Gelombang Haba Ragut 19 Nyawa di Kanada

Foto Sumber: clinicauandes.cl


MONTREAL: Fenomena gelombang haba di Quebec menyebabkan sekurang-kurangnya 19 maut sejak seminggu lalu ketika cuaca panas melampau melanda timur Kanada, kata pihak berkuasa kesihatan, pada 4 JULAI.

Seramai 12 yang maut dilaporkan di wilayah timur di sini, kata pengarah kesihatan awam serantau, Mylene Drouin.

Akhbar The Tribune berkata, lima daripada kematian itu berlaku sejak 48 jam lalu di Perbandaran Timur, kawasan luar bandar terletak di timur bandar ini.

Lewat semalam, dua lagi kematian dipersalahkan kerana cuaca panas melampau direkodkan di pinggir bandar ini, lapor Radio Canada.

"Doa dan ingatan saya bersama insan tersayang yang maut di Quebec ketika situasi gelombang haba pada masa ini. Suhu rekod dijangka berterusan di tengah dan timur Kanada, justeru pastikan anda tahu bagaimana melindungi diri dan keluarga," kata Perdana Menteri Justin Trudeau di Twitter.

Drouin berkata, mangsa adalah sebahagian 'penduduk amat terdedah iaitu golongan tua dan mereka yang mengalami penyakit kronik dan mental.'

Perkhidmatan kaji cuaca berkata, suhu meningkat kepada 34 darjah Celsius dengan kelembapan yang menjadikannya menghampiri 40 darjah Celsius.

Amaran cuaca panas kerajaan sudah dikeluarkan untuk rantau itu, namun pakar meteorologi meramalkan penurunan suhu pada hujung minggu.

Tiada kematidan dilaporkan bagi tempoh sama di wilayah berjiran Ontario, yang turut mengalami cuaca panas membahang ketika suhu tinggi.

Fenomena gelombang panas pada 2010 mengorbankan kira-kira 100 orang di kawasan ini. 

SUMBER: AFP

Gempar Penemuan Ikan Yu Paus 3 Tan


Foto Sumber: KOSMO!

BERITA TERGEMPAR: MUKAH - Penduduk di Kampung Penipah di sini gempar dengan penemuan seekor ikan yu seberat kira-kira 3 tan di perairan Kuala Penipah dekat sini, 5 JULAI 2018 (KHAMIS).

Mamalia sepanjang kira-kira lima meter itu dipercayai tersangkut pada pukat kira-kira pukul 8.30 pagi, lapor KOSMO!.

Menurut sumber, ikan yu paus tersebut kemudian ditunda ke darat oleh nelayan tempatan.

"Nelayan tempatan mengambil masa kira-kira dua jam untuk menunda ikan yu paus dipercayai spesis 'Rhincodon Typus' itu.

"Setakat ini, pihak berkuasa sudah dimaklumkan mengenai penemuan ikan yu tersebut," katanya.

SUMBER: KOSMO!

AirAsia Lancar Pasaran Digital OURSHOP

Foto Sumber: OURSHOP


INFO TRAVEL & PENERBANGAN: KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan kos rendah terkemuka di Asia, AirAsia, melancarkan pasaran digital baharu, 'OURSHOP', dengan rakan kongsi lapangan terbang rasmi pertama Plaza Bali Bebas Cukai, Jakarta.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Tony Fernandes berkata, platform digital itu akan menghubungkan 80 juta tetamu AirAsia, yang diunjur untuk tahun ini, kepada pelbagai lapangan terbang serta peruncit pakar tempatan dengan harga kompetitif.

Beliau juga berkata, OURSHOP menawarkan pengalaman membeli-belah yang mudah dengan urus niaga tanpa tunai dan pelbagai pilihan penghantaran dari lapangan terbang serta penghantaran ke rumah, semuanya akan dilancarkan secara berperingkat-peringkat.

"Apa yang lazimnya menjadi pengalaman membeli-belah selama 20 minit ketika pelancong bergegas ke pintu masuk untuk menaiki pesawat, kini menjadi 365 hari kepuasan untuk beli-belah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pengguna boleh mendapat dan menebus mata kesetiaan AirAsia Big setiap kali mereka membeli-belah di OURSHOP yang boleh diguna untuk berurus niaga di semua platform AirAsia.

Semakin jauh mengembara dan semakin banyak barangan yang dibeli, lebih banyak mata yang akan diperoleh dan dengan itu mencipta kitaran nilai.

