Menjadi Saksi Detik Seumpama Muhammad Al-Fatih Membuka Kota Konstantinapol

Foto Sumber: ANADOLU NEWS AGENCY


DISUSUN OLEH: MOHD EZLI MASHUT
Penganalisis Isu Global

Konstantinople akan ditakluki oleh tentera Islam. Rajanya (yang menakluk) adalah sebaik-baik raja dan tenteranya (yang menakluk) adalah sebaik-baik tentera.

MENAKJUBKAN. Suasananya mengimbau tatkala Sultan Muhammad Al-Fatih memasuki kota Konstantinapol lebih 500 tahun lalu dalam misi pembebasan kota itu setelah pengepungan dan serangan bertali arus.

Pada 29 Mei 1453 Masihi, selepas pengepungan selama lima puluh tujuh hari, akhirnya Sultan Muhammad al-Fatih berjaya menakluk Kota Jonstantinople. Selepas penaklukan ini, baginda memindahkan ibu kota Uthmaniyyah dari Adrianople ke Konstantinople.

Solat Jumaat pertama yang diadakan di Hagia Sophia pada 24 Julai 2020 bersama lebih 350,000 jemaah dilihat amat simbolik dengan peristiwa Muhammad Al-Fatih memerintahkan supaya diadakan solat Jumaat berjemaah kali pertama.

Solat Jumaat pertama setelah pembukaan Kota Konstantinapol adalah pada 1 Jun 1453 Masihi bersama-sama Sultan Muhammad Al-Fatih yang menyampaikan khutbah dan menjadi imam pada ketika itu.

Baginda adalah Sultan yang memerintah Empayar Uthmaniyyah dalam masa singkat iaitu dari tahun 1444 ke 1446 dan kemudian dari tahun 1451 ke 1481. Baginda menakluk Constantinople pada umur 21 tahun yang membawa kepada kehancuran Empayar Byzantine.


Foto Sumber: ANADOLU NEWS AGENCY

Ketika ini lebih penting langkah diambil Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan untuk menukar kembali fungsi Hagia Sophia daripada muzium kepada masjid itu dikatakan inisiatif awal dalam pembebasan Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis, Palestin yang dikuasai rejim Zionis Israel.

Kita yang berada di saat ketika menyaksikan peristiwa besar dan penting ummah ini amat beruntung. Bukan mudah berpeluang menjadi saksi kepada 'turning point' global dan pencetus kepada perubahan sejarah masa hadapan ummah.

Ketua Parti Jamaati Islami Pakistan, Sirajul Haq berkata, keputusan membuka pintu Hagia Sophia atau nama lainnya Ayasofya kepada umat Islam untuk beribadat meruntun hati setiap Muslim seluruh dunia.

“Hagia Sophia adalah amanat yang ditinggalkan oleh Sultan Muhammad Al-Fatih dan siapa lagi yang lebih layak untuk memikul tanggungjawab besar ini selain daripada Presiden Erdogan?

“Kami mengucapkan tahniah di atas keputusan besar itu yang secara langsung menolak keputusan berat sebelah dilakukan pemerintah sebelum ini berdekad lalu,” tulis Sirajul dalam suratnya yang diutus kepada Erdogan.

Mufti Besar Oman, Ahmed Hamad Al-Khalili turut tidak ketinggalan mengucapkan tahniah kepada Erdogan serta masyarakat Muslim seluruh dunia atas pembukaan semula monumen itu sebagai masjid.

“Kami mengucapkan tahniah kepada semua negara Islam seluruh dunia, khususnya kerajaan Turki pimpinan Erdogan kerana menukar semula status Hagia Sophia sebagai tempat beribadat yang membolehkan masyarakat Muslim mengagungkan nama Allah SWT kembali di dalamnya,” katanya.


Foto Sumber: ANADOLU NEWS AGENCY


Aya Sophia Saksi Sejarah Jatuh Bangun Tamadun Dunia

Aya Sophia asalnya dibina sebagai sebuah katedral di antara 532 dan 537 SM atas arahan Maharaja Byzantine Justinian direka dua arkitek, Isidore dari Miletus dan Anthemius dari Tralles. 

