TUDM Kerah Pesawat Memintas, 16 Pesawat China 'Ceroboh' Zon Maritim Malaysia

   Foto: Sumber TUDM

Sebanyak 16 buah pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia (ZMM), Kota Kinabalu FIR dan menghampiri ruang udara nasional pada 31 Mei lalu, kata Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Panglima Tentera Udara (PTU) Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad, berkata penerbangan pesawat PLAAF itu dikesan oleh Radar Pertahanan Udara TUDM daripada Pusat Pertahanan Udara (CRC 2) di Sarawak pada jam 11.53 pagi.

Pesawat bekenaan dikesan terbang secara formasi taktikal in-trail pada jarak 60 batu nautika antara satu sama lain.

"Formasi panjang itu juga terbang dengan paten dan haluan yang sama menggunakan satu titik laluan masuk dan keluar.

"Mereka kemudiannya didapati mengubah arah penerbangan di ruang udara Beting Patinggi Ali yang berkepentingan kepada negara," katanya dalam kenyataan pada 1 Jun.

Ackbal berkata, pesawat itu dikesan terbang pada ketinggian antara 23,000 kaki hingga 27,000 kaki dengan kelajuan 290 knots melalui Singapore FIR sebelum memasuki ruang udara ZMM, Kota Kinabalu FIR dan seterusnya terbang menghala menghampiri 60 batu nautika daripada pesisir pantai Wilayah Sarawak yang dikhuatiri akan mengancam kedaulatan negara.

"Pihak TUDM meletakkan pesawat Hawk 208 daripada No. 6 Skuadron, Pangkalan Udara Labuan di dalam keadaan siap sedia melalui Operasi Curiga TUDM.

"Pemantauan menerusi radar pertahanan udara diteruskan ke atas pesawat itu di samping beberapa percubaan untuk mengarahkan mereka menghubungi kawalan trafik udara KK FIR," katanya.

     Foto: Sumber TUDM

Berikut adalah beberapa kenyataan media penting mengulas kejadian berkenaan:

SIARAN MEDIA KENYATAAN PANGLIMA TUDM

TUDM telah mengesan penerbangan mencurigakan sebanyak 16 buah pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China/ People’s Liberation Army- Air Force (PLAAF) memasuki ruang udara ZMM, Kota Kinabalu FIR dan menghampiri ruang udara nasional pada 31 Mei 2021. 

Penerbangan pesawat-pesawat PLAAF tersebut telah dikesan oleh Radar Pertahanan Udara TUDM daripada Pusat Pertahanan Udara (CRC 2) di Sarawak pada jam 1153H. 

Pesawat-pesawat tersebut telah dikesan terbang secara formasi taktikal in-trail pada jarak 60 batu nautika di antara satu sama lain. Formasi panjang tersebut juga telah terbang dengan paten dan haluan yang sama menggunakan satu titik laluan masuk dan keluar. 

Mereka kemudiannya didapati mengubah arah penerbangan di ruang udara Beting Patinggi Ali yang berkepentingan kepada negara. Pesawat-pesawat tersebut telah dikesan terbang pada ketinggian di antara 23,000 kaki sehingga 27,000 kaki dengan kelajuan 290 knots melalui Singapore FIR sebelum memasuki ruang udara ZMM, KK FIR dan seterusnya terbang menghala menghampiri 60 batu nautika daripada pesisir pantai Wilayah Sarawak yang dikhuatiri akan mengancam KEDAULATAN NEGARA. 

Pihak TUDM telah meletakkan pesawat Hawk 208 daripada No. 6 Skuadron, Pangkalan Udara Labuan di dalam keadaan siap sedia melalui Operasi Curiga TUDM. 

Pemantauan menerusi radar pertahanan udara diteruskan ke atas pesawat-pesawat tersebut disamping beberapa percubaan untuk mengarahkan mereka menghubungi kawalan trafik udara KK FIR. Apabila arahan tidak dipatuhi dan didapati melangkaui persempadanan KK FIR menghala ke ruang udara nasional, TUDM telah melancarkan pesawat-pesawat pemintas pada jam 1333H untuk melakukan identifikasi visual. 

