilai tambah yang dihasilkan melalui peningkatan kemahiran dan kepakaran, maka peluang pekerjaan yang dihasilkan mempunyai pengaruh yang besar kepada bentuk pertumbuhan yang dijana;

c.      Peranan kerajaan di dalam menjana ekonomi perlulah dibataskan kepada usaha-usaha mencambahkan bidang baru dan memesatkan kegiatan ekonomi strategik, bukannya terlibat sama di dalam setiap jenis kegiatan ekonomi dan bersaing pula dengan usahawan kecil dan pengusaha;

d.     Pendidikan dan kemahiran yang melengkapkan rakyat untuk berdepan dengan persaingan global adalah fokus kerajaan sebagai tanggungjawab asas kepada rakyat untuk memesatkan pertumbuhan ekonomi

e.     Dasar-dasar khusus yang menjamin paras gaji dan perkongsian nilai yang dijana di antara majikan/syarikat dengan pekerja adalah saksama perlulah digubal dan dilaksanakan oleh kerajaan demi menjamin kesejahteraan rakyat

f.       Paras pendapatan isi rumah keluarga menjadi sasaran ekonomi utama untuk memastikan tidak ada rakyat yang ketinggalan dari arus pembangunan dan kesejahteraan negara

g.     Kebajikan dan kesejahteraan golongan-golongan tertentu di dalam masyarakat yang memerlukan bantuan dan perlindungan agar tidak terpinggir adalah tanggungjawab kerajaan, melalui satu sistem jaringan keselamatan sosial yang menyeluruh dan bersepadu

h.     Kemakmuran ekonomi rakyat terbanyak yang paras pendapatannya meningkat menjamin pertumbuhan yang mampan dan berterusan bila mana mereka terus melabur kembali di dalam ekonomi negara

4.           Pendekatan pembangunan yang seimbang di antara pertumbuhan ekonomi dan paras pendapatan rakyat ini turut disokong oleh United Nations Conference on Trade and Development (UNCTAD) di dalam laporannyaTrade and Development Report 2012: Policies for Inclusive and Balanced Growth.

5.           Dengan izin, saya petik:

UNCTAD argues that rising inequality is neither a necessary condition for sound economic growth, nor its natural result. By contrast, full participation of all citizens in the proceeds of the economy as a whole in indispensable for successful and sustained development.

TDR 2012 suggests that policymakers need to apply policies to reduce income gaps, which in turn will influence overall economic and social outcomes. It shows how income distribution has been and may be modified by proactive policies, including the use of fiscal instruments aimed at redistribution.”


6.           Ringkasnya, pendekatan ekonomi yang ghairah dengan mencatat pertumbuhan tanpa mengambil kisah kesenjangan pendapatan di dalam masyarakat hingga golongan mahakaya yang dua tiga kerat membolot hasil negara tidak lagi wajar.

7.           Belanjawan 2013 tidak menyentuh langsung usaha-usaha meningkatkan paras pendapatan rakyat secara keseluruhan.

UNJURAN REALISTIK DAN SASARAN DICAPAI

10.            Keberkesanan  sesebuah kebijakan ekonomi, baik yang dibuat melalui belanjawan atau perancangan ekonomi berkala, untuk menjana pertumbuhan dan membaiki kedudukan sosio-ekonomi rakyat juga tertakluk kepada unjuran yang munasabah berdasarkan angka dan data yang benar. Ianya kemudian dinilai semula setelah meneliti sama ada sasaran dicapai.

11.            Jika tidak, proses merangka belanjawan dan perancangan ekonomi tidak lebih dari sekadar gimik politik murahan.

12.            Dengan merujuk kepada fakta bahawa jumlah perbelanjaan Kerajaan Persekutuan melangkaui jumlah yang diluluskan di Belanjawan 2012 sebanyak 9.4%[1] iaitu berbelanja lebih sebanyak RM21.6 bilion. Bukan semua jumlah itu disebabkan kenaikan gaji kakitangan awam atau tanggungan subsidi seperti yang diumumkan, kerana belanja perbekalan melebihi belanjawan yang diluluskan sebanyak RM1.5 bilion[2].