Pada 1453, selepas kejatuhan Konstantinople kepada empayar Uthmaniyyah, Sultan Muhammad al-Fatih telah menukar Gereja Ortodoks Bizantium ini menjadi masjid.

Selama hampir 500 tahun, Hagia Sophia menjadi masjid utama di Istanbul dan menjadi model pada masjid-masjid lain seperti Masjid Sultan Ahmed (Masjid Biru di Istanbul), Masjid Sehzade, Masjid Suleymaniye dan Masjid Rustem Pasha.

Wasiat Sultan Muhammad Al-Fatih: Dahulukan Rakyat

Antara lain wasiat itu mencatatkan: "Tidak lama lagi aku akan mati, tetapi aku tidak pernah menyesal kerana aku telah meninggalkan calon pengganti dan penerus seperti kamu. Jadilah orang yang adil, soleh dan penyayang. 

Lindungilah seluruh rakyatmu tanpa membeza-bezakan dan bekerjalah untuk menyebar agama Islam. Ini adalah kewajipan seluruh raja di atas muka bumi ini, dahulukan perhatianmu kepada urusan agama berbanding urusan yang lain. Jangan berhenti untuk terus melaksanakannya.

Jangan memilih orang yang tidak mengutamakan urusan agama, tidak menjauhi dosa besar dan tenggelam dalam maksiat. Jauhilah juga bidaah yang merosakkan. Jauhilah orang yang mengajak kamu melakukan bidaah. 

Perluaskanlah negeri kamu dengan berjihad dan janganlah sampai harta baitulmal itu dibazirkan. Jangan mengambil harta seorang pun dari rakyat kamu kecuali dengan mengikut aturan Islam. Berikanlah jaminan makanan dan keselamatan bagi orang yang lemah. Muliakan orang yang berhak dengan sebaik-baiknya.


Foto Sumber: ANADOLU NEWS AGENCY

Ketahuilah bahawa ulama adalah satu kekuatan yang ada dalam tubuh negara kamu, maka muliakanlah kehormatan mereka dan motivasikanlah mereka dengan sumber kekuatan dan kekuasaan yang kamu miliki. Jika engkau mendengar ada ulama di negeri yang jauh, maka jemputlah ia datang dan muliakannya. 

Waspada dan berhati-hatilah, jangan sampai engkau terlena dan terpesona dengan harta dan kekuatan yang banyak. Jangan sampai engkau menjauhi ulama syariat dan jangan sampai engkau cenderung melakukan amalan yang menyalahi syariat. Agama adalah tujuan kita, hidayah adalah jalan hidup kita dan dengan keduanya kita akan menang.

Ambillah pengajaran daripada diriku. Aku datang ke negeri ini seperti semut yang kecil, lalu Allah memberikan aku semua nikmat yang besar ini. Oleh itu, ikutilah dan jejaklah apa yang aku lakukan. Bekerjalah untuk meneguhkan agama ini dan muliakan pengikutnya. Jangan menggunakan wang negara untuk kemewahan dan sia-sia atau membelanjakan lebih daripada sepatutnya kerana ia penyebab terbesar kebinasaan."

Generasi Pewaris Penerus Legasi Kecemerlangan Ummah

Selepas Muhammad al-Fateh meninggal dunia, lima khalifah meneruskan pemerintahan dan kepemimpinan, seorang daripadanya ialah Sultan Sulaiman I yang digelar oleh pihak Barat sebagai 'Solomon the Great'.

Ternyata empayar Uthmaniah terus gemilang selepas ketiadaan Muhammad al-Fateh dan wasiat beliau penting kepada penggantinya. 

Semoga wasiat itu dapat diteladani dan diwarisi generasi hari ini bagi membawa Malaysia ke arah kegemilangan, kecemerlangan, mendapat keampunan dan keberkatan Allah SWT.



TERKINI

25 Perkara Kebaikan Yang Pahala Berterusan Selepas Kematian

Disusun Oleh : Mohd Ezli Mashut Foto : Imej janaan AI oleh : Mohd Ezli Mashut    Dalam Islam, setiap amalan kebaikan yang dilakukan dengan i...