TELEKOMUNIKASI | Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sudah mengeluarkan notis tiada bantahan kepada cadangan penggabungan antara Digi.Com Bhd dan Celcom Axiata Bhd.
Penggabungan yang disebutkan itu membabitkan perniagaan Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) dan Celcom.
MCMC dalam kenyataan media berkata, MCMC sudah menjalankan penilaian menyeluruh terhadap penggabungan ini.
"Pada 1 April 2022, MCMC telah mengeluarkan Pernyataan Isu kepada Pemohon selaras dengan Garis Panduan Penggabungan dan Pengambilalihan bertarikh 17 Mei 2019 untuk menangani kebimbangan bahawa penggabungan ini akan atau berkemungkinan mengurangkan persaingan dengan ketara dalam sesetengah pasaran komunikasi yang telah dikenal pasti oleh MCMC.
"Justeru, pemohon telah mengemukakan suatu aku janji yang mengandungi komitmen pemohon untuk mengatasi isu-isu persaingan yang telah diketengahkan oleh MCMC di dalam Pernyataan Isu.
"MCMC telah mempertimbangkan komitmen yang ditawarkan oleh pemohon dan berpuas hati bahawa ia akan mengurangkan dengan signifikan isu persaingan yang akan atau mungkin timbul akibat penggabungan ini," kata kenyataan itu.
Katanya, salinan aku janji itu boleh dimuat turun dari laman sesawang MCMC di
pautan:
https://mcmc.gov.my/skmmgovmy/media/General/registers/Undertaking-Public-Version.pdf
Digi dan Celcom adalah pengendali perkhidmatan mudah alih kedua dan ketiga terbesar pada masa kini dan penggabungan ini akan menghasilkan pengendali perkhidmatan mudah alih yang terbesar di Malaysia.
Pada April lalu, syarikat induk Celcom Axiata iaitu Axiata Group Bhd berkata cadangan penggabungan bagi membentuk entiti baharu dikenali sebagai MergeCo dijangka selesai pada separuh kedua 2022.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Axiata berkata penyempurnaan transaksi itu akan tertakluk kepada kelulusan kedua-dua syarikat dan pemegang saham Digi, kelulusan kawal selia dan terma serta syarat lain.
Axiata dan Telenor Group pada 8 April 2021 mengumumkan, bahawa mereka sedang dalam perbincangan lanjutan untuk melaksanakan penggabungan operasi Celcom dan Digi.
Pada 24 November 2021, Axiata turut mengumumkan bahawa MergeCo telah memulakan libat urus dengan MCMC untuk proses penilaian penggabungan berhubung dengan cadangan penggabungan.