13.            Dalam keadaan negara berhadapan dengan defisit yang meruncing, sewajarnya kerajaan berhemah dan menunjukkan penjimatan dari proses perolehan yang telus, sebaliknya RM1.5 bilion dibelanjakan melebihi jumlah yang diluluskan.

14.            Malah, jika pola perbelanjaan diperincikan dari tahun 2009 hingga 2013 iaitu sejak YAB Pekan menjadi Menteri Kewangan dan Perdana Menteri, saya khuatir bahawa keghairahan berbelanja ini sudah menjadi penyakit dan ketagihan:
 RM Juta
2009
2013
Peningkatan
% Peningkatan
Emolumen
42,778
58,621
15,843
37%

Pencen dan ganjaran
10,146
13,597
3,451
34%

Bayaran khidmat hutang
14,222
22,245
8,023
56%

Pemberian dan serahan kepada kerajaan negeri
4,895
6,276
1,381
28%

Bekalan dan perkhidmatan
26,372
33,659
7,287
28%

Subsidi
20,345
37,612
17,267
85%

Perolehan aset
2,582
1,046
(1,536)
-59%

Bayaran balik dan hapus kira
555
1,109
554
100%

Pemberian kepada badan berkanun
12,024
14,041
2,017
17%

Perbelanjaan lain-lain

23,149

13,712

(9,437)

-41%
15.            Sepanjang tempoh beliau menjadi Menteri Kewangan, yang ketara adalah lonjakan bayaran khidmat hutang sebanyak 56% atau peningkatan  RM8 bilion dalam tempoh lima tahun. Ini bermakna jumlah pinjaman baru (menurut Bank Negara) sejak 2009 hingga 2013 adalah sebanyak RM184 bilion.

16.            Bayaran perbekalan dan perolehan, yang sewajarnya mampu dikawal jika proses perolehan telus dan melalui tender terbuka juga melonjak sebanyak RM7 bilion atau peningkatan kos 28% di bawah pengawasan Menteri Kewangan sekarang.

17.            Jumlah RM15 bilion yang bertambah sejak beliau menjadi Menteri Kewangan, jika dikawal dan dijimatkan sudah tentu dapat menampung beberapa program yang membantu rakyat termasuklah membatalkan PTPTN dan menyediakan pendidikan percuma.

18.            Rekod mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi yang tiap-tiap tahun tergelincir dari sasaran juga mempunyai kesan yang besar kepada kedudukan kewangan kerajaan persekutuan.

19.            Jika pertumbuhan 6% seperti yang disasarkan sendiri oleh Dato’ Seri Najib dicapai di antara tahun 2010 dan 2013, kesannya kepada hasil negara dari kutipan cukai tambahan dianggarkan seperti berikut[3]:
2010
2011
2012
2013
Saiz ekonomi (diukur dengan KDNK pada harga pembeli[4]), RM juta
         674,946
         709,261
         743,543
         780,983

Pertumbuhan ekonomi sebenar, %
7.2%
5.1%
4.5%
5.0%

Sasaran pertumbuhan ekonomi, %
6.0%
6.0%
6.0%
6.0%

Tambahan hasil negara jika sasaran ekonomi dipenuhi, RM juta
              1,236
              2,965
              4,578

20.            Kegagalan mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi mempunyai kesan besar kepada kedudukan ekonomi dan kesejahteraan rakyat, tatkala negara berdepan dengan masalah defisit yang meruncing.

21.            Kegagalan memacu pertumbuhan ekonomi berkembang pada kadar 6% setahun bermakna di antara tahun 2011 hingga 2013, jumlah terkumpul hasil negara dari kutipan cukai yang hilang sudah mencecah RM8.8 bilion. Ini adalah tambahan cukai yang boleh dikutip oleh kerajaan sekiranya ekonomi berkembang pada kadar 6%, bukannya sekitar 4% - 5% seperti yang dicatatkan sekarang.

22.            Justeru, pendekatan Pakatan Rakyat untuk mengawal defisit dan mencapai sasaran belanjawan berimbang dalam tempoh penggal pertama pentadbiran Pakatan Rakyat adalah untuk kembali kepada kewarasan berbelanja secara berhemah dan menjana pendapatan negara melalui pertumbuhan ekonomi yang sihat.





