Selepas Russia Serang Ukraine, Seterusnya Poland Bakal Jadi Sasaran?

Sumber Grafik : The Economist


GLOBAL | Perdana Menteri Poland, Mateusz Morawiecki menzahirkan kebimbangannya kemungkinan serangan Russia ke atas negaranya, Finland atau negara Baltik dan menggesa Eropah menggandakan perbelanjaan pertahanan, susulan pencerobohan Moscow ke atas Ukraine, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP pada 27 Februari 2022.


"Putin mahu mengembangkan dasar agresifnya, pencerobohannya. Dia bermula di Georgia, kini Ukraine.


"Sasaran seterusnya boleh jadi negara Baltik, Poland, Finland atau negara lain di sayap timur," katanya memberitahu akhbar harian Perancis, Ouest-France.


Poland, bekas negara Soviet kini menjadi ahli pakatan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), berkongsi sempadan yang panjang dengan Ukraine.


Ketika Presiden Russia, Vladimir Putin mengerahkan tentera di sempadan sebelum menyerang pada Khamis lalu/ 24 Februari 2022, Poland menjadi tuan rumah kepada lebih ramai tentera dari pakatan diketuai Amerika Syarikat (AS).


Beliau berkata, Eropah memerlukan tentera yang kuat, dengan benua itu mesti meningkatkan perbelanjaan pertahanan daripada 300 bilion euro (RM1.4 trilion) kepada sehingga 600 bilion euro (RM2.84 trilion) setahun.


"Itu tidak mustahil dan itu akan membolehkan Eropah akhirnya dapat memainkan peranan utama. Era keamanan dan ketenteraman antarabangsa akan berakhir.


"Ini ujian untuk Barat dan cara kita bertindak balas terhadap ujian ini akan menentukan masa depan kita, bukan selama bertahun-tahun tetapi berdekad-dekad," katanya.



Beliau juga mencadangkan pengecualian perbelanjaan pertahanan daripada peraturan kewangan awam Kesatuan Eropah (EU) untuk membenarkan negaranya membelanjakan tiga hingga empat peratus daripada pengeluaran ekonomi tahunannya, bagi tujuan pertahanan susulan pencerobohan Russia.


Beliau juga menggesa pakej sekatan yang belum pernah berlaku ke atas Moscow dan perbincangan untuk menjadikan Eropah bebas daripada bekalan hidrokarbon Russia.


"Dengan membeli minyak dan gas Russia, kami hari ini membiayai dasar pencerobohan Russia," katanya. 


TERKINI

AirAsia lancar promosi Tempat Duduk PERCUMA* dan jualan hebat ke lebih 130 destinasi

AirAsia melancarkan promosi  dan jualan hebat pertama pada tahun 2024 dengan jutaan tempat duduk ke lebih 130 destinasi. Syarikat itu dalam ...