Pelanggan juga akan mempunyai pilihan untuk membeli-belah dengan BigPay yang membolehkan mereka membeli-belah merentasi pelbagai mata wang tanpa kerugian pertukaran asing dan yuran kad kredit yang mahal.

Sementara itu, jentera pemasaran AirAsia yang mempunyai banyak sentuhan pengguna sepanjang perjalanan, termasuk tempahan dalam talian, media sosial, daftar masuk, pintu masuk, Wi-Fi di dalam pesawat dan ketibaan akan memberikan pendedahan yang lebih besar dan kelebihan daya saing. 

SUMBER: BERNAMA

Firefly Beroperasi Dari Lapangan Terbang Seletar Akhir 2018

Foto Sumber: FMT

INFO TRAVEL & PENERBANGAN: KUALA LUMPUR: Firefly Airlines akan memindahkan operasinya ke Lapangan Terbang Seletar apabila terminal baharu mula beroperasi pada penghujung 2018.

Anak syarikat Malaysia Airlines itu kini mengendalikan 20 pesawat turboprop setiap hari - ke dan dari Subang, Ipoh dan Kuantan - di Lapangan Terbang Changi.

Terminal penumpang baharu Lapangan Terbang Seletar telah menerima Permit Penempatan Sementara dan persediaan adalah mengikut rancangan untuk terminal itu memulakan operasi menjelang akhir tahun ini.

Pengurus Besar Bersekutu Lapangan Terbang Seletar, Khoh Su Lim berkata terminal penumpang baharu itu membolehkan lapangan terbang berkenaan menguruskan pertumbuhan aktiviti penerbangan yang dijangkakan pada masa depan.

"Kami bersedia untuk memberi pengalaman baharu, dari segi keselesaan dan kemudahan, kepada para penumpang apabila terminal baharu itu mula beroperasi," katanya dalam kenyataan di sini.

Bangunan terminal baharu itu, yang diuruskan oleh Changi Airport Group, mempunyai keluasan lantai 10,000 meter persegi - lebih enam kali ganda daripada terminal sedia ada.

Ia dibina dan dilengkapkan dengan kos kira-kira S$80 juta (S$1=RM2.95) untuk mengendalikan 700,000 pergerakan penumpang setahun, dengan jangkaan pertumbuhan trafik penumpang pada tahun-tahun akan datang.

Terminal penumpang baharu itu menampilkan kawasan pelepasan dan ketibaan lebih luas yang direka bentuk bagi menguruskan pesawat komersial berjadual.

Kawasan pelepasan akan mempunyai empat kaunter daftar masuk, enam laluan imigresen, dua stesen imbasan keselamatan dan ruang menunggu di pintu pelepasan lebih luas yang boleh memuatkan kira-kira 200 penumpang secara selesa.

Kaunter daftar masuk, imigresen dan imbasan keselamatan ditempatkan di laluan lurus melalui balai pelepasan, membolehkan proses menaiki kapal terbang dijalankan lebih cepat dan tanpa tekanan untuk penumpang.

Reka bentuk dalaman dicipta supaya ia mewujudkan perasaan santai dan selesa para penumpang.

Terminal baharu itu juga akan mempunyai bahagian perjalanan penumpang bagi pesawat perniagaan disewa dan jet peribadi dengan ruang menunggu khas.

Bagi kawasan 'airside' - kawasan lapangan terbang yang berada dalam semakan dan kawalan keselamatan, kastam dan pasport - penumpang akan dapat menaiki kapal terbang mereka secara lebih mudah dengan tiga parkir pesawat berada di sebelah terminal.

Ini membolehkan akses penumpang kepada pesawat menjadi lebih cepat dan cekap sekali gus mendorong peningkatan kecekapan operasi selain tempoh yang diambil bagi pesawat beralih dari satu penerangan ke penerbangan seterusnya juga lebih pendek.

Langkah ini memastikan pengoptimuman sumber dalam sistem penerbangan keseluruhan Singapura memandangkan pergerakan pesawat di Changi semakin bertambah.

SUMBER: BERNAMA

TERKINI

Akibat Durian Dijual Guna Timbang Kilogram, Generasi Muda Dan Masa Hadapan Hilang Minat Makan?

Disusun Oleh : Mohd Ezli Mashut Imej Janaan AI Oleh : Mohd Ezli Mashut =========================================== HARGA TAK MASUK AKAL. Ad...