EKONOMI MALAYSIA DAN DUNIA

PERBANDINGAN NEGARA

23.            Jika potensi ekonomi Malaysia, berasaskan sumber kekayaan dan kepelbagaian masyarakat dan tenaga kerja yang ada, dicapai melalui dasar-dasar yang menjurus kepada pertumbuhan dan kepedulian rakyat, Malaysia sewajarnya berada di depan negara-negara yang kini menjadi contoh kepada dunia.

24.            Malaysia bermula pada garisan yang sama dengan negara-negara seperti Singapura, Taiwan dan Korea Selatan. Malah, Malaysia berada di hadapan berbanding dengan Turki.

25.            Contoh yang baik juga adalah perbandingan bagaimana Korea Selatan terus menjadi jenama dan kuasa ekonomi yang berpengaruh di dunia, sedangkan dalam tahun 1970an Pendapatan Negara Kasar per kapita (gross national income per capita) Malaysia sebanyak US$400 adalah jauh lebih tinggi berbanding Korea Selatan pada jumlah US$270[1] sahaja.

26.            Kelebihan ekonomi ini makin terhakis dan merudum sejak tahun 1980, seperti yang dibuktikan oleh angka-angka perbandingan pendapatan negara kasar per kapita seperti berikut:

1980
1990
2000
2010
Korea Selatan
1,810
6,000
9,910
19,720
Malaysia
1,820
2,370
3,420
7,760
Pendapatan Negara Kasar per kapita (US$)

27.            Justeru, pendekatan ekonomi di bawah pengurusan Barisan Nasional secara jelas telah merosotkan daya saing kita dalam tempoh 30 tahun yang lepas hingga kita jauh ditinggalkan Korea Selatan, walaupun kita bermula pada garis yang sama dalam tahun 1980.

28.            Kini, kita juga berhadapan risiko ditinggalkan pula oleh negara-negara yang sebelum ini berada di belakang kita kerana mereka merancang ekonomi negara mereka dengan berhemah, membanteras rasuah dan membuka peluang sama rata kepada niagawan yang berdaya maju.

29.            Kejayaan Turki di bawah Reccip Tayeb Erdogan contohnya, memberi keyakinan kepada kita bahawa dasar ekonomi dan pentadbiran yang berteraskan keadilan sosial, ketelusan, amanah dan mengiktiraf bakat kebolehan setiap rakyatnya berjaya melonjakka kemakmuran ekonomi negara dan rakyat Turki dalam tempoh yang begitu singkat.

30.            Sebab itu Pakatan Rakyat dari awal lagi telah menegaskan bahawa perubahan dan tambahbaik ekonomi tidak boleh berlaku tanpa adanya reformasi politik dan pentadbiran. Buku Jingga adalah dokumen yang jelas menggariskan bahawa matlamat pertumbuhan ekonomi perlu didokong oleh proses islah politik dan pentadbiran yang menyeluruh, kerana Turki di bawah Reccip Tayeb Erdogan meyakinkan dunia bahawa pembaharuan politik menyuburkan pertumbuhan ekonomi.

31.            Dalam tempoh 10 tahun mengambil alih pentadbiran Turki, tanpa hasil minyak dan gas, Erdogan berjaya menukar ekonomi Turki yang menguncup dalam tahun 2002 dan menjadi a new economic miracle yang dikagumi oleh seluruh dunia:

a.     Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau saiz ekonomi Turki berkembang 3 kali ganda dalam tempoh 9 tahun, dari US$233 bilion (2002) kepada US$773 (2011)

b.    Unjuran pertumbuhan ekonomi 2012 berasaskan angka suku pertama meletakkan angka pertumbuhan melepasi 11% mengatasi negara China atau mana-mana negara maju di dunia

c.     Ekonomi Turki tumbuh di antara 7% hingga 9% secara purata sepanjang pentadbiran beliau, menjadikan ia tempoh pertumbuhan ekonomi paling rancak dalam sejarah negara itu

d.    Turki akan melangsaikan semua baki hutang IMF yang diwarisi oleh beliau menjelang April 2013 berjumlah Euro1 bilion, tempoh pembayaran balik yang singkat memandangkan jumlah hutang yang diwarisi

32.           Beliau juga berdepan dengan kritikan dan cemuhan yang sama ketika mula-mula melaksanakan reformasi ekonominya. Apabila beliau mahu melaksanakan dasar pendidikan percuma kepada seramai mungkin rakyat Turki, beliau dituduh akan memuflis dan membangkrapkan negara.

