Glasier Himalaya kini cair 65 peratus lebih cepat



PERUBAHAN IKLIM | KATHMANDU, Nepal: Glasier Himalaya yang membekalkan air kepada dua bilion penduduk dunia didapati cair lebih cepat berbanding sebelum ini akibat perubahan iklim, menurut saintis.


Laporan Pusat Pembangunan Gunung Bersepadu Antarabangsa (ICIMOD) mendapati glasier hilang 65 peratus lebih cepat dari 2011 hingga 2020 berbanding dekad sebelumnya, lapor AFP pada 20 Jun 2023.


"Apabila semakin panas, ais akan cair. Itu yang dijangkakan. Tetapi apa yang tidak dijangka dan sangat membimbangkan ialah kecepatannya.


"Ia berlaku lebih cepat daripada yang kami sangka," kata pengarang utama laporan berkenaan, Philippus Wester.


Glasier di rantau Hindu Kush Himalaya (HKH) adalah sumber air penting untuk kira-kira 240 juta orang di kawasan pergunungan.


Selain itu, sumber itu juga dimanfaatkan 1.65 bilion orang yang tinggal di lembah sungai.


Berdasarkan trajektori pelepasan semasa, dapatan ICIMOD mendapati glasier boleh kehilangan sehingga 80 peratus daripada jumlah semasanya, menjelang akhir abad ini.


ICIMOD sebuah pertubuhan yang berpangkalan di Nepal yang dianggotai negara seperti Afghanistan, Bangladesh, Bhutan, China, India, Myanmar dan Pakistan.


Glasier menjadi sumber kepada 10 sistem sungai terpenting di dunia, termasuk Gangga, Indus, Kuning, Mekong dan Irrawadday.


Ia secara langsung atau tidak langsung membekalkan berbilion-bilion orang dengan makanan, tenaga, udara bersih dan pendapatan.


"Dengan dua bilion orang di Asia bergantung kepada air yang dihasilkan glasier dan salji di sini, kehilangan kriosfera (zon beku) ini, ia adalah terlalu mendalam untuk direnungkan," kata Timbalan Ketua ICIMOD, Izabella Koziell.

TERKINI

AirAsia lancar promosi Tempat Duduk PERCUMA* dan jualan hebat ke lebih 130 destinasi

AirAsia melancarkan promosi  dan jualan hebat pertama pada tahun 2024 dengan jutaan tempat duduk ke lebih 130 destinasi. Syarikat itu dalam ...