Ringkasan Bajet Pakatan Rakyat 2014: Fokus Dato’ Seri Anwar
Ibrahim
Parlimen, 21/10/2013
A. Ramalan Ekonomi Global
1.
Ekonomi global pada 2014 diramalkan akan meningkat berbanding
2013. Ramalan IMF (4.0% vs 3.3%),
World Bank (3.0% vs 2.2%) dan OECD (4.0% vs 3.1%).
2.
Namun begitu, realiti ekonomi global yang agak rapuh dan
tidak menentu pada ketika ini (seperti yang akan dinyatakan di bawah) boleh
membawa risiko untuk ramalan di atas
diubah kepada kadar yang lebih rendah;
i.
Ketidaktentuan dalam penyelesaian permasalahan hutang Negara
Amerika Syarikat (debt ceiling,
quantitative easing)
ii.
Kemelesetan ekonomi dan kadar pengangguran yang tinggi di
Eropah yang berterusan disebabkan oleh langkah-langkah penjimatan (austerity measures)
iii.
Prestasi ekonomi China yang kurang memberangsangkan serta
kelembapan pemulihan ekonomi India
3.
Pakatan Rakyat meramalkan pertumbuhan ekonomi Malaysia untuk
tahun 2014 pada kadar 5.2%
(berbanding 2013 pada kadar 4.5% hingga
5%), berdasarkan kepada ramalan peningkatan ekonomi global.
B. Anggaran Defisit
1.
Pakatan Rakyat menganggarkan defisit Negara untuk 2014 pada RM
34 billion bersamaan kadar 3.2% GDP (Keluaran Dalam Negara Kasar).
Aggaran ini dibuat berdasarkan:
i.
Anggaran pendapatan
Negara sebanyak RM 228 billion
ii.
Anggaran perbelanjaan
Negara sebanyak RM 262 billion
dimana pengurangan sebanyak 10% pada perbelanjaan operasi (OPEX) tidak termasuk
emolumen
iii.
Anggaran KDNK
sebanyak RM 1,055 billion
berdasarkan unjuran pertumbuhan sebanyak 5.2%
untuk 2014
2.
Sejak Pakatan Rakyat menyediakan Belanjawan alternatif, anggaran
defisit PR adalah selalunya lebih rendah daripada BN.Defisit sebenar kerajaan
BN adalah dianggarkan lebih tinggi dari 3.2% (dianggarkan sebanyak 3.8% hingga
4%) disebabkan kegagalan mereka menangani rasuah dan ketirisan
C. Teras Belanjawan Pakatan Rakyat (PR)
Belanjawan PR kali ini dirangka
berdasarkan kepada 3 teras utama:
1.
Pengukuhan Kedudukan Fiskal Negara dan Pemerkasaan Kewangan
Awam
2.
Pembangunan Ekonomi yang Seimbang, Inklusif dan Mampan
3.
Peningkatan Kesejahteraan dan Kualiti Hidup Rakyat
C1. Teras 1: Pengukuhan Kedudukan Fiskal Negara dan Pemerkasaan
Kewangan Awam
Pengukuhan kedudukan
fiskal Negara adalah amat penting dalam memastikan kesinambungan kedudukan
kredit Negara yang kini dihadapi kemungkinan penurunan taraf (sovereign downgrade) akibat penambahan
defisit dan hutang negara yang membarah semenjak 2009.
Bajet alternatif 2014 PR
adalah suatu usaha untuk memperkenalkan reformasi fiskal yang akan memastikan
pencapaian defisit bajet pada kadar 3% GDP pada 2015 dan seterusnya mencapai
lebihan bajet (budget surplus)
selewat 2018. Reformasi fiskal ini dijangka akan membolehkan Malaysia:
1.
Keluar dari kemelut hutang yang kini melebihi RM 500 billion
dan kos pembayaran hutang yang melebihi RM 20 billion setahun
2.
Menjamin ekonomi yang berdaya tahan dan anjal dalam
menghadapi persekitaran ekonomi global yang semakin mencabar dan tidak menentu
3.