33.           Sebab itu Pakatan Rakyat juga yakin bahawa masalah ekonomi Malaysia juga boleh diatasi dengan cepat dan cekap, asalkan dasar-dasar yang digubal merombak kepincangan struktur ekonomi sedia ada.

34.           Kegagalan Barisan Nasional menamatkan defisit belanjawan selama 15 tahun berturut-turut sedangkan Malaysia mempunyai hasil minyak menunjukkan ada masalah struktur ekonomi yang diabaikan dan dibiarkan membarah, kerana menyelesaikan kepincangan ekonomi tersebut bermakna menyentuh kroni dan golongan mahakaya berkepentingan.

KEPINCANGAN STRUKTUR EKONOMI 
35.            Kepincangan ekonomi Malaysia yang berpanjangan (baik dari kedudukan defisit yang meruncing, jurang pendapatan keluarga yang makin melebar, gaji yang tidak meningkat dan pertumbuhan ekonomi yang lembap) adalah berpunca dari kegagalan meluruskan struktur ekonomi.

36.            Sebab itu, rakyat harus membedakan di antara belanjawan yang hanya menyenaraikan gula-gula dan pengumuman saguhati tetapi langsung tidak memberi penumpuan kepada persoalan struktur ekonomi.

37.            Keengganan kerajaan berbicara soal kepincangan struktur ekonomi negara kerana kurang tekad politik menyentuh keuntungan kroni dan monopoli syarikat keluarga serta golongan mahakaya yang bersekongkol dengan mereka.

RASUAH & PENYELEWENGAN

35.            Rasuah dan penyelewengan terus menjadi musuh utama ekonomi dan kesejahteraan negara. Keengganan Barisan Nasional mengangkat amalan tata kelola yang baik sahaja yang akan menyelar penyelewengan, pemborosan dan melemahkan daya saing.

36.            Anggaran-anggaran khusus ketirisan oleh pelbagai pihak memberi gambaran bagaimana keberhutangan negara dan rakyat banyak berpunca dari amalan rasuah dan penyelewengan yang tidak dibendung ini:

a.     Anggaran jumlah ketirisan sebanyak RM28 bilion hasil dari contoh-contoh ketirisan dan penyelewengan yang dilaporkan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2008. Wakil-wakil Barisan Nasional boleh menafikan ini sekeras-kerasnya, tetapi rakyat boleh menilai apabila seorang tokoh yang rapat dengan pemerintah dimaafkan hutang berjumlah RM580 juta, atau wang projek ternakan lembu RM250 juta diselewengkan untuk membeli kondominium mewah, atau kos perolehan di jabatan-jabatan kerajaan berkali-kali ganda lebih mahal dari harga sebenarnya – jumlahkan semua ini setiap tahun dan angka RM28 bilion seperti yang dianggarkan bukanlah angka yang jauh menyimpang.

b.    Anggaran Transparency International bahawa ketirisan setiap tahun kerana tiadanya amalan telus melalui proses tender terbuka mencecah RM40 bilion setiap tahun

c.     Belanja perolehan di bawah kawalan dan pengaruh kerajaan, meliputi belanja kerajaan persekutuan, negeri, agensi dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan dijangka mencecah RM150 bilion setiap tahun. Pengalaman Pakatan Rakyat di Selangor menunjukkan bahawa pentadbiran di bawah Tan Sri Khalid Ibrahim berjaya mengurangkan kos sebanyak 24% secara purata dari kontrak-kontrak perolehan, yang membayangkan bahawa selama ini kos dinaikkan sehingga melepasi 20%. Sebagai contoh, pinjamatan dari tender terbuka ialah 24% atau RM105.8 juta iaitu dari anggaran jabatan sebanyak RM447 juta berbanding nilai projek sebanyak RM341 juta. Manakala penjimatan bagi kos operasi dari pengambilalihan Alam Flora adalah RM 81 juta.

