Foto Sumber : Smart Cities |
HONG KONG: Pemimpin wilayah ini, Carrie Lam hari ini mengumumkan perintah darurat buat kali pertama dalam tempoh lebih 50 tahun, bertujuan membendung keganasan memuncak di bandar ditadbir China itu.
Bercakap dalam sidang media, Lam berkata, larangan pemakaian topeng muka juga berkuat kuasa esok (Sabtu), 5 Oktober, mengikut undang-undang darurat yang membolehkan pihak berkuasa ‘membuat sebarang peraturan’ berkaitan kepentingan awam.
Mereka yang melanggar larangan, termasuk pengeculian, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun atau denda HK$25,000 (RM13,342.35), lapor akhbar South China Morning Post (SCMP), memetik individu yang tidak dikenal pasti.B
Bekas wilayah ditadbir Britain itu juga meneliti untuk melanjutkan tempoh tahanan suspek melebihi 48 jam, oleh kerana tenaga yang diperlukan untuk menguruskan sejumlah besar tangkapan protes, lapor akhbar Oriental Daily.
Tindakan itu kemungkinan mencetuskan pertembungan sengit hujung minggu ini, apabila penunjuk perasaan sudah menggesa demonstrasi besar-besaran bagi menentang undang-undang berkenaan.
“Ini seperti membuka kotak Pandora, siapa tahu apa yang berlaku selepas larangan ini? Namun kerajaan perlu tahu jika ia bertegas dan tidak mendengar suara rakyat, kami tidak akan berputus asa dan memastikan kerajaan bertanggungjawab. Kami akan terus berjuang,” kata seorang lelaki yang melakukan protes di tengah ibu kota ini.
Topeng muka menjadi simbol tentangan di kalangan penunjuk perasaan yang bimbangkan dihukum jika mereka dikenal pasti. China sudah memberi tekanan kepada perniagaan seperti syarikat penerbangan Cathay Pacific Airways supaya memecat kakitangan yang mengambil bahagian dalam demonstrasi.
“Saya bimbang dengan tentangan mungkin. Golongan muda mengatakan mereka bersedia untuk mati demi perjuangan ini. Mereka masih di luar sana memakai topeng muka dan polis akan mendakwa mereka,” kata Claudia Mo, seorang pembuat dasar prodemokrasi di sini.
Terdahulu, ketua pengarah akhbar Global Times China, Hu Xijin yang disokong Parti Komunis menulis dalam tweet, negara Barat tidak seharusnya ‘bersikap berat sebelah’ apabila memberi reaksi kepada larangan sambil mendakwa Kanada dan New York dilaporkan memiliki undang-undang sama.
“Ada tuntutan kuat di Hong Kong menggesa undang-undang anti-topeng muka. Kebanyakan aktiviti keganasan di Hong Kong dilakukan perusuh bertopeng,” kata Xijin.
Polis melepaskan gas pemedih mata dan penyembur lada ke arah penunjuk perasaan di kawasan kediaman Tai Koo malam semalam ketika bantahan meletus di 11 tempat dan pusat beli belah di seluruh bandar susulan laporan, kata SCMP.
Ada juga gesaan untuk bantahan di daerah perniagaan pusat jam 12.30 hari waktu tempatan hari ini.
Sumber -Agensi