DS Anwar Ibrahim PM Malaysia De Facto : Harapan Baru Untuk Dunia


Dato’ Seri Anwar Ibrahim Perdana Menteri Malaysia De Facto : Harapan Baru Untuk Dunia


Mohd Ezli MashutLL.B (Hons)

ezli007.blogspot.com / ezli007 @ hotmail.com( 019-2376543)


Keputusan Pilihanraya Umum ke -12 telah mencatatkan sejarah baru dalam landskap siasah negara. Ramai penganalisis politik mengkategorikan PRU-12 adalah tsunami politik Malaysia yang terhebat sejak pilihanraya umum pertama negara. Namun walaupun hebat impak kesan tsunami politik ini yang banyak menumbangkan ‘orang-orang besar’ ia sebenarnya hanya tsunami politik fasa pertama sahaja. Tsunami politik seterusnya yang akan melanda pasca PRU-12 ini adalah lebih hebat dan sukar dijangkakan. Kini perhatian dunia antarabangsa memfokuskan pasca pilihanraya umum ke 12 ini bahawa Perdana Menteri Malaysia De facto kini ialah Dato Seri Anwar Ibrahim.



Telahan ini bukan sekadar fantasi tetapi perhatian masyarakat antarabangsa bahawa yang memenangi pilihanraya umum ke -12 lepas adalah daripada Pakatan Rakyat. Walaupun Barisan Nasional berjaya memenangi 140 kerusi parlimen namun kini kabinet baru Dato Seri Abdullah Badawi sedang menghitung detik-detik hari terakhirnya selaku PM ke 5 . Kemudian Dato Seri Anwar Ibrahim akan dinobatkan selaku Perdana Menteri Malaysia ke-6 secara de jure dan de facto selepas berlaku beberapa peristiwa penting negara sedikit masa lagi .


Mengapa Dato Seri Anwar Ibrahim Perdana Menteri Malaysia Ke 6 De facto terkini ?...


Pertama : Pihak Pakatan Rakyat yang mengukuh kedudukan kerusi parlimen sebanyak 82 kerusi hanya memerlukan minimum sebanyak 30 buah kerusi parlimen sahaja lagi untuk membentuk Kerajaan Persekutuan. Daripada laporan dan analisis beberapa blog terkemuka tanahair menyatakan angka psikologi 30 buah kerusi sudah di atasi dan mungkin lebih banyak lagi kerana usaha dan masa yang masih panjang sebelum persidangan kali pertama Parlimen yang dijangkakan pada awal Mei 2008. Kemudian satu usul undi tidak percaya akan dikemukakan kepada Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri .


Kedua : Kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohammad yang menyelar secara terang-terangan terhadap jangkaan akhbar Israel iaitu Jerusalem Post bahawa Dato Seri Anwar Ibrahim adalah Perdana Menteri Malaysia ke 6 de facto dengan tuduhan yang berulang-ulang kali digunakan sebelum ini iaitu agen Yahudi sebenarnya membayangkan kegusaran beliau terhadap realiti ini. Malahan masyarakat Eropah sendiri menaruh keyakinan tidak syak lagi bahawa Dato Seri Anwar Ibrahim bakal menjadi Perdana Menteri ke 6 tidak lama lagi.


Pastinya negara-negara luar sudah mendapat maklumat awal ini kerana mereka juga mempunyai rangkaian maklumat yang tepat yang boleh dipercayai. Mungkin agensi-agensi perisikan mereka sudah menjangkakan perkara ini walaupun media-media tempatan menutup berita hebat ini.


Ketiga : Desakan rakyat dan pemimpin UMNO serta Barisan Nasional untuk menuntut Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi melepaskan jawatannya semakin lantang daripada sehari ke sehari. Pertemuan yang dijangkakan untuk bertemu dengan pemimpin kompenan daripada Sabah dilihat untuk mengembalikan keyakinan terhadap kepimpinan beliau yang sedang meniti hari.


