KRISIS RUSSIA-UKRAINE | HARI KEEMPAT PERANG | Tentera Russia Masuki Bandar Kedua Ukraine, Pertempuran Memuncak Di Kharkiv


   Tangkap layar laporan berita SKYNEWS pada 27 Februari 2022 berkenaan tentera Russia memasuki bandar Kharkiv. Sumber Foto:OhDunia


GLOBAL | KYIV: Tentera Russia memasuki bandar kedua di Ukraine, Kharkiv, dan pertempuran sedang berlangsung pada 27 Februari 2022/Ahad, kata ketua pentadbiran wilayah pada hari keempat pencerobohan Moscow ke atas negara pro-Barat itu.


Agensi Berita AFP pada 27 Februari 2022 melaporkan, ketika pertempuran sedang memuncak di Kharkiv, pentadbiran bandar di Kyiv, 400 kilometer ke barat iaitu ibu kota kekal sepenuhnya di bawah kawalan tentera Ukraine walaupun berlaku pertempuran dengan 'kumpulan sabotaj'.


"Kenderaan ringan Russia memasuki bandar Kharkiv.


"Angkatan bersenjata Ukraine sedang menghapuskan musuh," kata gabenor Kharkiv, Oleg Sinegubov dalam catatan Facebook, sambil menggesa penduduk supaya tidak meninggalkan tempat perlindungan.


Kementerian pertahanan Russia mendakwa, bahawa tenteranya mengepung bandar Kherson di selatan Ukraine dan bandar Berdyansk di tenggara.


"Sepanjang 24 jam lalu, bandar Kherson dan Berdyansk disekat sepenuhnya oleh angkatan tentera Russia," kata jurucakap Kementerian Pertahanan Russia, Igor Konashenkov dalam satu kenyataan.


Tambahnya, tentera Russia juga menguasai Genichesk, sebuah bandar pelabuhan di sepanjang Laut Azov, dan sebuah lapangan terbang berhampiran Kherson.


Setakat 27 Februari 2022, tentera Russia berkata, pihaknya memusnahkan 975 kemudahan tentera di Ukraine dan menembak jatuh lapan jet pejuang, tujuh helikopter dan 11 dron.


Konashenkov mendakwa bahawa askar Ukraine meletakkan senjata 'beramai-ramai'.


Beliau mendakwa, pada 26 Februari 2022 tentera rejimen peluru berpandu pertahanan udara berhampiran Kharkiv 'secara sukarela' meletakkan senjata mereka, sambil menambah bahawa lebih daripada 470 askar Ukraine ditahan.


Tiada pengesahan terhadap dakwaan itu dan Ukraine menegaskan ramai tentera Kremlin yang cedera dalam pertempuran.



Sumber : Twiter - DefenceHQ is the official corporate news channel of the UK Ministry of Defence.


Pada 24 Februari 2022/Khamis lalu, Presiden Russia, Vladimir Putin, mengarahkan pencerobohan ke atas Ukraine.


Menurut sumber negara barat, tentera darat Russia memasuki Ukraine dari utara, timur dan selatan, namun berhadapan tentangan hebat daripada tentera Ukraine, yang mengejutkan Moscow.


Pada 26 Februari 2022, Moscow mengarahkan tenteranya untuk mara di Ukraine 'dari semua arah', dengan Kremlin mendakwa pihak berkuasa Ukraine enggan mengadakan rundingan. 


Ukraine Ubah Papan Tanda Jalan Taktik Kelirukan Tentera Russia


KYIV: Sebuah syarikat yang bertanggungjawab membina dan mengemas kini jalan raya di Ukraine memaklumkan pihaknya menukar semua nama papan tanda jalan yang mungkin digunakan tentera Russia untuk navigasi.


Ukravtodor menerusi Facebook memaklumkan, tentera Russia mempunyai komunikasi yang teruk dan tidak mampu merancang pergerakan yang berkesan.


