Ledakan Beirut: Kapal Kargo MV Rhosus, Kilang Bunga Api, Ammonium Nitrat Punca Segalanya?



OLEH: MOHD EZLI MASHUT
Penganalisis Isu Antarabangsa

DAHSYAT. Seumpama ledakan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki. Impak gelombang letusan kedua itu menyebabkan hampir 300,000 kehilangan tempat tinggal dalam sekelip mata.

Apa yang punca awal yang memulakan kebakaran di pelabuhan Beirut itu masih belum jelas. Beirut cerah sebelum letupan Selasa, dengan suhu harian 30 darjah Celsius (86 darjah Fahrenheit).

Ahli seismologi mengatakan letupan berbentuk cendawan itu dianggap sama dengan gempa berskala 3.3 dan dirasakan jauh seperti Cyprus, sekitar 240 kilometer ke barat laut.

Detik masa 4 Ogos 2020 pada 6 petang waktu tempatan kekal jadi ingatan ngeri penduduk Lubnan. Gabenor Beirut, Marwan Abboud berkata kerugian akibat letupan itu dianggarkan antara AS$10 bilion hingga AS$15 bilion (RM41.9 hingga RM62.9 bilion).

Kabinet Lubnan mengisytiharkan keadaan darurat selama dua minggu di ibu negara dan menyerahkan kawalan keselamatan di kota itu kepada tentera.

Letupan itu menghasilkan kawah seluas 200 meter yang dipenuhi air laut. Di sekitarnya, kapal persiaran terbalik di dalam air.

Sebahagian besar kawasan pusat bandar Beirut dipenuhi dengan kereta musnah dan terbalik serta serpihan yang bertaburan, manakala tingkap kelihatan pecah dan bumbungnya rosak.

Tragedi itu seumpama gambaran waktu bom atom yang mengandungi uranium "Little Boy" dijatuhkan oleh pengebom AS meletup di Hiroshima pada 6 Ogos 1945  yang mengorbankan sekitar 140,000 orang sehingga akhir tahun 1945.

Tumpuan kini adalah mencari dalang kepada tragedi ini apabila penyiasat di Lubnan memfokuskan kepada kemungkinan kecuaian dalam penyimpanan beribu tan baja yang sangat mudah meletup di gudang tepi laut, manakala kerajaan memerintahkan penahanan rumah terhadap beberapa pegawai pelabuhan.




Teori Ammonium Nitrat Punca Ledakan

Persoalan utama adalah daripada mana bahan itu berada di pelabuhan Beirut. 

MV Rhosus adalah kapal kargo yang sebelumnya dimiliki oleh pengusaha Rusia Igor Grechushkin yang ditinggalkan di Beirut, Lebanon, setelah kapal itu dinyatakan tidak layak dan penyewa kehilangan minat terhadap kargo tersebut.


Pada 23 September 2013, Rhosus berlayar dari Batumi, Georgia, ke Beira, Mozambique, membawa 2,750 tan ammonium nitrat. Pada Oktober, kapal itu terpaksa dibawa ke Beirut dengan masalah enjin. Setelah diperiksa oleh kawalan negara pelabuhan, Rhosus didapati tidak layak, dan dilarang berlayar.



Disebabkan masalah hutang dan perundangan oleh pemiliknya, seorang warga Russia, kapal MV Rhosus serta anak kapalnya telah ditahan dan dilarang meninggalkan Beirut.

Kargo berbahaya dibawa ke darat pada tahun 2014 dan ditempatkan di sebuah bangunan, Hangar 12, di pelabuhan, berdasarkan perintah mahkamah.


Pihak berkuasa Lubnan belum menamakan MV Rhosus sebagai sumber bahan yang akhirnya meletup di Beirut tetapi Perdana Menteri Hassan Diab mengatakan letupan dahsyat itu disebabkan oleh 2,750 tan ammonium nitrat. 

Beliau menambahkan bahawa bahan itu disimpan selama enam tahun di gudang pelabuhan tanpa langkah keselamatan, "membahayakan keselamatan warga."



Dunia Perlu Belajar, Ambil Iktibar

Dunia antarabangsa perlu mengorak langkah dan memastikan tragedi disebabkan pengendalian bahan berbahaya tidak berulang. Tatacara operasi piawai (SOP) perlu diperbaiki dan langkah keselamatan dipertingkat. Pastikan bahan berbahaya ini tidak jatuh kepada pihak pengganas disamping langkah proaktif diambil semua pihak.

Jika kejadian letupan itu didakwa berpunca daripada satu percikan api daripada seorang pengimpal sehingga menyebabkan gudang menyimpan bunga api di Pelabuhan Beirut itu terbakar mungkin boleh dielakkan jika langkah keselamatan tambahan diberi perhatian.

