Huawei Beri Peluang PKS Ke Peringkat Global

FOTO: HUAWEI


KUALA LUMPUR: Gergasi telekomunikasi China, Huawei memberi peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memperkasakan industri digital tempatan ke peringkat global, melalui Huawei Mobile Services (HMS).

HMS adalah platform yang dibangunkan Huawei untuk menyediakan aplikasi media sosial.

Pengarah Pemasaran Perkhidmatan Mudah Alih Huawei, Kim So Yeon, berkata melalui HMS, PKS dan usahawan muda boleh terbabit dalam ekosistem digital dengan memperkenalkan aplikasi mereka secara percuma.

“Huawei ingin membina ekosistem digital, khususnya dalam pembangunan aplikasi, kepada semua pihak. Malah, bagi menyokong program HMS ini juga, pembangun aplikasi tidak perlu membayar sebarang yuran tahunan atau yuran pembangunan aplikasi.

“Kami sendiri akan turut membantu mereka dari segi pembangunan teknikal dan nasihat. Semua pihak perlu memahami, aplikasi yang dibangunkan itu bukan saja untuk pasaran tempatan tetapi global.

“Ia akan berada dalam Huawei AppGallery dan boleh diakses oleh semua pengguna Huawei seluruh dunia. Sokongan ekosistem berterusan ini diharap dapat menghasilkan pembangun aplikasi utama di setiap negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Persidangan Ekosistem Huawei Malaysia 2019 (HMEC19) di sini, hari ini.

Kim berkata, Huawei memperkenalkan dana sebanyak AS$1 bilion di peringkat global bagi membantu pembangun aplikasi membangunkan perisian mereka.

Selain itu, katanya, Huawei turut menyediakan bantuan kepada syarikat terpilih yang ingin terbabit dalam pembangunan aplikasi, selain memperkenalkan program Huawei Shining Star.

“Bagi menggalakkan minat pengguna dalam pembangunan aplikasi, Huawei memperkenalkan HMS Integration Challenge yang bermula pada 23 September hingga 31 Disember 2019.

“Ketika ini, kami sudah menerima lebih daripada 30 penyertaan bagi merebut hadiah bernilai RM500,000.

“Manakala, bagi Biasiswa Pembangunan Aplikasi pula, kami akan menganugerahkan RM30,000 kepada dua universiti tempatan iaitu Universiti Malaya dan Universiti Teknologi MARA,” katanya.

Pada majlis sama, Huawei turut melancarkan Huawei Mate 30 Series, telefon pintar terbaharunya di pasaran Malaysia yang menjadi negara pertama melancarkan telefon pintar itu selepas China.

Huawei Mate 30 dan Mate 30 Pro menggunakan platform Android 10 dan EMUI 10 dan semua model terbaharu keluaran Huawei selepas ini tidak akan menggunakan Google Mobile Services (GMS) namun model sedia ada di pasaran tidak terjejas dengan perubahan ini.

AppGallery pula adalah ruang untuk pengguna mendapatkan pelbagai aplikasi yang disediakan pihak ketiga dan ketika ini ia mencatatkan 390 juta pengguna aktif setiap bulan.

Terdapat puluhan juta pengguna untuk aplikasi proprietari, 200 juta untuk Pelayar, 160 juta untuk Cloud, 160 juta untuk Muzik, 140 juta untuk Pembantu, 130 juta untuk video dan 70 juta untuk tema.

SUMBER: BH ONLINE

Perang Nuklear Pakistan-India Ancam 100 Juta Penduduk


FOTO SUMBER: BUSINESS INSIDER

WASHINGTON: Penyelidik menjangkakan perang nuklear antara India dan Pakistan akan menyebabkan kematian lebih 100 juta penduduk, disusuli kebuluran besar-besaran apabila asap tebal menghalang cahaya matahari selama sedekad.

Senario yang diramalkan berlaku itu didedahkan dalam laporan yang diterbitkan semalam, susulan ketegangan hubungan antara dua negara di selatan Asia itu, yang sudah berperang selama beberapa kali bagi menuntut penguasaan ke atas wilayah majoriti Islam di Kashmir.

Kedua-dua negara itu kini giat membangunkan program senjata atom masing-masing.

Pakistan dan India, masing-masing dilaporkan memiliki 150 peledak nuklear dan jumlahnya dijangka meningkatkan kepada lebih 200 pada 2025.

“Amat malang kerana India dan Pakistan masih berada dalam konflik berhubung isu Kashmir dan setiap bulan atau lebih, anda dapat membaca mengenai kisah rakyat yang meninggal dunia di kawasan sempadan,” kata profesor sains alam sekitar, Universiti Rutgers, Alan Robock, yang juga penulis bersama kertas kajian mengenai kemajuan sains kepada AFP.

SUMBER GRAFIK: AL-JAZEERA

Ogos lalu, Perdana Menteri India, Narendra Modi membatalkan kuasa autonomi yang diberikan kepada sebahagian wilayah Kashmir, yang dikuasai negara itu.

Susulan itu, rakan sejawatannya, Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan ketika menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), memberi amaran pertikaian itu boleh merebak kepada perang nuklear.

Kali terakhir, New Delhi dan Islamabad bertelagah mengenai isu sempadan adalah pada Februari lalu, namun ia kembali reda selepas Pakistan menyerahkan juruterbang yang ditahan kepada India. 

GRAFIK SUMBER: AL-JAZEERA


SUMBER: AFP

Malaysia Airlines Kini Sudah Terbang Ke Solo!

FOTO: SOLO


INFO PENERBANGAN | Malaysia Airlines Bhd melancarkan laluan ke Solo dan Pekanbaru di Indonesia sejak Rabu (18 September) dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL, sebagai memenuhi permintaan meningkat bagi penerbangan antara Kuala Lumpur dan Indonesia.

Penerbangan dua kali seminggu menggunakan pesawat B737-800 ke dua bandaraya Indonesia itu, masing-masing merupakan destinasi kelima dan keenam syarikat penerbangan itu di Indonesia.

Penerbangan ke Solo berlepas dari Kuala Lumpur pada 8:30 malam dan tiba pada 10 malam pada hari yang sama. Penerbangan balik berlepas dari Solo pada 11:15 malam dan tiba di Kuala Lumpur pada 2:55 pagi hari berikutnya.

Sementara itu, penerbangan ke Pekanbaru berlepas dari Kuala Lumpur pada 7:50 malam dan tiba di Pekanbaru pada 7:55 malam hari yang sama.

Penerbangan balik berlepas dari Pekanbaru pada 8:55 malam hari yang sama dan tiba di Kuala Lumpur pada 11:05 malam hari yang sama.

(masa berlepas dan ketibaan adalah mengikuti waktu tempatan). 


SUMBER: BERNAMA

TERKINI

Akibat Durian Dijual Guna Timbang Kilogram, Generasi Muda Dan Masa Hadapan Hilang Minat Makan?

Disusun Oleh : Mohd Ezli Mashut Imej Janaan AI Oleh : Mohd Ezli Mashut =========================================== HARGA TAK MASUK AKAL. Ad...