Ukraine ubah papan tanda jalan untuk kelirukan tentera Russia


"Sehubungan itu, kami akan tukar semua papan tanda jalan bagi mengelirukan tentera Russia.


"Mereka tidak mempunyai sistem komunikasi yang baik, maka adalah 'bagus' untuk kami membantu mereka," kata syarikat itu.


Berdasarkan gambar yang dimuat naik, syarikat itu menunjukkan papan tanda yang ditukar dengan kata-kata kesat.




KRISIS RUSSIA-UKRAINE | HARI KEEMPAT PERANG | Tentera Russia Terus Mara Ke Kyiv, Terima Tentangan Hebat

    Tangkap layar laporan berita CNN pada 27 Februari 2022/Ahad berkenaan Russia menghantar lebih  banyak kereta kebal ke Ukraine. Sumber Foto: OhDunia/27 FEB 2022

   

GLOBAL |  Memasuki hari keempat operasi ketenteraan Rusia ke atas Ukraine, bandar Kiev menyaksikan pertempuran sengit di antara tentera Rusia dan Ukraine serta orang awam dalam mempertahankan bandar itu daripada ditakluk Kremlin.


Memetik laporan media agensi antarabangsa menjelaskan tentera Rusia berhadapan cabaran logistik serta tentangan kuat daripada tentera Ukraine.


Jurucakap Ukraine sebelum ini mendakwa seramai 3,000 tentera Rusia terbunuh dalam serangan balas tentera Ukraine, manakala lebih 300 kereta kebal Rusia turut dimusnahkan.


Dalam laporan terkini, Moscow mengarahkan tenteranya dari semua arah menuju ke Ukraine pada 26 Februari 2022, ketika ibu kota Ukraine, Kyiv mengenakan perintah berkurung selepas pertempuran di bandar itu yang menyaksikan tentera Russia diusir.


Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan pegawai Ukraine menyatakan 198 kematian keseluruhan membabitkan orang awam, termasuk tiga kanak-kanak, ketika letupan kedengaran di Kyiv, memaksa penduduk melarikan diri ke tempat selamat di bawah tanah.


Moscow pula berkata, akan melepaskan peluru berpandu ke sasaran ketenteraan dan melancarkan serangan dari semua arah, selepas menuduh Ukraine menolak rundingan.


Namun, pada hari ketiga pencerobohan Russia, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berikrar negaranya tidak akan menyerah diri kepada Kremlin, sementara Washington pula menyifatkan momentum pencerobohan Russia lemah.


Tentera Ukraine berkata, mereka menghalang serangan ke atas ibu negaranya, namun memerangi kumpulan sabotaj dari Russia yang sudah dikesan menyusup ke bandar itu.


           Tangkap layar laporan berita BH Online berkenaan krisis di Ukraine pada 27 Februari 2022.


Zelensky dalam mesej videonya menjelaskan: "kami akan berjuang sehingga kami membebaskan negara kami".


Beliau sebelum ini berkata, Ukraine sudah menggagalkan rancangan Moscow untuk menggulingkannya dan menggesa rakyat Russia untuk menekan Presiden Vladimir Putin supaya menghentikan konflik itu.


Pentagon menganggarkan separuh daripada pasukan tentera yang ditempatkan Russia di sempadan Ukraine sejak beberapa bulan kebelakangan ini kini, sudah berada di dalam negara itu.


Namun momentumnya lemah dalam tempoh 24 jam yang lalu, terutamanya di bahagian utara Ukraine dan tentera Russia masih belum memperoleh penguasaan udara ke atas negara itu, kata pegawai itu.


Tangkap layar laman sesawang BH Online pada 27 Februari 2022 yang memuat naik foto dari AFP berkenaan kemusnahan kereta kebal Russia akibat tentangan tentera Ukraine.


Tanpa menghiraukan amaran barat, Putin melancarkan pencerobohan besar-besaran yang menurut agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), mengakibatkan hampir 116,000 orang berhijrah ke negara jiran.