Perhimpunan tidak rasmi dikalangan ahli UMNO sendiri semakin mendapat liputan luas khususnya pandangan Mantan Perdan Menteri Tun Mahathir yang konsisten mendesak Pak Lah melepaskan jawatan atas akauntabiliti kekalahan teruk Barisan Nasional dalam sejarah politik pilihanraya Malaysia.


Keempat : Perpecahan dalaman dan krisis yang berlaku dalam UMNO dan pakatan Barisan Nasional menjadikan bahtera hebat ala Titanic itu karam sedikit demi sedikit. Barisan Nasional yang sebelum ini mendabik dada bahawa tidak akan kalah sehingga bila-bila perlu menerima realiti bahawa penguasaan terhadap 5 buah negeri oleh Pakatan Rakyat dan penurunan peratusan undi secara mendadak adalah saat-saat yang akan mengakhiri hayat Barisan Nasional selaku kerajaan Malaysia.


Perlunya Dato Seri Anwar Ibrahim muncul di pentas antarabangsa ...
Dunia antarabangsa kini semakin bergolak dan penuh konflik . Krisis dunia Arab dan Israel dilihat semakin jauh daripada jalan penyelesaiannya. Pencerobohan Tentera Amerika Syarikat ke atas Afghanistan dan Iraq memburukkan lagi krisis ‘clash of civilization’ antara tamadun barat dan dunia Islam. Penayangan filem pendek secara online Fitna arahan Ahli Parlimen Belanda iaitu Geert Wildwers yang jelas menghina Islam akan meluaskan jurang persefahaman antara masyarakat dunia Islam dan barat. Kesannya akan mewujudkan dunia yang tidak seimbang dan saling mencurigai antara satu sama lain.


Kehadiran Dato Seri Anwar Ibrahim di pentas antarabangsa amat dinantikan dunia khususnya untuk menjadi jurubicara dunia Islam. Pengalaman luasnya di peringkat serantau dan antarabangsa sebelum ini diyakini amat diperlukan dalam mewujudkan dunia yang lebih stabil , selamat dan makmur. Peranan cergas , aktif dan idea-idea inovasi dalam pertubuhan serantau Asean dan Negara-Negara Islam (OIC) di lihat mampu untuk membawa lembaran baru dalam menangani masalah-masalah di peringkat Asean dan dunia Islam.


Ketiadaan pemimpin hebat dan berkarisma dalam Asean dan OIC di lihat membawa pertubuhan itu semakin tidak mempunyai suara di peringkat dunia untuk memperjuangkan isu-isu penting dan kritikal. Kini dunia Islam melihat kehadiran ‘singa baru’ dunia Islam Mahmoud Ahmadinejad hanya satu-satunya pemimpin yang berani dan bersuara terhadap hegemoni dan kerakusan kuasa besar Amerika Syarikat dan sekutunya.


Kepimpinan di Malaysia kini perlu melihat ke peringkat global dan permasalahan sejagat. Namun keutamaan adalah penyelesaian cabaran-cabaran di Malaysia dalam persoalan ekonomi, badan kehakiman, pembelaan nasib rakyat, memerangi rasuah di semua peringkat kerajaan dan korporat serta pelbagai lagi untuk kesejahteraan rakyat Malaysia. Keupayaannya memperkukuh kerjasama di kalangan parti PKR, DAP dan PAS dalam membina momentum perubahan politik di Malaysia memberikan keyakinan kepada dunia antarabangsa terhadap keupayaan dalam menyatukan masyarakat dunia dengan pelbagai ideologi dan kerangka pemikiran.


Perjuangan dalam mewujudkan masyarakat madani yang seimbang daripada segi akhlak dan akal budi dan berpegang kepada prinsip keadilan merupakan satu jaminan dalam membina sebuah negara yang unggul di peringkat antarabangsa. Pembangunan yang hebat dari segi infrastruktur sahaja tidak akan membawa negara era ketamadunan jika soal akhlak dan mindanya belum mencapai status bertamadun dalam erti sebenarnya.


Ke Mana Halatuju Masa Hadapan Malaysia...


Kedudukan Malaysia kini sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran dari segi isu dalaman dan luar negara. Cabaran – cabaran ini yang perlu dihadapi oleh pemimpin semasa dan akan datang dalam membawa Malaysia ke era baru yang lebih dinamik dan kompetetif dengan negara-negara serantau dan dunia.


