Ammonia Nitrat 2,750 Tan Punca Letupan Beirut?

Foto Sumber; Shehab News Agency

BEIRUT: Letupan dahsyat petang 4 Ogos 2020 (Selasa) yang menggegarkan ibu kota ini dan mengakibatkan ribuan cedera, didakwa berpunca daripada 2,750 tan baja ammonia nitrat yang disimpan bertahun-tahun di kawasan gudang pelabuhan itu.

Agensi Berita AFP melaporkan Perdana Menteri Lubnan, Hassan Diab, berkata baja kimia untuk pertanian itu adalah punca letupan yang membawa malapetaka kepada penduduk ibu kota yang setakat ini (6 Ogos) sudah mengorbankan lebih 135 orang.

"Siasatan menyeluruh sedang dilakukan begitu juga mengesan individu yang bertanggungjawab.

"Mereka yang didapati bersalah sehingga terjadinya malapetaka ini akan menerima balasan," katanya.

Kementerian Kesihatan Lubnan melaporkan sehingga kini 73 penduduk terkorban, manakala 3,700 lagi cedera dalam insiden berkenaan.




Ketua Keselamatan Awamnya, Abbas Ibrahim pula berkata, bahan mudah meletup itu sudah dirampas beberapa tahun lalu dan disimpan di gudang berkenaan yang terletak berdekatan dengan lokasi tumpuan orang ramai bagi aktiviti membeli belah dan berhibur pada waktu malam.

Majlis Pertahanan Lubnan turut mengisytiharkan Beirut sebagai zon bencana dan turut merayu negara sekutunya untuk menghulurkan bantuan dalam menangani malapetaka itu.

Kebanyakan negara dunia merakamkan ucapan takziah termasuk negara Teluk manakala Amerika Syarikat (AS) turut menawarkan penghantaran bantuan.

Keadaan hospital di ibu kota itu yang sedang bergelut untuk merawat pesakit COVID-19 bertambah sesak dengan individu tercedera akibat letupan.

Tragedi itu turut memberi kesan kepada ekonomi negara itu yang sedia terjejas.

Ekonomi Lubnan bertambah buruk sejak beberapa bulan lalu akibat kejatuhan mata wang sehingga kebanyakan perniagaan terpaksa ditutup dengan kadar kemiskinan dan pengangguran terus meningkat. 

SUMBER: AFP/5 OGOS 2020

Apa itu ammonium nitrat?

Ammonium nitrat atau formulanya NH₄NO₃, dihasilkan dalam bentuk butir adalah baja paling banyak digunakan dunia.

Ianya juga bahan utama di dalam proses letupan untuk menggali mineral yang mana bahan ini dicampur dengan minyak dan dihidupkan dengan cas letupan.

Untuk industri ammonium nitrat menjadi satu letupan yang bahaya, ianya perlu melalui proses yang panjang dan banyak masalah perlu berlaku. Dan ini berlaku di Beirut.

Apa punca letupan itu?

Ammonium nitrat tidak akan terbakar dengan sendiri. Malah, ianya lebih adalah sumber oksigen yang akan mempercepatkan proses pembakaran bahan lain. Sebab itu, ianya sangat berfungsi di dalam perlombongan di mana kawasan yang kurang oksigen, dengan adanya Ammonium nitrate akan menghasilkan oksigen untuk proses pembakaran minyak dan bahan bakar lain.

Namun di suhu yang sangat tinggi, ammonium nitrat akan terurai dan menjadi nitrogen oksida dan wap air. Dan Gas inilah yang akan menyebabkan letupan.

Jadi kalau ada api marak berdekatan dengan bahan ini, ianya boleh menyebabkan letupan seperti yang juga berlaku di Tianjin China pada tahun 2015 yang telah mengorbankan 175 orang di sebuah kilang Ammonium nitrat.

Walaupun kita tidak tahu punca sebenar di Beirut, tetapi kita dapat lihat melalui video, letupan itu berlaku setelah beberapa ketika kebakaran berlaku.

Memang sukar sebenarnya Ammonium nitrat meletup disebabkan kebakaran. Kebakaran perlu berlaku dan kekal lama di tempat Ammonium nitrat disimpan.

Malah ianya tidak akan meletup dengan sendiri tanpa minyak melainkan ianya telah ada pencemaran silang akibat daripada penyimpanan stok yang tidak betul.

Ini dapat dibuktikan dengan amaran yang telah diberikan kepada pengilang 2700 Tan yang telah disimpan selama 6 tahun tanpa keselamatan yang baik.

Kesan kepada kesihatan?

Letupan ammonium nitrat akan menghasilkan nitrogen dioksida, gas berwarna merah dan baunya sangat busuk.

Gas ini selalunya berada di persekitaran yang tercemar dan selalu digunakan sebagai aras kualiti udara sesuatu kawasan/bandar.

Ianya dikhuatiri boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan seperti masalah paru-paru. Keadaan ini mungkin akan ada di sana selama beberapa hari.

Keadaan di Beirut mengajar kita untuk menyimpan baja dalam keadaan yang betul. Mari kita doakan semoga Beirut kembali pulih daripada musibah yang telah melanda.

Sumber: Public Health Malaysia/ 6 OGOS 2020

Perbandingan Antara Dua Letupan

- Tianjin : 800 tan ammnonium nitrat : 12 OGOS 2015

Pada 12 Ogos 2015, satu siri letupan membunuh lebih 173 orang dan mencederakan ratusan yang lain di sebuah stesen penyimpanan kontena di Pelabuhan Tianjin.

Dua letupan pertama berlaku dalam masa 30 saat antara satu sama lain di kemudahan itu, yang terletak di Kawasan Baru Binhai Tianjin, China.

Letupan kedua adalah jauh lebih besar dan melibatkan letupan kira-kira 800 tan amonium nitrat.

Kebakaran yang disebabkan oleh letupan awal terus membakar tidak terkawal sepanjang hujung minggu, berkali-kali menyebabkan letupan menengah, dengan lapan letupan tambahan yang berlaku pada 15 Ogos

TERKINI

25 Perkara Kebaikan Yang Pahala Berterusan Selepas Kematian

Disusun Oleh : Mohd Ezli Mashut Foto : Imej janaan AI oleh : Mohd Ezli Mashut    Dalam Islam, setiap amalan kebaikan yang dilakukan dengan i...