Dianggarkan berpuluh ribu lagi hilang tempat tinggal di Ukraine, dengan ramai yang berpindah ke kawasan barat negara itu, ekoran kurang terjejas dengan pertempuran. 


NATO Hanya Selamatkan Negara Anggota


Sementara itu Ketua Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Jens Stoltenberg melahirkan kebimbangan sekiranya serangan tentera Rusia di Ukraine bakal merebak ke negara anggota NATO lain. 


Disebabkan itu, beliau mengerahkan Pasukan Tindak Balas (NRF) NATO buat kali pertama bagi memperkukuhkan pertahanan dalam menghadapi pencerobohan Rusia terhadap Ukraine, lapor AFP pada 26 Februari 2022. 


Tindakan tersebut secara jelas langsung tidak menghulurkan sebarang bantuan terhadap Ukraine, sebaliknya, hanya memperkukuhkan keselamatan negara sekutu lain.  


“Keadaan masih tidak menentu. Apa yang kita dapat lihat adalah tentera Ukraine berjuang dengan begitu berani berdepan pencerobohan tentera Rusia.


“Rusia melakukan pencerobohan besar-besaran terhadap Ukraine dan tentera Moscow bergerak ke Kyiv dengan tujuan menumbangkan pentadbiran Ukraine,” katanya selepas sidang kemuncak pemimpin NATO menerusi panggilan video. 


Stoltenberg memberi amaran pencerobohan Kremlin mewujudkan ‘normal baharu’ kerana mengancam keselamatan Eropah yang lebih luas melangkaui Ukraine yang bukan negara anggota NATO. 


“Kami telah mengukuhkan langkah pencegahan dan barisan pertahanan.


“Negara sekutu telah mengaktifkan rancangan pertahanan dan kami mengerahkan NRF di darat, laut, udara bagi mengukuhkan kedudukan dan bertindak balas dengan cepat terhadap sebarang kontingensi,” jelasnya.


Menurut Stoltenberg, pihaknya mempunyai lebih 100 jet yang sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga dan mampu beroperasi di 30 lokasi berbeza. 


Selain itu, katanya, terdapat lebih 120 kapal di perairan utara hingga ke kepulauan Mediterranean. 


Jelasnya, persediaan itu bertujuan memelihara keamanan bagi mengelakkan serangan di Ukraine merebak ke negara sekutu NATO lain. 


Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan butiran secara terperinci mengenai hala tuju pasukan NRF dihantar dan terserah kepada komander tentera tertinggi NATO. 


NRF diwujudkan sejak 2003 yang terdiri daripada 40,000 kakitangan termasuk kontinjen kesediaan tertinggi melibatkan 8,000 tentera udara, laut dan operasi khas yang boleh dikerahkan dalam tempoh beberapa hari.

 


KRISIS RUSSIA-UKRAINE | Russia Dijangka Guna Senjata Termobarik Kuasa Tinggi, 'Bapa Segala Bom'


    Senjata termobarik milik Russia - Sumber Foto: The Sun


GLOBAL | KYIV: Rusia dijangka menggunakan senjata paling bahaya yang boleh mengeluarkan wap dari badan dan menghancurkan organ dalaman jika serangan di Ukraine menemui jalan buntu.


Amaran itu dikeluarkan oleh pegawai Barat yang melahirkan kebimbangan sekiranya Presiden Rusia, Vladimir Putin mengarahkan penggunaan senjata termobarik berkuasa tinggi, lapor AGENSI pada 26 Februari 2022.


Senjata tersebut digelar sebagai ‘bapa segala bom’ ketika rakyat Ukraine dilihat begitu berani menentang percubaan tentera Rusia untuk mengawal ibu negara Kyiv.


Tentangan sengit dijangka berlaku sekiranya tembakan sembarangan menggunakan senjata paling ganas itu.


“Saya takut jika mereka tidak memenuhi skala masa dan objektif ditetapkan, mereka akan menggunakan keganasan.


“Mereka tidak mematuhi prinsip keperluan dan kedaulatan undang-undang seperti dilakukan oleh kuasa Barat,” kata pegawai itu.