Pada 12 Ogos 2015, satu siri letupan membunuh lebih 173 orang dan mencederakan ratusan yang lain di sebuah stesen penyimpanan kontena di Pelabuhan Tianjin. Dua letupan pertama berlaku dalam masa 30 saat antara satu sama lain di kemudahan itu, yang terletak di Kawasan Baru Binhai Tianjin, China. Letupan kedua adalah jauh lebih besar dan melibatkan letupan kira-kira 800 tan amonium nitrat.

Kebakaran yang disebabkan oleh letupan awal terus membakar tidak terkawal sepanjang hujung minggu, berkali-kali menyebabkan letupan menengah, dengan lapan letupan tambahan yang berlaku pada 15 Ogos.

Tragedi Beirut: Bantuan Antarabangsa Bantu Mangsa

Pelbagai negara mula menghantar pasukan perubatan dan pakar penyelamat bagi membantu Lubnan yang terjejas teruk akibat insiden letupan semalam. Selain itu, ada negara menghantar anjing pengesan dan membuka hospital sementara bagi merawat mangsa.

AFP melaporkan negara Teluk menjadi yang terawal dalam menghulurkan bantuan dengan Qatar menghantar hospital bergerak. Ia memandangkan Lubnan seperti negara lain, juga masih berdepan dengan penularan pandemik COVID-19.

Tentera Udara Qatar menghantar ribuan tilam, jana kuasa dan selimut khas untuk mangsa yang melecur dalam konvoi pertamanya ke Beirut. Kuwait pula menghantar bekalan ubatan kepada Palang Merah Lubnan.

Tentera Greece pula menghantar pasukan penyelamat yang mendarat dengan pesawat tentera C-130 di lapangan terbang di sini.

Dalam pada itu, Perancis menghantar pasukan mencari dan menyelamat, klinik bergerak dan kelengkapan perubatan dan pembersihan. Presiden Perancis Emmanuel Macron menjadi pemimpin dunia pertama yang melawat ibu negara Lubnan selepas tragedi berkenaan.

Dalam pada itu, Ratu Elizabeth II turut merakamkan ucapan takziah atas kejadian itu.

Amerika Syarikat menerusi Setiausaha Negaranya, Mike Pompeo pula sudah menghubungi Diab bagi menawarkan bantuan.

Cyprus yang terletak kira-kira 240 kilometer dari lokasi letupan dan turut merasai gegaran berkata, negara itu akan menghantar lapan anjing pengesan untuk mencari mangsa terperangkap.

Negara Eropah seperti Belanda, Republik Czech dan Poland pula menawarkan bantuan dari segi anggota perubatan, polis dan bomba serta anjing pengesan.

Itali pula sudah menghantar 14 bomba yang mempunyai kepakaran dalam penilaian kimia berisiko dan struktur runtuh.

Malah, Iran yang berdepan penularan COVID-19 turut bersedia menawarkan bantuan perubatan.

Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akan menghantar kit trauma dan pembedahan dari Dubai. 




Ammonia Nitrat 2,750 Tan Punca Letupan Beirut?

Foto Sumber; Shehab News Agency

BEIRUT: Letupan dahsyat petang 4 Ogos 2020 (Selasa) yang menggegarkan ibu kota ini dan mengakibatkan ribuan cedera, didakwa berpunca daripada 2,750 tan baja ammonia nitrat yang disimpan bertahun-tahun di kawasan gudang pelabuhan itu.

Agensi Berita AFP melaporkan Perdana Menteri Lubnan, Hassan Diab, berkata baja kimia untuk pertanian itu adalah punca letupan yang membawa malapetaka kepada penduduk ibu kota yang setakat ini (6 Ogos) sudah mengorbankan lebih 135 orang.

"Siasatan menyeluruh sedang dilakukan begitu juga mengesan individu yang bertanggungjawab.

"Mereka yang didapati bersalah sehingga terjadinya malapetaka ini akan menerima balasan," katanya.

Kementerian Kesihatan Lubnan melaporkan sehingga kini 73 penduduk terkorban, manakala 3,700 lagi cedera dalam insiden berkenaan.




Ketua Keselamatan Awamnya, Abbas Ibrahim pula berkata, bahan mudah meletup itu sudah dirampas beberapa tahun lalu dan disimpan di gudang berkenaan yang terletak berdekatan dengan lokasi tumpuan orang ramai bagi aktiviti membeli belah dan berhibur pada waktu malam.

Majlis Pertahanan Lubnan turut mengisytiharkan Beirut sebagai zon bencana dan turut merayu negara sekutunya untuk menghulurkan bantuan dalam menangani malapetaka itu.