Beralih dari pertumbuhan ekonomi yang berasaskan pinjaman
kepada pertumbuhan ekonomi yang dijanakan oleh aktiviti perbelanjaan kerajaan
A. Bagi menjamin PERBELANJAAN kerajaan yang lebih efisyen
dan teratur, PR akan:
1.
Melancarkan program rasionalisasi kos untuk setiap
kementerian dan jabatan kerajaan untuk mencapai pengurangan perbelanjaan
operasi sebanyak 10%. Ini akan
dicapai melalui;
i.
Penangguhan sementara kenaikan elaun menteri kabinet dan
ketua-ketua jabatan kerajaan
ii.
Pengkajian semula polisi perbelanjaan kerajaan terutama
sekali dalam pemberian kontrak dan prokumen peralatan
iii.
Memperkemaskan mekanisma subsidi sasaran (targetted subsidy) dan juga pengawalan
barangan subsidi seperti diesel, petrol, gula dan tepung bagi mengelakkan
salahguna subsidi
2.
Mengkaji semula keutamaan perbelanjaan (spending priority) dengan mengurangkan atau menghapuskan perbelanjaan
program-program yang tidak berkesan dan kurang kepentingan sebagai contoh;
i.
Program Khidmat Negara yang dilihat gagal mencapai objektif
memupuk kesatuan kaum dan jatidiri di kalangan pelatih-pelatih. Program ini
menelan belanja tahunan RM 800 juta yang lebih besar dari perbelanjaan
Kementerian Belia dan Sukan (~RM 700 juta) yang juga mempunyai matlamat yang
sama. Program ini juga telah menyebabkan sebanyak 22 kematian semenjak
penubuhannya dan sebilangan kes pelatih hamil yang bersalin sewaktu di dalam
progam, disebabkan perancangan dan perlaksanaan program yang tidak baik.
Program ini patut ditangguhkan sehingga satu kajian menyeluruh dibuat oleh Parliamentary Select Committee (PSC)
3.
Mengambil tindakan tegas terhadap kesemua kementerian yang
terlibat dengan sebarang salahlaku dan pembaziran seperti yang dilaporkan dalam
Laporan Tahunan Ketua Audit Negara. PR menganggarkan sekurang-kurangnya RM 20 hingga 30 billion boleh
dijimatkan sekiranya kesemua pembaziran dan penyelewengan yang dilaporkan dihentikan.
Antara contoh pembaziran besar yang dilaporkan adalah;
i.
RM 2.051 bilion dibelanjakan dari 2010 ke
2012 dari jumlah RM 3.689 bilion peruntukan kepada Kementerian Pelajaran
Malaysia untuk membayar pengawal tidak bersenjata bagi mengawal sekolah-sekolah
dan institusi-institusi pengajian. Walaupun ia berniat baik, namun ketiadaan
sistem pemantauan telah mengakibatkan pengawal yang berumur dan tidak disahkan
latar belakang, dan juga CCTV yang tidak berfungsi untuk diguna bagi memastikan
keselamatan anak-anak kita di sekolah. Pembaziran dianggarkan sebanyak RM 1.6illion
ii.
Pengurusan projek Mansuh oleh Kementerian Kerja Raya. Dari
2010 hingga 2012, projek mansuh sebanyak 83 projek dianggarkan berjumlah RM 2.2
billion. Kerugian dianggarkan sebanyak RM
1.1 billion atau 50% daripada nilai asal disebabkan oleh kelemahan
pemantauan projek dan kegagalan menuntut balik bayaran daripada kontraktor
iii.
Kementerian Pengangkutan telah membelanjakan hampir RM 1.42 bilion dari jumlah peruntukan
RM 1.47 bilion untuk menambahbaik Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Walaupun lebih
96% peruntukan telah digunapakai, namun projek yang dimulakan pada tahun 1996
ini masih belum siap: balai ketibaan dan bilik air-bilik air didapati tidak
memuaskan, dan 599 lubang telah dijumpai di landasan kapal terbang yang belum
dibaiki sejak 2010. Anggaran kerugian yang dilaporkan setakat ini adalah
sekitar RM 120 juta. Kemungkinan
besar projek ini akan menelan belanja yang lebih besar untuk disiapkan.
B. Bagi
menjana PENDAPATAN kerajaan yang lebih
saksama dan adil, PR akan:
1.