Sumber Grafik : The Sun


Senjata termobarik yang dikenali sebagai bom vakum adalah bahan letupan berkuasa tinggi yang menggunakan atmosfera itu sendiri sebagai sebahagian daripada bahan letupan.


Ia merupakan antara senjata bukan nuklear paling berkuasa pernah dibangunkan di dunia.


Bom itu berfungsi dengan menggunakan oksigen dari udara di sekeliling bagi menghasilkan letupan pada suhu tinggi, sekali gus menjadikannya sebagai senjata paling berbahaya berbanding senjata konvensional lain.


SSenjata tersebut dilaporkan berharga lebih AS$16 juta (RM67 juta) bagi setiap unit.


Senjata termobarik dibangunkan oleh AS dan Kesatuan Soviet sejak 1960an.


Pada September 2007, Rusia pernah meletupkan senjata termobarik terbesar sehingga menghasilkan letupan bersamaan 39.9 tan.


AS pula pernah meletupkan bom tersebut seberat 9,797 kilogram dan meninggalkan kawah seluas 300 meter di Afghanistan, 2017.

Selepas Russia Serang Ukraine, Seterusnya Poland Bakal Jadi Sasaran?

Sumber Grafik : The Economist


GLOBAL | Perdana Menteri Poland, Mateusz Morawiecki menzahirkan kebimbangannya kemungkinan serangan Russia ke atas negaranya, Finland atau negara Baltik dan menggesa Eropah menggandakan perbelanjaan pertahanan, susulan pencerobohan Moscow ke atas Ukraine, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP pada 27 Februari 2022.


"Putin mahu mengembangkan dasar agresifnya, pencerobohannya. Dia bermula di Georgia, kini Ukraine.


"Sasaran seterusnya boleh jadi negara Baltik, Poland, Finland atau negara lain di sayap timur," katanya memberitahu akhbar harian Perancis, Ouest-France.


Poland, bekas negara Soviet kini menjadi ahli pakatan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), berkongsi sempadan yang panjang dengan Ukraine.


Ketika Presiden Russia, Vladimir Putin mengerahkan tentera di sempadan sebelum menyerang pada Khamis lalu/ 24 Februari 2022, Poland menjadi tuan rumah kepada lebih ramai tentera dari pakatan diketuai Amerika Syarikat (AS).


Beliau berkata, Eropah memerlukan tentera yang kuat, dengan benua itu mesti meningkatkan perbelanjaan pertahanan daripada 300 bilion euro (RM1.4 trilion) kepada sehingga 600 bilion euro (RM2.84 trilion) setahun.


"Itu tidak mustahil dan itu akan membolehkan Eropah akhirnya dapat memainkan peranan utama. Era keamanan dan ketenteraman antarabangsa akan berakhir.


"Ini ujian untuk Barat dan cara kita bertindak balas terhadap ujian ini akan menentukan masa depan kita, bukan selama bertahun-tahun tetapi berdekad-dekad," katanya.



Beliau juga mencadangkan pengecualian perbelanjaan pertahanan daripada peraturan kewangan awam Kesatuan Eropah (EU) untuk membenarkan negaranya membelanjakan tiga hingga empat peratus daripada pengeluaran ekonomi tahunannya, bagi tujuan pertahanan susulan pencerobohan Russia.


Beliau juga menggesa pakej sekatan yang belum pernah berlaku ke atas Moscow dan perbincangan untuk menjadikan Eropah bebas daripada bekalan hidrokarbon Russia.


"Dengan membeli minyak dan gas Russia, kami hari ini membiayai dasar pencerobohan Russia," katanya. 


TERKINI

Akibat Durian Dijual Guna Timbang Kilogram, Generasi Muda Dan Masa Hadapan Hilang Minat Makan?

Disusun Oleh : Mohd Ezli Mashut Imej Janaan AI Oleh : Mohd Ezli Mashut =========================================== HARGA TAK MASUK AKAL. Ad...