d.    Di Pulau Pinang, pentadbiran Pakatan Rakyat telah menyelamatkan Majlis Perbandaran Seberang Prai daripada mengalami kebangkrapan pada 2008 daripada deficit sebanyak RM230 juta selama lapan tahun di bawah Barisan Nasional kepada lebihan RM41 juta selama tiga tahun di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat. Selain itu Pulau Pinang merupakan negeri yang berjaya mencatat pengurangan hutang terbesar di Malaysia daripada RM630 juta pada 2008 kepada RM30 juta pada tahun 2011.

e.     Di negeri Kedah pula, hasil balak meningkat daripada RM9 juta sebelum 2008 kepada RM80 juta pada tahun 2011. Manakala Kelantan, walaupun disisih dari arus pembangunan perdana namun masih berjaya menurukan kadar kemiskinan iaitu sebanyak 17.8% pada 2002 kepada 4.8% pada tahun 2009.

f.       Jika penjimatan 20% yang sama dapat dilaksanakan ke atas perbelanjaan perolehan yang dikawal kerajaan, ini bermakna setiap tahun kerajaan mempunyai lebihan RM30 bilion untuk menampung program-program pro-rakyat.


PENDAPATAN ISI RUMAH YANG RENDAH

37.       Pendapatan isi rumah rakyat kekal rendah dan analisa strata pendapatan isi rumah rakyat menunjukkan golongan yang kaya menjadi semakin kaya, sementara yang miskin semakin miskin.

38.       Ini bermakna pertumbuhan ekonomi dan segala macam pengumuman projek yang dibuat oleh Barisan Nasional tidak mempunyai kesan kepada pendapatan rakyat terbanyak. Realiti pendapatan isi rumah rakyat terbanyak adalah berbeza dan terpisah dari gambaran ekonomi yang diberikan Barisan Nasional.

39.       Berdasarkan Kajiselidik Pendapatan Isirumah dan Keperluan Asas 2009 (HISBAS 2009), 44.2% dari isi rumah di Malaysia mempunyai pendapatan isi rumah di bawah RM2,500 sebulan.

40.       Kajiselidik yang sama menunjukkan bahawa golongan 20% terkaya di Malaysia membawa pulang 50% dari pendapatan dan nilai ekonomi yang dijana, sedangkan golongan 40% termiskin pula hanya berkongsi 14% dari kek ekonomi di negara ini.

41.       Keghairahan mengejar angka pertumbuhan ekonomi semata-mata tanpa ada reformasi dasar yang khusus untuk merapatkan jurang dan memastikan agihan yang lebih sekata makin menjadi-jadi di dalam perancangan ekonomi ETP yang dibawa Perdana Menteri.

42.       Analisa dan perbandingan nilai ekonomi yang dijana oleh projek-projek ETP berbanding dengan bayaran gaji kepada pekerja menunjukkan bahawa menjelang 2020, pekerja akan dibayar gaji yang lebih rendah secara relatif kepada keuntungan syarikat. Jika sekarang nisbah gaji kepada keuntungan syarikat adalah 28%, di bawah ETP angka ini dijangka jatuh ke paras 21%.

KEPINCANGAN STRUKTUR EKONOMI
TIADA DAYA SAING

46.            Ekonomi negara dikawal dan dimonopoli oleh syarikat-syarikat besar yang dimiliki negara atau rapat dengan kroni atau golongan mahakaya berkepentingan. Tumpuan kerajaan melalui insentif dan dasar banyak diberikan kepada golongan ini, sedangkan daya saing sebenar ekonomi sepatutnya dibina dan dipupuk di kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

SISTEM PENYAMPAIAN YANG TIDAK BAIK DAN TIRIS

47.            Ketirisan terus berlaku menyebabkan bantuan atau insentif yang sepatutnya sampai kepada golongan atau kumpulan sasaran dicuri di tengah jalan. Jika RM5,000 diperuntukkan sebagai bantuan permulaan perniagaan, hanya RM2,000 akhirnya sampai yang selebihnya disamun oleh golongan atas angin yang rapat dengan pemerintah.

48.            Kebimbangan mengenai ketirisan ini turut disuarakan di dalam Malaysia Economic Monitor April 2012 yang dilaporkan kepada EPU, mukasurat 29 bahawa berdasarkan maklumat dari Kajiselidik Isirumah 2009, hanya 27% dari golongan 10% termiskin di negara ini yang mendapat bantuan dari kerajaan, walaupun kononnya kerajaan telah mengadakan pelbagai program kebajikan untuk membantu mereka.