Dalam kedudukan Indeks Economic Freedom 2008 , Malaysia di kedudukan ke 51 di dunia dan ke 8 daripada 30 di Asia. Berbeza dengan Hong Kong yang berada di kedudukan pertama dunia dan Singapura di kedudukan kedua dunia. Apakah halatuju Malaysia dalam mencapai usaha mencapai satu kedudukan indeks yang dikalangan sepuluh terbaik dunia. Kita mengharapkan Agenda Ekonomi Malaysia yang dibawa oleh Pakatan Rakyat dapat diterjemahkan dalam usaha membawa ekonomi dan perniagaan Malaysia ke era baru yang lebih dinamik, kompetetif dan berdaya saing di peringkat glokal dan global.


Isu Kenaikkan Harga Minyak Dunia melebihi USD 100.00 segelen.


Harga minyak dunia diramal akan terus melebihi USD 100.00 segelen. Beberapa faktor yang menyebabkan harganya terus meningkat adalah permintaan dunia yang semakin meningkat di samping pengeluarannya sudah berada ditahap maksimum. Malahan diramalkan oleh beberapa pakar dan penganalisis dunia seperti Dr Richard Duncan menjangkakan tahun 2008 dan seterusnya adalah zaman ‘blackout’ dalam pengeluaran minyak dunia. Beberapa sebab diutarakan antaranya adalah pengeluaran minyak semakin menurun mendadak kerana beberapa telaga utama minyak dunia sudah hampir kekeringan disamping beberapa masalah yang melanda dunia seperti perubahan cuaca dunia yang menjejaskan aktiviti pengeluaran minyak secara normal.


Bagaimana ekonomi Malaysia apabila berhadapan dengan cabaran besar ini ? Ketika mana DS Anwar Ibrahim selaku Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan harga minyak dalam negara dikawal dengan baik dan stabil. Ini menyebabkan harga minyak dalam negara berada ditahap yang memberi keselesaan kepada rakyat hasil mekanisma perlaksanaan kawalan harga yang baik. Ianya kerana agar rakyat tidak menghadapi bebanan yang teruk dalam soal harga bahan bakar ini.


Realiti masa kini dengan harga minyak dunia pada 2008 dan seterusnya berada antara jajaran USD100.00 sehingga USD200.00 pastinya cukup mencemaskan kita. Apakah polisi dan pendekatan oleh pentadbiran Pak Lah untuk mengurus krisis harga minyak dunia yang akan berlaku dan mungkin telah berlaku ini. Apakah keutamaan terhadap kebajikan rakyat menjadi keutamaan ? . Untuk rekod sepanjang pemerintahan Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi telah berlaku beberapa kali kenaikkan harga minyak yang amat mendadak. Apakah jaminan pada masa hadapan mungkin terdekat ini untuk kenaikkan harga minyak boleh diramal berdasarkan trek rekod terdahulu dalam menangani krisis minyak ini.


Justeru antara cabaran terbesar pemimpin Malaysia sekarang ialah bagaimana untuk menguruskan harga minyak di dalam Malaysia. Ianya adalah untuk memastikan harganya tidak menjadi kesan domino untuk mendesak barangan dan perkhidmatan naik sejajar dengan kenaikkan harga minyak di pasaran global dan ketidaktentuan iklim politik antarabangsa khususnya di Asia Barat. Kepimpinan DSAI dilihat mempunyai formula terbaik untuk memberi suntikan rangsangan terhadap perkembangan ekonomi Malaysia agar kompetetif di peringkat serantau dan global.


Kita juga berharap agar isu kenaikkan harga minyak dunia ini akan dibawa oleh DS Anwar Ibrahim untuk perhatian masyarakat global dengan menyalurkan pandangan dan idea inovatif untuk dunia tidak terlalu bergantung kepada sumber tenaga yang tidak boleh diperbaharui. Dengan gaya dan kepimpinan yang diplomatik ini diharap satu formula baru dalam mengekang kenaikkan berterusan harga minyak global ini dapat ditangani disamping usaha penyelidikan dan pembangunan sumber tenaga baru dapat ditemui untuk kesejahteraan rakyat Malaysia dan masyarakat dunia umumnya.