Menangguhkan implementasi GST (yang dilihat akan lebih
membebankan golongan berpendapatan rendah dan sederhana) sehingga:
i.
Pendapatan minima isirumah mencapai suatu tahap yang dikira
sesuai untuk menyerap sebarang kesan terhadap kuasa beli akibat GS
ii.
Pelebaran ‘band’
cukai pendapatan terutamanya golongan menengah untuk mengelakkan kemasukan mereka
ke ‘band’ cukai yang lebih tinggi
dalam tempoh yang singkat. Lebih banyak perelepasan cukai juga harus diberikan
kepada golongan menengah
iii.
Kajian menyeluruh mengenai trade-off cukai korporat/peribadi dengan GST dilakukan dan
diperjelaskan kepada rakyat untuk mengelakkan rakyat dibebani dengan
pertambahan cukai akibat GST sekiranya cukai korporat/peribadi dikekalkan pada
kadar yang sama
2.
Memperkenalkan sistem cukai yang lebih saksama;
i.
Mengembalikan cukai RPGT (real property gains tax) pada tahap
sebelum 2007, iaitu cukai berperingkat pada kadar 30% bagi tahun pertama,
sehingga cukai terendah 5% bagi perjualan pada tahun kelima. Ini bertujuan
untuk mengekang kegiatan spekulasi hartanah yang berlebihan
D. Aspek-aspek lain bajet PR 2014
1. PR percaya bahawa
peningkatan penyambungan (connectivity)
samada dari segi perhubungan seperti Internet, mahupun perhubungan fisikal
seperti lebuhraya adalah amat perlu untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang
lebih seimbang, mampan dan inklusif. Untuk mencapai keseimbangan dari segi
pembangunan rakyat luar bandar/bandar, Sabah & Sarawak;
i.
Lebuhraya Pan-Borneo yang menyambungkan bandar-bandar di
Sabah & Sarawak akan di naiktaraf dan pembinaannya akan disegerakan seawal
2014. Lokasi-lokasi kemalangan akan dikenalpasti untuk diperbaiki dan
penyelengaraan yang berkala juga akan dilakukan.
ii.
Pengkajian semula polisi kabotaj untuk Sabah dan Sarawak.
Polisi yang lebih baik akan berupaya untuk menurunkan harga kargo dan
barang-barang yang masuk/ keluar dari Sabah dan Sarawak, seterusnya menyumbang
pada pertumbuhan ekonomi
iii.
Penjurusan kepada perbekalan air dan elektrik 100% untuk
kawasan luar bandar & bandar terutamanya Sabah & Sarawak. Ini akan
memastikan bekalan air bersih dan elektrik menerusi penggunaan teknoloji solar, windfarms dan microhydro
2.
PR amat menghargai sumbangan wanita untuk pembangunan
Negara. Kaum wanita akan diberikan
insentif berikut untuk menggalakkan mereka untuk terus menyumbang kepada ekonomi
Negara:
3.
i.
Peruntukan sebanyak RM
1,200 setahun bagi setiap ibu bekerja untuk membiayai caj perkhidmatan
penjagaan kanak-kanak di bawah 12 tahun
ii.
Peruntukan sebanyak RM
3 billion setahun kepada Skim
Caruman Wanita Nasional (SCWN), iaitu suatu bentuk jaringan keselamatan
sosial komprehensif bagi isteri terutamanya suri-suri rumah. Kerajaan PR akan
menyumbang RM600 setahun tanpa
mengira tahap sumbangan suami (suami mencarum bagi pihak isteri pada kadar
minimum RM 120 hingga RM1,200 setahun) dan SCWN ini boleh dikeluarkan apabila
berlaku kematian pasangan, perceraian, hilang upaya kekal dan hilang kekal
pendapatan
iii.
Mengekalkan polisi untuk meningkatkan pimpinan wanita hingga
pada tahap sekurang-kurangnya 30% pada
tahun 2017. Pimpinan wanita di Parlimen,
pengurusan korporat dan kepimpinan nasional dalam sektor awam dan swasta akan menjadi
tumpuan utama.
Dato’ Seri Anwar Ibrahim
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia
Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat
21 Oktober 2013