Kebanyakan negara dunia merakamkan ucapan takziah termasuk negara Teluk manakala Amerika Syarikat (AS) turut menawarkan penghantaran bantuan.

Keadaan hospital di ibu kota itu yang sedang bergelut untuk merawat pesakit COVID-19 bertambah sesak dengan individu tercedera akibat letupan.

Tragedi itu turut memberi kesan kepada ekonomi negara itu yang sedia terjejas.

Ekonomi Lubnan bertambah buruk sejak beberapa bulan lalu akibat kejatuhan mata wang sehingga kebanyakan perniagaan terpaksa ditutup dengan kadar kemiskinan dan pengangguran terus meningkat. 

SUMBER: AFP/5 OGOS 2020

Apa itu ammonium nitrat?

Ammonium nitrat atau formulanya NH₄NO₃, dihasilkan dalam bentuk butir adalah baja paling banyak digunakan dunia.

Ianya juga bahan utama di dalam proses letupan untuk menggali mineral yang mana bahan ini dicampur dengan minyak dan dihidupkan dengan cas letupan.

Untuk industri ammonium nitrat menjadi satu letupan yang bahaya, ianya perlu melalui proses yang panjang dan banyak masalah perlu berlaku. Dan ini berlaku di Beirut.

Apa punca letupan itu?

Ammonium nitrat tidak akan terbakar dengan sendiri. Malah, ianya lebih adalah sumber oksigen yang akan mempercepatkan proses pembakaran bahan lain. Sebab itu, ianya sangat berfungsi di dalam perlombongan di mana kawasan yang kurang oksigen, dengan adanya Ammonium nitrate akan menghasilkan oksigen untuk proses pembakaran minyak dan bahan bakar lain.

Namun di suhu yang sangat tinggi, ammonium nitrat akan terurai dan menjadi nitrogen oksida dan wap air. Dan Gas inilah yang akan menyebabkan letupan.

Jadi kalau ada api marak berdekatan dengan bahan ini, ianya boleh menyebabkan letupan seperti yang juga berlaku di Tianjin China pada tahun 2015 yang telah mengorbankan 175 orang di sebuah kilang Ammonium nitrat.

Walaupun kita tidak tahu punca sebenar di Beirut, tetapi kita dapat lihat melalui video, letupan itu berlaku setelah beberapa ketika kebakaran berlaku.

Memang sukar sebenarnya Ammonium nitrat meletup disebabkan kebakaran. Kebakaran perlu berlaku dan kekal lama di tempat Ammonium nitrat disimpan.

Malah ianya tidak akan meletup dengan sendiri tanpa minyak melainkan ianya telah ada pencemaran silang akibat daripada penyimpanan stok yang tidak betul.

Ini dapat dibuktikan dengan amaran yang telah diberikan kepada pengilang 2700 Tan yang telah disimpan selama 6 tahun tanpa keselamatan yang baik.

Kesan kepada kesihatan?

Letupan ammonium nitrat akan menghasilkan nitrogen dioksida, gas berwarna merah dan baunya sangat busuk.

Gas ini selalunya berada di persekitaran yang tercemar dan selalu digunakan sebagai aras kualiti udara sesuatu kawasan/bandar.

Ianya dikhuatiri boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan seperti masalah paru-paru. Keadaan ini mungkin akan ada di sana selama beberapa hari.

Keadaan di Beirut mengajar kita untuk menyimpan baja dalam keadaan yang betul. Mari kita doakan semoga Beirut kembali pulih daripada musibah yang telah melanda.

Sumber: Public Health Malaysia/ 6 OGOS 2020

Perbandingan Antara Dua Letupan

- Tianjin : 800 tan ammnonium nitrat : 12 OGOS 2015

Pada 12 Ogos 2015, satu siri letupan membunuh lebih 173 orang dan mencederakan ratusan yang lain di sebuah stesen penyimpanan kontena di Pelabuhan Tianjin.

Dua letupan pertama berlaku dalam masa 30 saat antara satu sama lain di kemudahan itu, yang terletak di Kawasan Baru Binhai Tianjin, China.

Letupan kedua adalah jauh lebih besar dan melibatkan letupan kira-kira 800 tan amonium nitrat.

Kebakaran yang disebabkan oleh letupan awal terus membakar tidak terkawal sepanjang hujung minggu, berkali-kali menyebabkan letupan menengah, dengan lapan letupan tambahan yang berlaku pada 15 Ogos

TERKINI

Akibat Durian Dijual Guna Timbang Kilogram, Generasi Muda Dan Masa Hadapan Hilang Minat Makan?

Disusun Oleh : Mohd Ezli Mashut Imej Janaan AI Oleh : Mohd Ezli Mashut =========================================== HARGA TAK MASUK AKAL. Ad...