PENERBANGAN | Malaysia Airlines Berhad (MAB) bersedia untuk memudahkan perjalanan penumpang yang sudah divaksin sepenuhnya untuk bersatu semula dengan orang yang tersayang dengan harga serendah RM89 untuk kelas ekonomi dalam destinasi domestik.
Promosi itu akan dibuka untuk tempahan bermula 10 Ogos hingga 30 September ini dan sah untuk perjalanan sehingga 30 Oktober 2021.
Ketua Pegawai Eksekutif MAB dalam kenyataan media pada 11 Ogos 2021/Rabu berkata, pandemik Covid-19 merampas kegembiraan orang di seluruh dunia dalam melakukan perjalanan jauh .
“Malaysia Airlines bersedia dan gembira dapat memainkan peranan kami dalam menghubungkan pelanggan bersama orang yang tersayang setelah lama terpisah berikutan sekatan perjalanan yang dilaksanakan di seluruh negara.
“Penerbangan terbaharu itu menggambarkan peranan penting syarikat penerbangan nasional dalam menyediakan perjalanan udara yang diperlukan sepanjang pandemik Covid-19,” kata Izham Ismail.
Beliau berkata sebagai syarikat penerbangan yang prihatin, pihaknya tetap komited untuk memastikan perjalanan yang lebih selamat dan lancar bagi pelanggan dengan mematuhi standard keselamatan dan kebersihan tertinggi.
Pihaknya percaya menjalankan operasi penerbangan dengan krew dan petugas barisan hadapan yang divaksin sepenuhnya juga amat penting untuk meyakinkan penumpang.
Menurut Izham, Malaysia Airlines mengalu-alukan kedatangan pelanggan memandangkan syarikat penerbangan itu meningkatkan protokol kesihatan dan keselamatan di pelbagai titik sentuhan lapangan terbang itu bagi memastikan keselamatan pelanggan dan pekerja dilindungi.
Langkah itu termasuk wajib pemakaian pelitup muka, kerap pembasmian kuman dalam pesawat, dan menambah baik penapis HEPA untuk penapisan yang lebih baik sekaligus memastikan kitaran udara yang efisien.
Penumpang juga akan menerima alat kebersihan percuma yang disertakan dengan pelitup muka, pembersih tangan dan tisu yang dibungkus dalam beg kecil.
Selain itu, penumpang juga dapat menikmati kelebihan Economy Lite Fares yang disertakan dengan elaun bagasi kabin sebanyak 7 kilogram (kg), makanan dan minuman ringan percuma, hiburan dalam penerbangan selain memperoleh Enrich Miles untuk setiap tempahan perjalanan yang dilakukan.
Setakat ini, sebanyak 93 peratus juruterbang dan kru MAB telah menerima vaksin.
Bersama-sama dengan syarikat induknya, Malaysian Aviation Group Bhd. (MAG), mereka menjangka untuk mencapai 100 peratus pekerjanya divaksin sepenuhnya pada pertengahan Ogos tahun ini berikutan penyertaan syarikat itu dalam Pusat Pemberian Vaksinasi Industri (PPIN) bermula Julai lalu.