Pembentukan kawasan pertumbuhan ekonomi baru G5+1 ( Selangor , Perak , Kedah , Pulau Pinang , Kelantan dan Wilayah Persekutuan ) dapat digerakkan dalam usaha memartabatkan ekonomi Malaysia yang lebih adil dan saksama. Ianya akan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi baru yang melaksanakan satu model terbaru yang digerakkan oleh pihak pemerintah Pakatan Rakyat. Semoga usaha kumpulan G5+1 ini menjadi model pembangunan di Malaysia dan negara-negara dunia kedua dan ketiga dunia.

Ancaman Serangan Israel dan Amerika Syarikat terhadap Iran dalam masa terdekat ini...


Sumber-sumber di laman sesawang yang memetik laporan daripada pihak Agensi Perisikan Rusia bahawa kini tentera Amerika Syarikat sedang meningkatkan kekuatan di sempadan Iran untuk melakukan serangan terhadap reaktor nuklear Iran dalam masa terdekat ini. Malahan sebelum ini beberapa insiden di Teluk Parsi telah menghangatkan gendang perang di Asia Barat ini. Untuk rekod Amerika Syarikat sudah meletakkan 6 kapal pengangkut pesawat termoden di perairan Semenanjung Arab untuk melaksanakan misi serangan ini.


Namun beberapa laporan juga menyatakan bahawa serangan udara akan dilancarkan oleh Tentera Udara Israel sebagaimana serangan terhadap loji nuklear Osiraq, Iraq pada 7hb Jun 1981 dahulu. Jet Pejuang F15 dan F16 yang dilengkapi dengan bunkers – busting bombs telah mensasarkan untuk memusnahkan Reaktor Nuklear Bushner, Arak dan Natanz dan beberapa kedudukan lagi di sekitar Teheran dan Isfahan. Israel beria-ia untuk melancarkan serangan ini sebelum tamatnya tempoh pemerintahan George Bush pada Januari 2009.


Dengan maklumat ini, adalah diharap kehadiran DS Anwar Ibrahim ke pentas politik Malaysia dan antarabangsa mampu untuk memainkan peranan yang penting dalam usaha ke arah halatuju dunia yang aman dan stabil. Andaikan serangan ini terjadi maka dengan pengalaman luas DS Anwar Ibrahim dalam kepimpinan dunia Islam maka satu usaha serantau dan global dapat digerakkan untuk membantu negara Iran ini. Kita berharap Pertubuhan Negara-Negara Islam ( OIC ) mendapat suntikan inspirasi baru dalam mengangkat martabat ummah selepas kegagalan Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadi jurubicara ummah untuk dunia Islam ketika berhadapan dengan kuasa besar imperialis.


Kesimpulan


Dunia kini sedang menanti kehadiran pemimpin terkemuka Malaysia yang sudah melalui ranjau yang panjang dalam tempoh beberapa tahun yang lepas. Dipenjarakan selama 6 tahun telah menjadikan DS Anwar Ibrahim seorang tokoh yang semakin mendapat perhatian dunia. Kita mengharapkan kehadiran DS Anwar ibrahim mampu membawa Malaysia menjadi jurubicara ummah dunia Islam dalam perjuangan perubahan dan keadilan ke peringkat global. Kita wajar memanfaatkan pengalaman politik di Malaysia untuk membantu usaha-usaha perjuangan menuntut keadilan untuk ummah sejagat. Semoga usaha besar ini didokong oleh semua lapisan masyarakat dunia dalam usaha membentuk tatacara dunia yang lebih aman dan adil.

TERKINI

Akibat Durian Dijual Guna Timbang Kilogram, Generasi Muda Dan Masa Hadapan Hilang Minat Makan?

Disusun Oleh : Mohd Ezli Mashut Imej Janaan AI Oleh : Mohd Ezli Mashut =========================================== HARGA TAK MASUK AKAL. Ad...