Foto Sumber: FMT |
INFO TRAVEL & PENERBANGAN: KUALA LUMPUR: Firefly Airlines akan memindahkan operasinya ke Lapangan Terbang Seletar apabila terminal baharu mula beroperasi pada penghujung 2018.
Anak syarikat Malaysia Airlines itu kini mengendalikan 20 pesawat turboprop setiap hari - ke dan dari Subang, Ipoh dan Kuantan - di Lapangan Terbang Changi.
Terminal penumpang baharu Lapangan Terbang Seletar telah menerima Permit Penempatan Sementara dan persediaan adalah mengikut rancangan untuk terminal itu memulakan operasi menjelang akhir tahun ini.
Pengurus Besar Bersekutu Lapangan Terbang Seletar, Khoh Su Lim berkata terminal penumpang baharu itu membolehkan lapangan terbang berkenaan menguruskan pertumbuhan aktiviti penerbangan yang dijangkakan pada masa depan.
"Kami bersedia untuk memberi pengalaman baharu, dari segi keselesaan dan kemudahan, kepada para penumpang apabila terminal baharu itu mula beroperasi," katanya dalam kenyataan di sini.
Bangunan terminal baharu itu, yang diuruskan oleh Changi Airport Group, mempunyai keluasan lantai 10,000 meter persegi - lebih enam kali ganda daripada terminal sedia ada.
Ia dibina dan dilengkapkan dengan kos kira-kira S$80 juta (S$1=RM2.95) untuk mengendalikan 700,000 pergerakan penumpang setahun, dengan jangkaan pertumbuhan trafik penumpang pada tahun-tahun akan datang.
Terminal penumpang baharu itu menampilkan kawasan pelepasan dan ketibaan lebih luas yang direka bentuk bagi menguruskan pesawat komersial berjadual.
Kawasan pelepasan akan mempunyai empat kaunter daftar masuk, enam laluan imigresen, dua stesen imbasan keselamatan dan ruang menunggu di pintu pelepasan lebih luas yang boleh memuatkan kira-kira 200 penumpang secara selesa.
Kaunter daftar masuk, imigresen dan imbasan keselamatan ditempatkan di laluan lurus melalui balai pelepasan, membolehkan proses menaiki kapal terbang dijalankan lebih cepat dan tanpa tekanan untuk penumpang.
Reka bentuk dalaman dicipta supaya ia mewujudkan perasaan santai dan selesa para penumpang.
Terminal baharu itu juga akan mempunyai bahagian perjalanan penumpang bagi pesawat perniagaan disewa dan jet peribadi dengan ruang menunggu khas.
Bagi kawasan 'airside' - kawasan lapangan terbang yang berada dalam semakan dan kawalan keselamatan, kastam dan pasport - penumpang akan dapat menaiki kapal terbang mereka secara lebih mudah dengan tiga parkir pesawat berada di sebelah terminal.
Ini membolehkan akses penumpang kepada pesawat menjadi lebih cepat dan cekap sekali gus mendorong peningkatan kecekapan operasi selain tempoh yang diambil bagi pesawat beralih dari satu penerangan ke penerbangan seterusnya juga lebih pendek.
Langkah ini memastikan pengoptimuman sumber dalam sistem penerbangan keseluruhan Singapura memandangkan pergerakan pesawat di Changi semakin bertambah.
SUMBER: BERNAMA