GLOBAL | Memasuki hari keempat operasi ketenteraan Rusia ke atas Ukraine, bandar Kiev menyaksikan pertempuran sengit di antara tentera Rusia dan Ukraine serta orang awam dalam mempertahankan bandar itu daripada ditakluk Kremlin.
Memetik laporan media agensi antarabangsa menjelaskan tentera Rusia berhadapan cabaran logistik serta tentangan kuat daripada tentera Ukraine.
Jurucakap Ukraine sebelum ini mendakwa seramai 3,000 tentera Rusia terbunuh dalam serangan balas tentera Ukraine, manakala lebih 300 kereta kebal Rusia turut dimusnahkan.
Dalam laporan terkini, Moscow mengarahkan tenteranya dari semua arah menuju ke Ukraine pada 26 Februari 2022, ketika ibu kota Ukraine, Kyiv mengenakan perintah berkurung selepas pertempuran di bandar itu yang menyaksikan tentera Russia diusir.
Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan pegawai Ukraine menyatakan 198 kematian keseluruhan membabitkan orang awam, termasuk tiga kanak-kanak, ketika letupan kedengaran di Kyiv, memaksa penduduk melarikan diri ke tempat selamat di bawah tanah.
Moscow pula berkata, akan melepaskan peluru berpandu ke sasaran ketenteraan dan melancarkan serangan dari semua arah, selepas menuduh Ukraine menolak rundingan.
Namun, pada hari ketiga pencerobohan Russia, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berikrar negaranya tidak akan menyerah diri kepada Kremlin, sementara Washington pula menyifatkan momentum pencerobohan Russia lemah.
Tentera Ukraine berkata, mereka menghalang serangan ke atas ibu negaranya, namun memerangi kumpulan sabotaj dari Russia yang sudah dikesan menyusup ke bandar itu.
Zelensky dalam mesej videonya menjelaskan: "kami akan berjuang sehingga kami membebaskan negara kami".
Beliau sebelum ini berkata, Ukraine sudah menggagalkan rancangan Moscow untuk menggulingkannya dan menggesa rakyat Russia untuk menekan Presiden Vladimir Putin supaya menghentikan konflik itu.
Pentagon menganggarkan separuh daripada pasukan tentera yang ditempatkan Russia di sempadan Ukraine sejak beberapa bulan kebelakangan ini kini, sudah berada di dalam negara itu.
Namun momentumnya lemah dalam tempoh 24 jam yang lalu, terutamanya di bahagian utara Ukraine dan tentera Russia masih belum memperoleh penguasaan udara ke atas negara itu, kata pegawai itu.
Tanpa menghiraukan amaran barat, Putin melancarkan pencerobohan besar-besaran yang menurut agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), mengakibatkan hampir 116,000 orang berhijrah ke negara jiran.
Dianggarkan berpuluh ribu lagi hilang tempat tinggal di Ukraine, dengan ramai yang berpindah ke kawasan barat negara itu, ekoran kurang terjejas dengan pertempuran.
NATO Hanya Selamatkan Negara Anggota
Sementara itu Ketua Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Jens Stoltenberg melahirkan kebimbangan sekiranya serangan tentera Rusia di Ukraine bakal merebak ke negara anggota NATO lain.
Disebabkan itu, beliau mengerahkan Pasukan Tindak Balas (NRF) NATO buat kali pertama bagi memperkukuhkan pertahanan dalam menghadapi pencerobohan Rusia terhadap Ukraine, lapor AFP pada 26 Februari 2022.
Tindakan tersebut secara jelas langsung tidak menghulurkan sebarang bantuan terhadap Ukraine, sebaliknya, hanya memperkukuhkan keselamatan negara sekutu lain.
“Keadaan masih tidak menentu. Apa yang kita dapat lihat adalah tentera Ukraine berjuang dengan begitu berani berdepan pencerobohan tentera Rusia.
“Rusia melakukan pencerobohan besar-besaran terhadap Ukraine dan tentera Moscow bergerak ke Kyiv dengan tujuan menumbangkan pentadbiran Ukraine,” katanya selepas sidang kemuncak pemimpin NATO menerusi panggilan video.
Stoltenberg memberi amaran pencerobohan Kremlin mewujudkan ‘normal baharu’ kerana mengancam keselamatan Eropah yang lebih luas melangkaui Ukraine yang bukan negara anggota NATO.
“Kami telah mengukuhkan langkah pencegahan dan barisan pertahanan.
“Negara sekutu telah mengaktifkan rancangan pertahanan dan kami mengerahkan NRF di darat, laut, udara bagi mengukuhkan kedudukan dan bertindak balas dengan cepat terhadap sebarang kontingensi,” jelasnya.
Menurut Stoltenberg, pihaknya mempunyai lebih 100 jet yang sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga dan mampu beroperasi di 30 lokasi berbeza.
Selain itu, katanya, terdapat lebih 120 kapal di perairan utara hingga ke kepulauan Mediterranean.
Jelasnya, persediaan itu bertujuan memelihara keamanan bagi mengelakkan serangan di Ukraine merebak ke negara sekutu NATO lain.
Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan butiran secara terperinci mengenai hala tuju pasukan NRF dihantar dan terserah kepada komander tentera tertinggi NATO.
NRF diwujudkan sejak 2003 yang terdiri daripada 40,000 kakitangan termasuk kontinjen kesediaan tertinggi melibatkan 8,000 tentera udara, laut dan operasi khas yang boleh dikerahkan dalam tempoh beberapa hari.