Hasil daripada pemintasan udara yang dilaksanakan, TUDM telah mengenalpasti pesawat-pesawat tersebut adalah daripada jenis Ilyushin Il-76 dan pesawat Xian Y-20. Pesawat-pesawat jenis ini merupakan pesawat pengangkut strategik dan berupaya melaksanakan pelbagai misi. Insiden ini merupakan perkara yang serius terhadap ancaman KEDAULATAN NEGARA dan KESELAMATAN PENERBANGAN berdasarkan kepadatan trafik udara di dalam laluan penerbangan (Airways) di dalam KK FIR. 

Insiden ini telah dikendalikan oleh TUDM khasnya dan ATM amnya berlandaskan undang-undang dan peraturan penerbangan antarabangsa International Civil Aviation Organization (ICAO) serta Strategi Pertahanan Udara Nasional (SPUN). Kementerian Luar Negeri telah mengambil maklum tentang perkara ini melalui Kementerian Pertahanan.


Foto: Sumber TUDM


KENYATAAN MEDIA DATO' SERI ANWAR IBRAHIM

Saya ambil maklum laporan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang mengesan penerbangan mencurigakan 16 pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) menghampiri ruang udara negara kita pada 31 Mei yang lalu.

Kejadian seperti ini ternyata amat membimbangkan serta menimbulkan kecurigaan dan keresahan terhadap kedaulatan negara serta keselamatan ruang udara kita. 

Pujian saya terhadap ketangkasan pasukan TUDM yang segera menggerakkan pemintasan udara dalam mengenalpasti pesawat-pesawat tersebut.

Saya menggesa Menteri Luar untuk segera laksanakan tugas dengan meminta penjelasan daripada Republik Rakyat China terkait insiden ini. 

Saya juga ingin meminta penjelasan lanjut dari kerajaan Perikatan Nasional tentang alasan kebenaran yang diberikan kepada pesawat Boeing 737-400 milik syarikat Israel Aerospace Industries-Elta (IAI-Elta) baru-baru ini kerana ini jelas suatu bentuk pengkhianatan kepada negara. 


BERITA: Malaysia hantar nota bantahan 16 pesawat China ceroboh ruang udara

Wisma Putra akan mengemukakan nota bantahan diplomatik kepada China berhubung 16 pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) yang menceroboh ruang udara Zon Maritim Malaysia (ZMM) dan menghampiri ruang udara nasional.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, menyifatkan tindakan 16 pesawat PLAAF itu sebagai 'pencerobohan ruang udara dan kedaulatan Malaysia'.

Sehubungan itu, beliau berkata, Kementerian Luar akan memanggil Duta Besar China ke Malaysia untuk mendapatkan penjelasan berhubung pencerobohan itu.

"Berdasarkan laporan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Kementerian Luar akan mengemukakan nota bantahan diplomatik terhadap pencerobohan itu kepada kerajaan China.

"Selain itu, saya akan membangkitkan kebimbangan serius berhubung perkara ini kepada rakan sejawat di China," katanya dalam satu kenyataan pada 1Jun.

Terdahulu, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad dalam satu kenyataan, memaklumkan TUDM memintas 16 pesawat PLAAF yang dikesan menceroboh ZMM Kota Kinabalu (KK) IFR semalam.

Pesawat berkenaan yang dikesan Radar Pertahanan Udara TUDM dari Pusat Pertahanan Udara Sarawak pada jam 11.53 pagi, terbang secara formasi taktikal in-trail pada jarak 60 batu nautika antara satu sama lain.

Beberapa arahan supaya pesawat berkenaan menghubungi kawalan trafik udara KK IFR tidak dipatuhi, sekali gus TUDM melancarkan pesawat pemintas pada jam 1.33 tengah hari untuk melakukan identifikasi visual.

Hishammuddin menegaskan, pendirian Malaysia tidak akan sesekali berkompromi dalam aspek keselamatan negara meskipun memiliki hubungan diplomatik dengan mana-mana negara.

"Pendirian Malaysia jelas, iaitu tidak akan berkompromi dalam aspek keselamatan negara walaupun memiliki hubungan diplomatik yang baik dengan mana-mana negara sekali pun.

"Malaysia tetap teguh dalam mempertahankan maruah dan kedaulatan negara," katanya.


TERKINI

Akibat Durian Dijual Guna Timbang Kilogram, Generasi Muda Dan Masa Hadapan Hilang Minat Makan?

Disusun Oleh : Mohd Ezli Mashut Imej Janaan AI Oleh : Mohd Ezli Mashut =========================================== HARGA TAK MASUK AKAL. Ad...