49.            Hakikat bahawa hanya 27% dari golongan yang paling wajar dibantu dan termiskin mendapat manfaat dari program kerajaan membayangkan ketirisan yang berterusan.

HUBUNGAN RAPAT PERNIAGAAN BESAR DAN KERAJAAN YANG MENGHALANG TUMBUHNYA GOLONGAN USAHAWAN

50.              Hubungan rapat di antara kroni, golongan mahakaya dan berkepentingan dengan kerajaan menyebabkan hanya mereka diberi peluang untuk memainkan peranan besar.

51.              Pembolotan ekonomi seperti ini memberi impak buruk kepada percambahan usahawan baru yang tawar hati dan tidak mungkin dapat bersaing dengan syarikat-syarikat besar yang mempunyai talian terus kepada pimpinan tertinggi negara.

PERGANTUNGAN KEPADA PROJEK-PROJEK BESAR YANG DIBIAYAI KERAJAAN UNTUK MEMACU EKONOMI

52.             Walaupun kerajaan mengumumkan angka-angka yang sekilas pandang nampak besar dan menggambarkan pelaburan swasta yang besar, hakikatnya kebanyakan projek ini melibatkan campur tangan dan suntikan dana atau insentif oleh kerajaan.

53.             Ini membayangkan bahawa Barisan Nasional masih menggunakan model pergantungan kepada projek-projek mega untuk mencatat angka pertumbuhan ekonomi yang boleh diwar-warkan kepada rakyat, sedangkan tindakan itu memanjangkan kelembapan pelaburan swasta yang sangat-sangat diperlukan.

54.             Analisa yang baik untuk membuktikan ada jurang di antara pengumuman pelaburan yang dibuat dan jumlah pelaburan sebenar adalah perbandingan pelaburan-pelaburan di koridor-koridor ekonomi yang diwujudkan.

55.             Misalnya, sehingga akhir Jun 2012, walaupun Barisan Nasional telah mengumumkan pelaburan sebanyak RM112 bilion di Koridor Pembangunan Sabah (SDC), jumlah sebenar yang masuk dan diterjemahkan hanyalah RM12 bilion.




KONSESI DAN HEROTAN DALAM EKONOMI

56.             Kewujudan konsesi dan perjanjian yang berat sebelah menindas rakyat yang terpaksa menanggung kos berganda.

57.             Mulanya, rakyat terpaksa menanggung kos sara hidup yang melambung kerana konsesi-konsesi ini berbentuk monopoli dan mengherot harga sebenar di dalam pasaran.

58.             Kemudian, rakyat juga terpaksa menanggung kos yang dibayar kerajaan yang memberi pelbagai bantuan kepada konsesi yang dianugerahkan kepada kroni dan golongan mahakaya ini, termasuklah pampasan, subsidi korporat dan lain-lain.

AGIHAN EKONOMI YANG TIDAK SEKATA DI ANTARA NEGERI DAN KUMPULAN MASYARAKAT

59.             Sabah dan Sarawak masih terus dipinggirkan. Kemudahan dan jaringan infrastruktur di Sabah dan Sarawak adalah ketinggalan berbanding di Semenanjung yang akhirnya membantutkan pertumbuhan ekonomi.
60.             Akhirnya, mutu dan keberkesanan sesebuah belanjawan atau kebijakan ekonomi yang dibawa dinilai dari aspek keupayaannya menangani dan menyelesaikan masalah struktur ekonomi yang digariskan.

61.             Belanjawan 2013 yang diumumkan minggu lepas mengelak dari menyentuh persoalan-persoalan pokok sebegini dan dipenuhi dengan retorik dan pengumuman politik.

                                                TAMAT

TERKINI

Akibat Durian Dijual Guna Timbang Kilogram, Generasi Muda Dan Masa Hadapan Hilang Minat Makan?

Disusun Oleh : Mohd Ezli Mashut Imej Janaan AI Oleh : Mohd Ezli Mashut =========================================== HARGA TAK MASUK AKAL. Ad...