AirAsia Lancar Pasaran Digital OURSHOP

Foto Sumber: OURSHOP


INFO TRAVEL & PENERBANGAN: KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan kos rendah terkemuka di Asia, AirAsia, melancarkan pasaran digital baharu, 'OURSHOP', dengan rakan kongsi lapangan terbang rasmi pertama Plaza Bali Bebas Cukai, Jakarta.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Tony Fernandes berkata, platform digital itu akan menghubungkan 80 juta tetamu AirAsia, yang diunjur untuk tahun ini, kepada pelbagai lapangan terbang serta peruncit pakar tempatan dengan harga kompetitif.

Beliau juga berkata, OURSHOP menawarkan pengalaman membeli-belah yang mudah dengan urus niaga tanpa tunai dan pelbagai pilihan penghantaran dari lapangan terbang serta penghantaran ke rumah, semuanya akan dilancarkan secara berperingkat-peringkat.

"Apa yang lazimnya menjadi pengalaman membeli-belah selama 20 minit ketika pelancong bergegas ke pintu masuk untuk menaiki pesawat, kini menjadi 365 hari kepuasan untuk beli-belah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pengguna boleh mendapat dan menebus mata kesetiaan AirAsia Big setiap kali mereka membeli-belah di OURSHOP yang boleh diguna untuk berurus niaga di semua platform AirAsia.

Semakin jauh mengembara dan semakin banyak barangan yang dibeli, lebih banyak mata yang akan diperoleh dan dengan itu mencipta kitaran nilai.

Pelanggan juga akan mempunyai pilihan untuk membeli-belah dengan BigPay yang membolehkan mereka membeli-belah merentasi pelbagai mata wang tanpa kerugian pertukaran asing dan yuran kad kredit yang mahal.

Sementara itu, jentera pemasaran AirAsia yang mempunyai banyak sentuhan pengguna sepanjang perjalanan, termasuk tempahan dalam talian, media sosial, daftar masuk, pintu masuk, Wi-Fi di dalam pesawat dan ketibaan akan memberikan pendedahan yang lebih besar dan kelebihan daya saing. 

SUMBER: BERNAMA

TERKINI

AirAsia lancar promosi Tempat Duduk PERCUMA* dan jualan hebat ke lebih 130 destinasi

AirAsia melancarkan promosi  dan jualan hebat pertama pada tahun 2024 dengan jutaan tempat duduk ke lebih 130 destinasi. Syarikat itu dalam ...