Huawei Beri Peluang PKS Ke Peringkat Global

FOTO: HUAWEI


KUALA LUMPUR: Gergasi telekomunikasi China, Huawei memberi peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memperkasakan industri digital tempatan ke peringkat global, melalui Huawei Mobile Services (HMS).

HMS adalah platform yang dibangunkan Huawei untuk menyediakan aplikasi media sosial.

Pengarah Pemasaran Perkhidmatan Mudah Alih Huawei, Kim So Yeon, berkata melalui HMS, PKS dan usahawan muda boleh terbabit dalam ekosistem digital dengan memperkenalkan aplikasi mereka secara percuma.

“Huawei ingin membina ekosistem digital, khususnya dalam pembangunan aplikasi, kepada semua pihak. Malah, bagi menyokong program HMS ini juga, pembangun aplikasi tidak perlu membayar sebarang yuran tahunan atau yuran pembangunan aplikasi.

“Kami sendiri akan turut membantu mereka dari segi pembangunan teknikal dan nasihat. Semua pihak perlu memahami, aplikasi yang dibangunkan itu bukan saja untuk pasaran tempatan tetapi global.

“Ia akan berada dalam Huawei AppGallery dan boleh diakses oleh semua pengguna Huawei seluruh dunia. Sokongan ekosistem berterusan ini diharap dapat menghasilkan pembangun aplikasi utama di setiap negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Persidangan Ekosistem Huawei Malaysia 2019 (HMEC19) di sini, hari ini.

Kim berkata, Huawei memperkenalkan dana sebanyak AS$1 bilion di peringkat global bagi membantu pembangun aplikasi membangunkan perisian mereka.

Selain itu, katanya, Huawei turut menyediakan bantuan kepada syarikat terpilih yang ingin terbabit dalam pembangunan aplikasi, selain memperkenalkan program Huawei Shining Star.

“Bagi menggalakkan minat pengguna dalam pembangunan aplikasi, Huawei memperkenalkan HMS Integration Challenge yang bermula pada 23 September hingga 31 Disember 2019.

“Ketika ini, kami sudah menerima lebih daripada 30 penyertaan bagi merebut hadiah bernilai RM500,000.

“Manakala, bagi Biasiswa Pembangunan Aplikasi pula, kami akan menganugerahkan RM30,000 kepada dua universiti tempatan iaitu Universiti Malaya dan Universiti Teknologi MARA,” katanya.

Pada majlis sama, Huawei turut melancarkan Huawei Mate 30 Series, telefon pintar terbaharunya di pasaran Malaysia yang menjadi negara pertama melancarkan telefon pintar itu selepas China.

Huawei Mate 30 dan Mate 30 Pro menggunakan platform Android 10 dan EMUI 10 dan semua model terbaharu keluaran Huawei selepas ini tidak akan menggunakan Google Mobile Services (GMS) namun model sedia ada di pasaran tidak terjejas dengan perubahan ini.

AppGallery pula adalah ruang untuk pengguna mendapatkan pelbagai aplikasi yang disediakan pihak ketiga dan ketika ini ia mencatatkan 390 juta pengguna aktif setiap bulan.

Terdapat puluhan juta pengguna untuk aplikasi proprietari, 200 juta untuk Pelayar, 160 juta untuk Cloud, 160 juta untuk Muzik, 140 juta untuk Pembantu, 130 juta untuk video dan 70 juta untuk tema.

SUMBER: BH ONLINE

TERKINI

Akibat Durian Dijual Guna Timbang Kilogram, Generasi Muda Dan Masa Hadapan Hilang Minat Makan?

Disusun Oleh : Mohd Ezli Mashut Imej Janaan AI Oleh : Mohd Ezli Mashut =========================================== HARGA TAK MASUK AKAL. Ad...